SELAMATKAN MALAYSIA SIRI KE-10: MAKCIK KIAH TERTIPU



SELAMATKAN MALAYSIA SIRI KE-10
: MAKCIK KIAH TERTIPU

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1.    Belanjawan Perikatan Nasional (PN) yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan atau boleh juga dirujuk sebagai ‘Sales-Pitch’ dari seorang jurujual (salesman). Ia memang kedengaran menarik bila diperhatikan pada kali pertama. Setiap sektor diberikan peruntukan masing-masing, seluruh warga dari pelbagai kaum, jantina dan latarbelakang seolah-olah semua mendapat manfaat serta bagaikan tidak terlepas... and so we think.

 

2.    Tetapi apabila diperhalusi, Menteri Kewangan bukan sahaja telah mengetepikan dan tidak menyebut langsung nama Makcik Kiah dalam ucapan belanjawannya tetapi beliau juga tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada sektor pelancongan, pelajar universiti dan juga pekerja yang baru kehilangan pekerjaan .

 

3.    Makcik Kiah yang pada suatu masa namanya sentiasa meniti di bibir Perdana Menteri ke-8, kini juga dikhianati seperti yang pernah dilakukan oleh PM-8. PM-8 dahulu dahulu mengkhianati Pakatan Harapan, kemudiannya UMNO. Sekarang Makcik Kiah punya giliran.

 

TAHNIAH DIATAS KEJAYAAN PERIKATAN NASIONAL MENYIMPAN REKOD

 

4.    Malaysia amat ‘berbangga’ kerana kita sekali lagi mencatat rekod dan dapat mengekalkan kedudukan kita sebagai negara yang defisit untuk 12 tahun berturut turut semenjak tahun 2009. Ini bermakna untuk 12 tahun berturut-turut, perbelanjaan kita melebihi hasil pendapatan. Seperti Makcik Kiah yang terpaksa menggunakan overdraft atau kredit kad untuk membayar sewa dan bil-bil bulanannya.

 

5.    Perasaan ‘bangga’ itulah perasaan yang dicerminkan oleh ‘Salesman’ kerajaan Perikatan Nasional iaitu Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kewangan Malaysia.

 

6.    Kalau kita meluluskan belanjawan 2021, ini bermakna rakyat amat berbangga untuk berhutang dan untuk terus berhutang untuk membayar gaji dan elaun besar 72 ahli kabinet gergasi ini sementara pelajar terpaksa berhutang hanya untuk membeli laptop bagi meneruskan pembelajaran dalam talian di institut pengajian tinggi.

 

7.    Kecuali dalam tempoh pemerintahan Pakatan Harapan, Kerajaan Perikatan Nasional langsung tidak berusaha untuk mengambil langkah-langkah penjimatan kos dalam pentadbirannya.

 

8.    Kerajaan Perikatan Nasional juga tidak ada perancangan dalam belanjawan untuk mengambil pendekatan ‘reform’ buat GLC dan GLIC yang sekarang juga tenat mengalami kerugian. Semua lantikan ahli-ahli politik yang memegang jawatan tinggi dan diberi kemewahan gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan dan pengalaman, harus diganti kembali dengan golongan profesional supaya GLC dan GLIC dapat diterajui oleh seorang yang berwibawa untuk mencapai keuntungan.

 

BELANJAWAN GERGASI

 

9.    Sementara Malaysia berada dalam keadaan defisit yang semakin meningkat, kerajaan terus mencadangkan satu belanjawan yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

 

10.    Daripada jumlah keseluruhan belanjawan yang terbesar itu, 73% diperuntukkan untuk kos mengurus. Kos mengurus yang berjumlah RM236.5 bilion adalah terlampau tinggi dan hampir sama dengan anggaran hasil pendapatan kerajaan sebanyak RM236.9 bilion. Tetapi belanjawan memperuntukkan perbelanjaan RM322.5 billion!!! 

 

11.    Ini bermakna, kerajaan terpaksa berhutang untuk mentadbir sektor awam. Pentadbiran yang sebegitu mahal tidak mempamerkan hala tuju yang jelas untuk memulihkan ekonomi. Hanya sebahagian kecil yang diperuntukkan untuk penggandaan ekonomi (Multiplier Effect).

 

12.    Cadangan Belanjawan itu juga mempamerkan ketidakupayaan kerajaan untuk membiayai belanjawan tersebut dan terpaksa berhutang 26% dari jumlah keseluruhan yang ingin dibelanjakan. Ini bermakna kerajaan telah kehausan sumber pendapatan.

 

13.    Dengan pinjaman mencecah RM100 bilion (RM85.64 bilion), ahli parlimen kita harus dan mesti meminta perincian setiap komponen perbelanjaan dari Dana  Covid-19 berjumlah RM17 bilion (5.3% Belanjawan 2021). Tanpa semakan terperinci, dana ini boleh disalahguna dan/atau di manipulasi untuk memberi rasuah, ‘kickback’ atau sogokan kepada pihak-pihak tertentu.

 

TIADA PENJIMATAN KOS PENTADBIRAN  

 

14.    Walaupun terpaksa berhutang untuk mentadbir sektor awam dan berbelanja, tiada usaha atau cadangan untuk penjimatan bagi mengurangkan kos mengurus. Kutipan hasil Kerajaan pada tahun 2020 dianggarkan terjejas sebanyak RM18 bilion daripada unjuran asal Belanjawan 2020 kepada RM227.3 bilion.

 

15.    Berhutang atau meminjam wang bukanlah satu isu jika ia dapat menggandakan pendapatan negara. Yang menjadi tandatanya ialah cara ia dibelanjakan.

 

16.    Sebagai contoh, peruntukan RM85 juta untuk menghidupkan kembali Jabatan Propaganda JASA yang telah ditutup walaupun KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong telah menitah untuk berhenti berpolitik. Satu lagi contoh yang nyata, ialah saiz gergasi 72 ahli jemaah kabinet yang kebanyakannya terdiri dari Menteri Doaremon, Menteri Tik Tok dan Menteri Air Panas. Kecuali beberapa Menteri yang kelihatan bekerja, kebanyakan Menteri seolah oleh langsung tidak berfungsi. 

 

17.    Terdapat sekurang-kurangnya 13 perbelanjaan yang meragukan (ambigious) yang perlu diberi perhatian. 13 perbelanjaan 'ambigious' ini akan di bincangkan dengan lebih lanjut pada siri artikel yang akan datang sehingga tarikh pengundian yang dijangka dijalankan pada 25 November.

   

18. Pengurangan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri di waktu kadar defisit negara dan kadar pengangguran yang semakin meningkat amat diperlukan kerana ia akan dapat mengurangkan beban negara.

 

HASIL NEGARA DAN KADAR PERTUMBUHAN YANG TIDAK REALISTIK DAN OPTIMIS

 

19.    Bagaimana ‘Salesman PN’ ni boleh menyasarkan kutipan cukai pendapatan individu sebanyak RM42.2 bilion untuk tahun 2021 berbanding dengan RM35.9 bilion anggaran kutipan tahun ini dan RM38.7 bilion pada tahun 2019. Kadar pengangguran sewaktu pandemik Covid-19 belum lagi kemuncak tetapi ‘Salesman PN’ yakin dapat mengutip cukai pendapatan hampir RM4 bilion lebih dari tahun 2019 iaitu tahun sebelum ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19. Makcik Kiah jadi ghapla jingga. Pikiq kot lutut.

 

20.    Bisnes dan perniagaan juga teruk terjejas akibat dari pandemik Covid-19. Jika disemak dengan rangkaian usahawan, hampir semua mengeluh kerugian dan tidak dapat menampung perbelanjaan bulanan seperti kos sewaan premis. 32,000 perniagaan PKS dilaporkan telah gulung tikar pada tahun ini dan beratus syarikat-syarikat diisytiharkan muflis. Tetapi ‘Salesman PN’ terus bermimpi untuk mengutip RM64.6 bilion dari cukai korporat pada tahun 2021. Lebih tinggi dari tahun 2019 sebelum gejala pandemik Covid-19 sebanyak RM63.75 bilion. Makcik Kiah yang memang tak berapa mahir mengira pun rasa pelik.

 

21.    Bayangkan jumlah defisit negara jika hasil pendapatan negara diperbetulkan dengan jumlah yang lebih realistik mengambil kira kadar pengangguran dan bisnes yang telah di tutup dan terjejas akibat krisis ekonomi dan pandemik Covid-19. 

Yang pasti, kerajaan telah mengalami bajet defisit setelah ditolak kos mengurus yang teramat tinggi. Ini akan menyebabkan rating kredit Malaysia akan jatuh menjunam.

 

21.    Kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 6.5%-7% untuk tahun 2021 hanyalah ‘superficial’. Yang patut di selidik ialah nilai KDNK yang sebenarnya jauh lebih rendah dari jangkaan terutamanya dalam keadaan dunia di landa krisis ekonomi yang terburuk sejak era 'the Great Depression' yang berlaku sekitar tahun 1930-an.

 

22.    Situasi pandemik Covid-19 buat masa ini masih tidak terkawal untuk negara diletakkan dibawah kategori pemulihan. Even our borders are still closed. Hasil negara pada tahun 2021 dijangka jauh lebih rendah daripada yang disasarkan.

 

PENUTUP

 

23.    Belanjawan ini hanya mementingkan gaji-gaji dan elaun gergasi Menteri, Timbalan Menteri serta lantikan politik di GLC & GLIC. Mandat rakyat bukan sahaja di khianat oleh kerajaan Perikatan Nasional, tetapi rakyat juga cuba di manipulasi dengan jumlah hasil pendapatan dan nilai KDNK yang tidak munasabah. Yang pasti, hutang kerajaan bertambah dengan mendadak.

 

24.    Kalau Sales Pitch ni dibuat ala siri Shark Tank, nescaya Salesman PN ni pasti teruk kena belasah.


ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip #tolakbelanjawan #muhyidinout

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j 

Siri 7: https://bit.ly/34NmgG8

Siri 8: https://bit.ly/34R4bH2

Siri 9: https://bit.ly/3kbI1Uy



Comments