Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin
Kenyataan terkini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Johari Abdul Ghani, telah meletakkan UMNO pada satu persimpangan yang jelas dan tidak lagi boleh dielakkan.
Pengakuan beliau bahawa wujud terma-terma tidak adil dan berat sebelah dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 17 Disember 2025 yang di siarkan dalam Berita Harian bukan sekadar kenyataan pentadbiran, tetapi satu pengakuan politik yang membawa implikasi besar terhadap kedudukan UMNO dalam Kerajaan Madani.
Apabila seorang menteri UMNO sendiri mengakui bahawa perjanjian utama kerajaan adalah tidak adil kepada negara, persoalannya bukan lagi soal teknikal rundingan, tetapi soal tanggungjawab politik dan moral.
UMNO tidak boleh terus berada dalam sebuah kerajaan yang mempertahankan perjanjian yang jelas merugikan kepentingan nasional.
Lebih membimbangkan, kenyataan Datuk Seri Johari Ghani bahawa ART “tidak boleh diundur” telah menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
Walaupun sesuatu perjanjian yang telah ditandatangani tidak boleh dipadam seolah-olah tidak pernah wujud, undang-undang antarabangsa dengan jelas menyediakan mekanisme untuk penamatan dan pengunduran.
Tiada perjanjian perdagangan yang mengikat sesebuah negara selama-lamanya.
Hakikat ini menjadikan satu perkara sangat jelas. Masalah sebenar bukan ketiadaan opsyen undang-undang, tetapi tiada keberanian politik dalam Kerajaan Madani untuk menggunakannya.
Sebelum ini, ART dipertahankan secara mutlak oleh Perdana Menteri, Tengku Zafrul dan pimpinan kerajaan, dan sebarang kritikan, termasuk daripada negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilabel sebagai tidak memahami perdagangan antarabangsa atau bermotif politik.
Hari ini, kerajaan sendiri mengaku bahawa perjanjian tersebut mempunyai kelemahan dan ketidakadilan.
Ini membuktikan satu hakikat yang pahit bahawa Kerajaan Madani telah membuat keputusan yang salah, dan kini cuba membetulkannya secara senyap tanpa mengambil tanggungjawab politik sepenuhnya.
Dalam keadaan ini, UMNO tidak boleh terus berperanan sebagai pelindung kepada kesilapan kerajaan. Terus kekal dalam Kerajaan Madani bermakna UMNO:
- merestui perjanjian berat sebelah,
- membiarkan kedaulatan ekonomi negara terhakis,
- dan mengkhianati peranan sejarahnya sebagai pembela kepentingan orang Melayu dan bumiputera.
Jika Datuk Seri Johari Ghani benar-benar ikhlas mempertahankan kepentingan negara, dan jika UMNO masih mahu dilihat sebagai parti yang berprinsip, maka langkah yang paling bermaruah dan berani ialah keluar daripada Kerajaan Madani.
Ini bukan soal meninggalkan jawatan atau kuasa.
Ini soal menyelamatkan maruah parti, mempertahankan kedaulatan ekonomi negara, dan memihak kepada rakyat.
UMNO perlu membuat keputusan yang jelas. Sama ada terus menjadi penumpang dalam kerajaan yang gagal melindungi kepentingan nasional, atau berdiri tegak sebagai parti yang berani berkata tidak kepada dasar yang merugikan Malaysia.
Sejarah akan menilai keputusan ini. Dan rakyat sedang memerhati.




