Responsive Ad Slot

Slider

SELAMATKAN MALAYSIA - SIRI 11: PINJAMAN TANPA FAEDAH UNTUK PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA


SELAMATKAN MALAYSIA SIRI-11

PINJAMAN TANPA FAEDAH UNTUK PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)
Oleh: Armin Baniaz Pahamin

1.    Belanjawan 2021 tidak mempamerkan insentif yang mencukupi untuk membantu ekosistem dan komuniti perniagaan. Kerajaan dicadangkan agar memberikan pinjaman tanpa faedah untuk membantu perniagaan seperti yang dilakukan oleh negara Jepun yang memperuntukkan US$250 billion (lebih RM1.2 trillion) pinjaman tanpa faedah kepada semua kategori perniagaan.

2.    Walaupun Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memaklumkan 32,000 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana telah gulung tikar semenjak pandemik Covid-19, tetapi jumlah ini tidak termasuk syarikat-syarikat yang telah tidak beroperasi tetapi masih berdaftar. Ia juga tidak mengambil kira syarikat yang mengalami kerugian teruk tetapi tidak dapat menutup perniagaan kerana masih berhutang dengan bank dan pembekal.

3.    Jumlah 32,000 syarikat itu merupakan jumlah angka statistik rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu syarikat-syarikat yang telah membatalkan pendaftaran. Tetapi jumlah sebenar syarikat yang masih berdaftar tetapi telah tidak beroperasi dan dalam proses penutupan tidak diambil kira.

4.    Menurut Presiden Persatuan PKS Malaysia (SME Association of Malaysia) Datuk Michael Kang, jumlah syarikat yang telah gulung tikar dan tidak beroperasi semenjak pandemik Covid-19 menjangkau lebih 100,000 syarikat.

5.    Jadi apakah keberkesanan sebenar insentif Penjana kepada syarikat-syarikat PKS?

6.    Yang pasti, kenyataan susulan MEDAC yang menunjukkan statistik 82,000 perniagaan baru berdaftar dengan SSM untuk tempoh yang sama, tidak boleh dijadikan satu ukuran untuk menonjolkan situasi ekonomi yang semakin pulih. Statistik pendaftaran perniagaan baru itu melonjak kerana ia merupakan satu syarat untuk peserta program Penjana.

7.    Rakyat di tawarkan satu kursus percuma dibawah inisiatif Penjana B40 yang dibiayai oleh kerajaan berjumlah RM3,000 sehingga RM5,000 setiap peserta. Peserta diberi elaun penyertaan diantara RM100-RM1,000 dan apabila tamat program, peserta dimestikan mendaftarkan satu syarikat dan kosnya dibiayai oleh pelatih/vendor yang dilantik kerajaan. Jadi sudah tentu jumlah perniagaan berdaftar dengan SSM meningkat.

8.    Peserta yang telah mengikuti kursus pendek ini dan mendaftar penubuhan syarikat pula, telah terkeluar dari jumlah pengangguran. Apabila kita merujuk kepada kadar pengangguran, jumlah telah menurun dari 820,000 kepada 741,000.

9.    Kadar pengangguran yang menurun dengan cara ini juga tidak membuktikan ekonomi sedang dalam pemulihan. Kedua-dua situasi iaitu penambahan pendaftaran PKS dan penurunan kadar pengangguran masih tidak menjanjikan gaji, hasil pendapatan atau keuntungan untuk menampung sara hidup harian. Malah, mereka masih seperti penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

10.    Saranan saya adalah supaya adanya satu bajet disediakan samada dibawah Belanjawan 2021 atau dibawah Bank Negara Malaysia untuk menyediakan pinjaman mudah tanpa faedah kepada syarikat-syarikat PKS yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Pinjaman ini dijamin oleh badan-badan kerajaan.

11.    Sebuah bajet berupa geran dengan jumlah maksima RM30,000 sebagai modal pemula untuk peniaga kecil juga patut disediakan kepada penganggur atau pekerja yang kehilangan kerja akibat wabak Covid-19, yang ingin memulakan perniagaan.

12.    Tetapi pinjaman tanpa faedah ini masih tidak dapat menjanjikan pulangan tanpa satu lagi bajet untuk meningkatkan lagi permintaan agregat (aggregate demand) yang semakin menurun.

13.    Seperti saranan YB Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, satu bajet yang lebih besar perlu diperuntukkan untuk ujian Covid-19 dilakukan secara menyeluruh kepada lebih ramai rakyat (mass testing) dan lebih kerap.

14.    Dengan cara ini, rakyat bebas untuk bekerja, membeli-belah dan meningkatkan aktiviti ekonomi sementara perniagaan terus dapat bernafas. Kerajaan melalui Kementerian perlu bertindak proaktif dan agresif meminda Belanjawan 2021 atau mengumumkan insentif tambahan seperti yang dicadangkan diatas. 

 

15.    Kementerian Kewangan tidak boleh terus menerus menghabiskan masa mempertahankan isi kandungan bajet yang ternyata gagal menyokong pemulihan pasaran dan ekonomi domestik. Bertindak bukan berdalih!

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip #tolakbelanjawan #muhyidinout

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j 

Siri 7: https://bit.ly/34NmgG8

Siri 8: https://bit.ly/34R4bH2

Siri 9: https://bit.ly/3kbI1Uy 

Siri 10: https://bit.ly/3n2gq9S

 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo