Responsive Ad Slot

Slider

FOKUS ISU UTAMA TANAH RIZAB MELAYU

 


Fokus isu utama tanah rizab Melayu

ISU keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kedah tidak perlu dipertikaikan. Selaku Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tentu mempunyai maklumat yang lebih terkini dan tepat.

Amat mengecewakan apabila Nik Nazmi Nik Ahmad seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas TRM tidak menyalurkan maklumat terkini yang tepat tetapi maklumat lama. Kemudian menuding jari ke arah Pejabat Tanah dan Galian Kedah yang tidak mengemaskini maklumat kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Menteri sepatutnya meminta maaf atas kenyataan beliau berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan mengambil tindakan ke atas Pejabat Tanah dan Galian Kedah yang tidak mengemaskini maklumat.

Isu yang perlu dipertikaikan ialah jumlah TRM yang semakin berkurangan di sesetengah negeri seperti di Perak. Di Pulau Pinang dan Melaka pula tiada usaha untuk mengadakan TRM sementara TRM di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula jumlahnya terlalu kecil. Negeri-negeri yang dikuasai oleh kerajaan bukan melayu memang tiada TRM.

Mengikut laporan Ketua Audit Negara, penilaian output berdasarkan prestasi keseluruhan TRM sehingga Disember 2021 menunjukkan sasaran keluasan TRM seperti yang ditetapkan oleh Wasiat Raja-Raja Melayu masih belum dicapai, iaitu 20.5% berbanding 50% yang disasarkan.

Jumlah 20.5% ini akan menjadi lebih kecil jika ditolak hutan simpanan, gunung, tasIk dan sungai seperti dimaktubkan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu.

Isu TRM berkait dengan tiga isu utama yang perlu diambil tindakan dengan kadar segera.

Pertamanya, sebanyak 1,881.80 hektar atau 42.5% keluasan TRM yang telah dibatalkan status tanah rizab masih belum diganti setakat Disember 2021 (sumber Laporan Ketua Audit Negara). Penggantian TRM perlu diberi keutamaan dan diberi jangkamasa pencapaian.

Kedua, berkenaan pembangunan TRM yang boleh memanfaatkan orang Melayu. Sehingga kini, TRMu tiada nilai malah bank juga tidak menerima untuk cagaran dan menilai TRM dengan nilai teramat rendah.

Jawatankuasa Khas Pengurusan dan Penggantian TRM yang diwujudkan juga tiada perancangan khusus untuk memajukan TRM yang berpotensi serta inisiatif usaha sama bagi menggalakkan pembangunan TRM.

Ketiga, mekanisme atau langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai jumlah keluasan tanah 50% TRM seperti yang ditetapkan oleh Wasiat Raja-Raja Melayu. Satu masterplan dan dasar untuk mencapai 50% diperlukan. Amat mendukacitakan apabila sasaran dan wasiat ini dipermainkan dan diambil remeh tanpa tindakan oleh kerajaan.

Di Selangor, mengikut laporan Ketua Audit Negara, inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor tidak memanfaatkan orang Melayu dengan menyeluruh.

Kami menggesa Menteri untuk memberi fokus kepada masalah sebenar TRM dan bukannya menegakkan benang yang basah dengan pendirian maklumat Menteri adalah tepat mengikut laporan lama.

Negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Penang dan Singapura memang tiada TRM tetapi tidak bermakna TRM tidak perlu diadakan. Kuasa untuk gazet kawasan TRM terletak bawah Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan. Tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan TRM perlu dilindungi dan dipelihara.– 5 April, 2023.

* Armin Baniaz Pahamin, Sekretariat Tanahair.

ARTIKEL INI DIPETIK DARI THE MALAYSIA INSIGHT: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/436565 
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo