Responsive Ad Slot

Slider

ORANG MELAYU DAHAGAKAN PELUANG


Had perbelanjaan sesebuah parti politik semasa pilihanraya perlu diselaras dan dihadkan kerana perbelanjaan ini adalah punca rasuah dan bermulanya pimpinan yang korup. Keadaan orang-orang melayu yang miskin juga menjadikan mereka senang dipengaruhi dengan duit.

Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan had belanja maksima RM200 ribu untuk setiap calon dan setiap calon diwajibkan untuk menghantar akaun perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Walaupun akaun tersebut dihantar dengan rekod jumlah di dalam had yang dibenarkan, tetapi jumlah itu tidak disemak atau disahkan secara audit samada jumlah itu benar atau tidak.

Belanja Mewah Kempen Pilihanraya

Perbelanjaan mewah sesebuah parti politik menjadi asas dan permulaan kepada budaya rasuah dan korup. Mana mungkin gabungan parti politik yang baru seperti Perikatan Nasional dapat mengumpul dan berbelanja beratus juta. Dari manakah datangnya sumber kewangan beratus juta ini?

PRU 15 telah dilabelkan pilihanraya paling korup dalam sejarah Malaysia oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan kita harus mengambil serius pandangan ini.

PRU 15 juga telah di labelkan ‘Mother of all election’ atau ‘Ibu segala pilihanraya’ oleh Presiden UMNO Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sekarang ini menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana masa depan kluster mahkamah bergantung kepada keputusan pilihanraya ke lima belas itu. Bayangkan jumlah wang yang telah dibelanjakan semasa berkempen dalam ‘Ibu segala pilihanraya’ itu.

Anak-anak muda dan calon-calon politik berpendidikan tinggi yang berpotensi dan bersih belum dipengaruhi unsur-unsur korup dan bebas dari aktiviti rasuah tidak mungkin berpeluang untuk memenangi mana-mana pilihanraya jika ia tidak mewakili parti politik yang mempunyai peruntukan dana yang besar.

Berapa ramai calon-calon dari kalangan anak muda yang mempunyai simpanan untuk berkempen dan berbelanja RM200 ribu dalam had yang dibenarkan. Calon-calon yang menggunakan simpanan mereka untuk berkempen tentunya akan mencari jalan untuk mendapatkan kembali wang ‘pelaburan’ mereka apabila mereka menang pilihanraya.

Jentera parti juga telah dimanjakan dengan imbuhan yang besar untuk bertugas. Parti politik atau calon yang tidak memberi apa-apa imbuhan atau sekadar duit kopi yang kecil akan kehilangan sebahagian besar jentera sokongan mereka.

Wang Penentu Kemenangan Politik

Itulah yang berlaku kepada calon-calon Gerakan Tanahair dan Parti Pejuang semasa PRU 15. Malah jentera-jentera parti sendiri meminta imbuhan setinggi tiga ratus ribu hingga lima ratus ribu ringgit satu parlimen untuk berkempen.

Apabila tidak mendapat jumlah yang diminta, mereka sanggup menukar baju berkempen kepada parti lawan yang memberi dana yang besar. Pejabat cawangan dan bahagian parti ditukar menjadi bilik gerakan parti lawan kerana mendapat gaji, elaun dan peruntukan dari parti lawan.

In berlaku kerana orang melayu tidak ada duit dan seberapa kecil jumlah yang diberi, ianya diterima kerana mereka terpaksa menampung perbelanjaan asas mereka yang mereka amat memerlukan.

Kelemahan dan budaya inilah yang di eksploitasi oleh pemimpin politik dengan slogan ‘Cash is King’. Berbilion ringgit terpaksa dicuri dari projek-projek kerajaan untuk mencapai matlamat membeli jiwa rakyat.

Pendekatan ini amat berbeza dengan falsafah negarawan Tun Dr Mahathir. Dr Mahathir lebih memberi penekanan untuk membantu rakyat dengan memberi mereka kemahiran yang dapat menjana pendapatan, membuka peluang perniagaan dengan membina industri dan memberi pendidikan untuk memenuhi permintaan industri.

Perjuangan Pupus Kerana Budaya Politik Wang

Disebabkan oleh budaya duit, sesebuah parti politik memerlukan dana yang besar untuk berfungsi. Hampir pupus perjuangan ikhlas yang hanya bersenjatakan semangat.

Kos untuk mengendalikan sebuah parti politik juga semakin meningkat dengan budaya duit. Pada suatu ketika selepas kemerdekaan, perhimpunan dan mesyuarat parti politik menghidangkan bihun goreng dan teh kepada hadirin mesyuarat, program atau perhimpunan. Makanan yang dijamu adalah untuk mengalas perut anggota bertugas dan para jemputan ke majlis. Matlamat utama perhimpunan adalah untuk menyampaikan mesej dan memupuk perpaduan.

Selepas beberapa dekad, hadirin sesuatu perhimpunan semakin kurang akibat kesibukan bekerja. Zaman dahulu, waktu kerja berakhir jam 4.30 petang. Kita mempunyai banyak masa untuk beriadah, berpolitik dan bersukan. Di bandar, paling awal kita habis kerja sebelum maghrib.

Ramai juga yang terpaksa bermaghrib di pejabat sebelum pulang. Untuk menarik hadirin yang semakin kurang ini, mereka dihidangkan dengan jamuan mewah sehingga ada yang menghidangkan sekor lembu dan/atau kambing golek. Tarikan untuk menghadiri sesuatu majlis bukan lagi untuk mendengar mesej perjuangan tetapi untuk menikmati juadah mewah.

Terkini disetiap program, majlis dan perhimpunan diraikan juga dengan berbagai sumbangan-sumbangan kepada anak yatim dan lain-lain. Program dimeriahkan lagi dengan menawarkan cabutan bertuah berbentuk iPhone terbaru, ada juga yang bagi motosikal dan laptop.

Berkempen menggunakan helikopter juga melibatkan kos.

Dari mana datangnya dana-dana untuk perbelanjaan yang semakin besar ini?

Ramai yang bergegas menjadi ahli-ahli parti untuk menikmati kemewahan sementara ini. Melihat minat ahli-ahli terhadap duit dan kemewahan, pemimpin parti mula memberi sogokan untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam parti.

Ramai juga yang sanggup memberi dedak untuk menjadi jawatankuasa bahagian atau perwakilan kerana mereka percaya perwakilan dan jawatankuasa akan mendapat akses kepada rasuah melalui pemberian berbagai projek dari kerajaan untuk membiayai pergerakan politik mereka. Ramai juga yang mengharap diberi jawatan-jawatan dalam agensi-agensi dan badan-badan kerajaan sebagai balasan perjuangan.

Proklamasi Orang Melayu

Kenapa ini berlaku? Budaya duit ini rancak berlaku kerana majoriti orang melayu miskin. Mereka memang memerlukan duit. Makanan mewah yang dihidangkan adalah makanan percuma yang mereka jarang temui. Cabutan bertuah yang disediakan seumpama hadiah loteri yang mereka idamkan. 

Orang Melayu perlu dibimbing sehingga mereka boleh berdikari dengan pendapatan yang selesa supaya mereka dapat menolak sebarang saguhati, sumbangan atau rasuah untuk memilih dan mengundi pemimpin yang korup. Apabila orang Melayu selesa, mereka bebas membuat pilihan sendiri tanpa perlu bergantung kepada buah tangan ahli politik.

Inilah yang di impikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukan-pasukan Dr Mahathir melalui Proklamasi Orang Melayu. Orang Melayu perlu keluar dari kemiskinan. Orang Melayu dahagakan peluang.

Perbelanjaan sesebuah parti semasa pilihanraya perlu dihadkan supaya lebih ramai calon yang bersih dan berwibawa dapat berkhidmat mewakili rakyat membuka berbagai peluang kepada orang Melayu. Kita juga dapat mengelak pembaziran di atas kos berjuta mencetak dan memasang bendera dan kos-kos lain semasa pilihanraya.

Armin Baniaz Pahamin, seorang pemerhati politik

Artikel ini pertama kali dikeluarkan di Malaya Daily. - https://malayadaily.com/kolumnis/orang-melayu-perlu-keluar-dari-kemiskinan/

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo