Responsive Ad Slot

MENGAPA ANWAR IBRAHIM WAJAR DIHADAPKAN KE TRIBUNAL GANGGUAN SEKSUAL


1. Hampir tujuh tahun telah berlalu sejak Muhammed Yusoff Rawther tampil dengan keberanian yang jarang disaksikan dalam sejarah politik negara apabila beliau membuat laporan polis pada 7 Disember 2019 mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang tokoh politik yang kini merupakan Perdana Menteri Malaysia.

2. Keberanian ini bukan sahaja menyentuh maruah peribadi seorang individu, tetapi juga menguji komitmen negara terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.


3. Sehingga hari ini, saman sivil yang difailkan oleh Yusoff pada 14 Julai 2021 masih belum didengar secara substantif. Kelewatan ini bukan berpunca daripada kelemahan kes, tetapi akibat pelbagai taktik melengah yang digunakan oleh pihak pembela.


4. Sejak awal, proses perbicaraan dibebani dengan permohonan prosedur yang berulang-ulang dan tidak menyentuh merit sebenar dakwaan gangguan seksual tersebut.


5. Antara langkah yang diambil termasuk permohonan merujuk isu undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, usaha menyingkirkan saman atas alasan teknikal semata-mata, keengganan mendedahkan dokumen penting seperti laporan poligraf yang berpotensi menyokong kes Yusoff, serta langkah luar biasa memohon perlindungan atau imuniti daripada tindakan saman sivil.


6. Terkini, perbicaraan sekali lagi dilengahkan dengan alasan pertukaran peguam, yang secara praktikal memberi ruang tambahan untuk menangguhkan keadilan.


7. Dengan corak taktik melengahkan yang berterusan, saman sivil yang dikemukakan oleh Muhammed Yusoff Rawther berkemungkinan besar akan terus dilengahkan.


8. Dalam keadaan ini, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan keadilan hanya melalui satu saluran yang terus dilengah-lengahkan. 


9. Oleh itu, Yusoff wajar mengambil tindakan dua serampang dengan meneruskan saman sivil di Mahkamah Tinggi dan pada masa yang sama memfailkan aduan ke Tribunal Gangguan Seksual.


10. Langkah ini berasas dan sah kerana Tribunal Gangguan Seksual diwujudkan untuk menyediakan akses keadilan yang lebih pantas, lebih sensitif kepada mangsa, dan tidak terperangkap sepenuhnya dalam permainan prosedur yang sering dimanipulasi oleh pihak berkedudukan.


11. Tribunal juga membolehkan penilaian terhadap salah laku dari sudut etika, moral dan kelakuan, walaupun proses sivil masih tertangguh. 


12. Tindakan selari ini tidak bertujuan menggantikan mahkamah, tetapi memastikan kebenaran tidak terus dikuburkan oleh kelewatan sistemik.


13. Rakyat Malaysia berhak melihat seorang Perdana Menteri berdepan dakwaan serius secara terbuka, telus dan bertanggungjawab, tanpa berlindung di sebalik jawatan, prosedur atau alasan teknikal.


14. Penantian rakyat terhadap keputusan kehakiman dalam kes ini bukan bersifat politik semata-mata, tetapi berakar daripada persoalan asas tentang kelayakan moral, integriti peribadi dan etika kepimpinan tertinggi negara.


15. Dengan meneruskan tindakan di mahkamah sivil dan tribunal secara serentak, Yusoff dapat memastikan bahawa isu ini tidak lagi boleh ditenggelamkan melalui taktik prosedur. 


16. Walaupun perbicaraan sivil terus dilengahkan, tribunal mampu membina rekod yang jelas tentang penilaian etika dan kelakuan seorang pemimpin negara.


17. Kita tidak boleh membenarkan salah guna kuasa dinormalisasikan sebagai sebahagian daripada budaya pemerintahan. 


18. Keberanian seperti yang ditunjukkan oleh Yusoff Rawther tidak wajar dipadamkan, sebaliknya mesti dipertahankan. Jika kita gagal mempertahankan keberanian ini hari ini, maka tiada siapa yang akan berani bercakap benar pada masa hadapan.


19. Perjuangan ini mesti diteruskan dengan berprinsip, berani dan berlandaskan kebenaran. Demi keadilan. Demi integriti negara. Demi agama, bangsa dan tanah air.


Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin

KERAJAAN YANG LAHIR DARI DEMONSTRASI JALANAN KINI MENINDAS PERHIMPUNAN AMAN


1. Saya kesal dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Madani dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan seramai 20 peserta Perhimpunan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), sedangkan perhimpunan tersebut pada hakikatnya bersifat aman dan tanpa senjata. 


2. Tindakan penahanan ini tidak boleh dipertahankan dari sudut perlembagaan dan mencerminkan satu salah guna kuasa penguatkuasaan yang serius dalam sebuah negara yang mendakwa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.


3. Rakaman video yang tular dan dimuat naik di media sosial menunjukkan dengan jelas bahawa tiada seorang pun anggota polis memberikan penjelasan kepada individu yang ditahan mengenai asas undang-undang tangkapan, termasuk di bawah peruntukan seksyen mana tangkapan dibuat serta sebab-sebab konkrit penahanan tersebut, walaupun soalan berkenaan dikemukakan berulang kali.


4. Keadaan ini menimbulkan persoalan serius tentang pematuhan terhadap prosedur tangkapan yang diwajibkan oleh undang-undang.


5. Lebih membimbangkan, dalam salah satu rakaman tersebut, jelas kedengaran seorang peguam bertanya secara sopan mengenai sebab dan asas undang-undang tangkapannya, namun pertanyaan itu dibalas dengan ugutan kekerasan, termasuk ancaman untuk ditumbuk oleh seorang pegawai polis.


6. Jika benar insiden ini berlaku seperti yang dirakam, ia bukan sahaja mencerminkan pelanggaran serius terhadap etika dan tatacara polis, malah menimbulkan persoalan berat mengenai penyalahgunaan kuasa serta kegagalan menghormati hak individu yang dilindungi undang-undang, khususnya hak untuk dimaklumkan sebab tangkapan dan dilayan secara berperikemanusiaan.


7. Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. 


8. Hak ini bukan suatu keistimewaan yang boleh ditarik balik sesuka hati oleh pihak berkuasa, tetapi merupakan hak asasi yang dilindungi secara langsung oleh Perlembagaan.


9. Perkara 10(2)(b) membenarkan sekatan demi keselamatan dan ketenteraman awam, sekatan tersebut mestilah munasabah, berkadar dan tidak bersifat menghukum.


10. Mahkamah Persekutuan pula telah membuat pendirian yang jelas bahawa penalti jenayah kerana kegagalan memberi notis di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan.


11. Implikasinya amat jelas: perhimpunan aman tidak boleh dijadikan asas automatik untuk penahanan, dan hak berhimpun tidak boleh dikriminalkan melalui mekanisme pentadbiran.


12. Oleh itu, tindakan menahan peserta yang berhimpun secara aman tanpa sebarang unsur ganggu-gugat, keganasan, rusuhan atau ancaman nyata terhadap keselamatan awam adalah bertentangan dengan semangat dan maksud penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut.


13. Pihak yang secara nyata berpotensi mengganggu ketenteraman dan keselamatan negara ialah mereka yang menceroboh tanah milik orang lain, membina atau menduduki premis secara tidak sah serta enggan mematuhi perintah undang-undang untuk berpindah.


14. Perbuatan pencerobohan dan keingkaran terhadap undang-undang inilah yang sebenarnya mencabar kedaulatan undang-undang dan berpotensi mencetuskan konflik sosial.


15. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya: individu yang berhimpun secara aman untuk menuntut penguatkuasaan undang-undang pula yang ditahan, manakala pelanggaran undang-undang yang menjadi punca isu terus dibiarkan tanpa tindakan tegas yang setimpal.


16. Sekalipun pihak polis mempunyai kuasa untuk mengawal, menyelia atau mengenakan sekatan tertentu ke atas sesuatu perhimpunan, penahanan fizikal individu merupakan langkah paling ekstrem dalam spektrum penguatkuasaan dan hanya boleh dibenarkan apabila wujud ancaman nyata terhadap keselamatan awam atau apabila berlaku keganasan, rusuhan atau kesalahan jenayah yang jelas.


17. Dalam kes ini, tiada sebarang bukti awam menunjukkan peserta perhimpunan terlibat dalam keganasan atau gangguan ketenteraman awam.


18. Justeru, penahanan tersebut gagal memenuhi ujian kewajaran, perkadaran dan keperluan mendesak yang diwajibkan oleh undang-undang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.


19. Tindakan menahan 20 peserta perhimpunan aman ini mewujudkan satu preseden yang amat berbahaya, seolah-olah hak perlembagaan hanya terpakai secara terpilih dan kuasa penguatkuasaan digunakan terhadap mereka yang mematuhi undang-undang, bukan terhadap pihak yang melanggarnya.


20. Lebih ironi, kepimpinan tertinggi Kerajaan Madani hari ini terbentuk daripada tokoh-tokoh yang pernah muncul sebagai pendemonstrasi jalanan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Sabu, yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan perhimpunan awam yang turut ditentang atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam. 


21. Menteri-menteri lain seperti Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Hannah Yeoh, Khalid Samad, Fahmis Fadzil Dr. Dzulkefly Ahmad dan ramai lagi juga pernah secara terbuka mempertahankan hak berhimpun sebagai hak perlembagaan yang mesti dihormati, walaupun perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa ketika itu. 


22. Prinsip yang mereka perjuangkan ialah kebebasan bersuara dan berhimpun tidak boleh ditentukan oleh selera politik pemerintah semasa.


23. Namun hari ini, amat mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin yang membentuk kerajaan hasil perjuangan jalanan tersebut kelihatan mengamalkan pendekatan penguatkuasaan yang lebih keras dan menindas terhadap perhimpunan aman, seolah-olah melupakan prinsip asas yang pernah mereka pertahankan. 


24. Perubahan sikap ini bukan sahaja mencerminkan pimpinan mereka yang tidak konsistan dalam prinsip, malah menimbulkan persoalan serius tentang komitmen sebenar Kerajaan Madani terhadap nilai reformasi, hak perlembagaan dan keadilan yang suatu ketika dahulu menjadi teras perjuangan mereka.


Shame on you.

Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin 

Pengambilalihan IJM perkukuh Kedudukan Strategik Bilionair Sektor Swasta ke atas Aset Negara.


“Pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) akan meletakkan aset-aset infrastruktur kritikal yang digunakan rakyat setiap hari di bawah kawalan seorang bilionair, dengan hanya 10% daripada nilai transaksi dibayar secara tunai.”

1. Isu pengambilalihan IJM oleh Sunway Berhad (Sunway) ini perlu dibantah dan ditentang keras kerana ia bukan urusan niaga korporat yang lurus dan mudah, seperti turun naik harga saham di pasaran. 

2. Ia bukan isu spekulasi pasaran atau penentuan keuntungan semata-mata, sebaliknya melibatkan persoalan struktur pemilikan, pengagihan risiko dan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.

3. IJM bukan sebuah syarikat biasa. Ia memiliki dan mengendalikan aset-aset infrastruktur kritikal negara yang digunakan rakyat setiap hari, termasuk lebuh raya bertol utama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, pelabuhan laut dalam seperti Kuantan Port serta konsesi infrastruktur jangka panjang di dalam dan luar negara.

4. Aset-aset ini menentukan mobiliti harian rakyat, kos logistik negara, kelancaran rantaian bekalan industri dan keselamatan ekonomi nasional.

5. Berapa lama rakyat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, berapa mahal barang sampai ke pengguna, dan siapa yang mengawal pintu masuk perdagangan negara, semuanya berkait langsung dengan aset-aset ini. 

6. Justeru, sebarang perubahan pemilikan dan kawalan terhadap aset strategik ini membawa implikasi yang jauh melangkaui kepentingan pemegang saham.

7. Pengambilalihan IJM menyentuh persoalan asas iaitu siapa yang akan menguasai aset strategik negara, siapa yang dipindahkan untuk menanggung risiko sebenar transaksi, dan siapa yang akhirnya kehilangan pegangan serta kuasa ekonomi secara senyap.

8. Jika pengambilalihan ini berjaya, lebuh raya dan pelabuhan yang digunakan rakyat setiap hari akan berada di bawah kawalan seorang bilionair sektor swasta yang tergolong dalam kelompok sepuluh terkaya di Malaysia.

9. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah dan keluarganya merupakan pemegang saham majoriti Sunway Berhad melalui entiti kawalan, dengan pegangan melebihi 54% saham. 

10. Pegangan ini memberikan beliau dan keluarga pengaruh yang sangat besar terhadap hala tuju strategik, keputusan korporat dan kawalan keseluruhan kumpulan Sunway.

11. Isu sebenar disini ialah penumpuan kuasa ekonomi dan pemilikan strategik ke atas infrastruktur negara yang sepatutnya dinilai melalui lensa kepentingan awam, bukan keuntungan korporat semata-mata.

12. Dalam konteks ini, isu ekuiti Bumiputera tidak boleh dipinggirkan. Pegangan Bumiputera dalam IJM wujud melalui dana-dana awam dan institusi berkaitan kerajaan yang memegang amanah jutaan pencarum. 

13. Ekuiti Bumiputera bukan sekadar angka pemilikan saham, tetapi kedudukan strategik, leverage ekonomi dan pengaruh dalam keputusan jangka panjang.

14. Hakikat yang perlu difahami ialah ekuiti Bumiputera boleh terhakis tanpa satu saham pun dijual, apabila kedudukan strategik itu ditukar menjadi pegangan pasif dalam syarikat Sunway syarikat yang lebih besar dan lebih cair. 

15. Daripada mempunyai pengaruh langsung dalam sebuah syarikat infrastruktur strategik, pegangan tersebut berisiko berubah menjadi pegangan kecil dalam sebuah konglomerat besar dengan keutamaan perniagaan yang berbeza, sekali gus menyebabkan pegangan Bumiputera kehilangan kuasa ekonomi dan pengaruh strategik yang sebenar.

16. Inilah penghakisan senyap yang sah dari sudut teknikal, tetapi pincang dari sudut dasar ekonomi dan keadilan sosial.

17. Struktur transaksi itu sendiri juga menimbulkan persoalan keadilan.

18. Apabila 90% bayaran dibuat dalam bentuk saham dan bukan tunai, risiko pasaran sebenar dipindahkan kepada pemegang saham IJM, termasuk dana-dana yang mewakili kepentingan Bumiputera. 

19. Ini bukan jual beli biasa, tetapi pertukaran risiko yang dipindahkan kepada pihak yang paling lemah dari segi kuasa tawar-menawar.

20. Pemegang saham melabur dalam IJM berdasarkan mandat dan profil risiko IJM, bukan untuk dipaksa menjadi pemegang saham dalam kumpulan lain tanpa persetujuan strategik yang jelas. 

21. Penggabungan entiti besar seperti ini turut berpotensi meningkatkan penumpuan pasaran dalam tender, sub-kontrak, pembekalan bahan, logistik dan perkhidmatan profesional.

22. Kesan langsungnya ialah kuasa tawar-menawar kontraktor G1 hingga G4 dan vendor kecil (yang majoritinya terdiri daripada Bumiputera), menjadi lemah apabila mereka terpaksa berhadapan dengan terma pembayaran yang lebih ketat, margin keuntungan yang semakin tertekan dan akses peluang yang semakin terhad.

23. Konsolidasi kuasa ekonomi akan memusatkan kuasa tawar-menawar, menekan vendor tempatan dan melemahkan ekosistem perniagaan di peringkat akar umbi. 

24. Apabila yang kuat menjadi semakin kuat, yang kecil pula semakin terhimpit.

25. Risiko integrasi operasi juga tidak boleh dipandang ringan.

26. Pengambilalihan berskala besar lazimnya disertai kos tersembunyi seperti kelewatan projek, lebihan kos dan perubahan keutamaan pelaksanaan.

27. Apabila projek awam terganggu, pihak yang akhirnya menanggung kesan dan kos ialah rakyat dan pembayar cukai.

28. Dalam kerangka tadbir urus Malaysia, aset konsesi awam bukan hak mutlak korporat.

29. Perubahan kawalan ke atas aset-aset ini lazimnya memerlukan kelulusan kerajaan kerana kerajaan mempunyai mandat untuk melindungi kepentingan awam, dana rakyat dan infrastruktur kritikal negara. 

30. Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan secara tegas untuk menghentikan pengambilalihan aset strategik negara oleh seorang tycoon sektor swasta. 

31. Ini bukan campur tangan politik, tetapi tanggungjawab tadbir urus. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran tanpa tanggungjawab sosial.

32. Atas sebab-sebab ini, transaksi ini tidak wajar sekadar ditangguhkan atau dibaiki secara kosmetik.

33. Masalahnya terletak pada struktur asas transaksi itu sendiri. 

34. Tanpa ujian kepentingan awam yang menyeluruh, tanpa perlindungan jelas terhadap ekuiti Bumiputera dan pemegang saham minoriti, serta tanpa penilaian serius terhadap impak persaingan dan risiko integrasi, transaksi ini akan mewujudkan preseden berbahaya. 

35. Jika transaksi seperti ini dibenarkan, mesejnya jelas bahawa ekuiti Bumiputera boleh terhakis secara sah, senyap dan tanpa pertanggungjawaban.

36. Isu ini bukan soal menolak pelaburan atau pasaran bebas. Ia adalah soal mempertahankan kedaulatan ekonomi negara. 

37. Jika kita gagal mempertahankan pegangan strategik hari ini, generasi akan datang mungkin hanya mewarisi angka dalam laporan kewangan, tetapi kehilangan kuasa sebenar dalam menentukan arah ekonomi negara.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Mengapa Pilihan Raya PBT Amat Berbahaya dan Perlu Ditolak


1. Cadangan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pemilihan Datuk Bandar, walaupun dibungkus dengan bahasa reformasi dan demokrasi, hakikatnya merupakan manifestasi paling jelas terhadap kebimbangan yang dizahirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu berisiko kehilangan negara. 

2. Isu ini tidak wajar dilihat secara sempit sebagai soal kaedah memilih pemimpin tempatan. Sebaliknya, ia perlu dianalisis sebagai peralihan struktur kuasa dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang membawa implikasi besar terhadap keseimbangan perlembagaan, kedudukan sosioekonomi Melayu, dan hubungan antara Persekutuan, negeri serta kerajaan tempatan.

3. Walaupun Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut kerajaan tempatan secara eksplisit, hakikatnya hampir keseluruhan dasar bandar mempunyai implikasi langsung terhadap pelaksanaan peruntukan tersebut. 

4. Dasar perumahan mampu milik, pengeluaran lesen perniagaan kecil, pengurusan tanah, penjaja, serta pembangunan komuniti bandar merupakan instrumen utama mobiliti sosioekonomi Melayu bandar. 

5. Di sinilah Perkara 153 berfungsi secara praktikal, bukan sekadar normatif.Apabila kepimpinan bandar memperoleh mandat melalui pilihan raya, tekanan politik untuk menghapus atau mengecilkan dasar afirmatif akan meningkat, lazimnya atas nama “kesamarataan”, “neutraliti kaum” dan “kecekapan pasaran”. 

6. Dalam konteks ini, Perkara 153 tidak dimansuhkan secara undang-undang, tetapi dikosongkan fungsinya melalui amalan pentadbiran. 

7. Inilah bentuk penghakisan yang paling berbahaya kerana ia berlaku secara senyap, berlapik, dan sukar dicabar melalui mekanisme perlembagaan sedia ada.

8. Lebih penting, cadangan ini bukanlah idea baharu yang lahir secara neutral atau teknokratik. 

9. Ia merupakan misi ideologi jangka panjang parti Democratic Action Party (DAP) yang telah sekian lama diperjuangkan, kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, dan seterusnya dibawa ke peringkat pelaksanaan dasar melalui kedudukan eksekutif kerajaan.

10. Agenda ini pernah dipromosikan secara terbuka oleh Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan kini diteruskan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan oleh Hannah Yeoh melalui pendekatan yang dilabel sebagai “kajian kebolehlaksanaan”.

11. Hakikat ini perlu ditegaskan kerana ia membuktikan bahawa cadangan pilihan raya PBT dan Datuk Bandar bukanlah reformasi pentadbiran yang bebas nilai, tetapi merupakan kesinambungan agenda politik yang konsisten dan berideologi, yang berhasrat mengubah struktur kuasa tempatan melalui mandat pilihan raya. 

12. Apabila sesuatu cadangan dasar lahir daripada manifesto parti dan diterjemahkan melalui kuasa menteri, ia tidak lagi boleh dianggap sebagai eksperimen akademik atau inisiatif pentadbiran semata-mata. 

13. Ia adalah projek politik yang membawa implikasi perlembagaan, demografi dan keseimbangan kuasa negara.

14. Dalam sistem Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan bukan entiti politik berdaulat. Ia merupakan instrumen pentadbiran yang berfungsi di bawah kuasa kerajaan negeri atau Persekutuan. 

14. Kerajaan tempatan tidak memiliki mandat politik tersendiri, tidak dipilih oleh rakyat, dan tidak direka untuk menjadi medan persaingan kuasa. 

15. Pengenalan pilihan raya PBT atau pemilihan Datuk Bandar secara langsung akan mengubah sifat asas ini.

16. Mandat pilihan raya memberikan legitimasi politik, bukan sekadar legitimasi pentadbiran. 

17. Apabila legitimasi politik ini diwujudkan di peringkat bandar, ia secara langsung mencabar keseimbangan hubungan antara Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan, serta membuka ruang kepada tuntutan autonomi politik bandar yang bercanggah dengan semangat federalisme Perlembagaan.

18. Ancaman terhadap orang Melayu dalam konteks ini bukan bersifat spekulatif atau emosional, tetapi berpunca daripada realiti demografi bandar. 

19. Di kebanyakan bandar utama, orang Melayu bukan kumpulan majoriti dominan dalam konteks pengundian. Dalam sistem pilihan raya, angka menentukan kuasa. 

20. Pilihan raya PBT atau Datuk Bandar akan menyebabkan kepimpinan bandar ditentukan sepenuhnya oleh komposisi pengundi bandar, tanpa sebarang mekanisme imbangan nasional.

21. Akibatnya, orang Melayu berisiko kehilangan kawalan politik dan pentadbiran, termasuk peluang-peluang strategik berkaitan tender, permit, lesen, tanah dan kelulusan, melalui pemilihan Datuk Bandar di pusat-pusat bandar utama. 

22. Ini bukan hujah berasaskan sentimen kaum, tetapi kesan langsung matematik pilihan raya dalam ruang demografi yang tidak seimbang.

23. Atas sebab-sebab inilah, tidak wujud keperluan untuk sebarang kajian lanjut kerana asas perlembagaan, demografi dan struktur tadbir urus telah pun jelas. 

24. Cadangan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan atau pemilihan Datuk Bandar bukan sahaja wajar dipersoalkan, malah perlu ditolak sekeras-kerasnya demi mempertahankan keseimbangan perlembagaan negara, keadilan struktur dalam pentadbiran, serta kelangsungan peranan orang Melayu sebagai teras pembinaan negara.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo