Responsive Ad Slot

Pengerusi PN baru harus Menjadi Penyatu dan bukan Calon Perdana Menteri


1. Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 membuka satu ruang pembaharuan kepimpinan yang amat signifikan dan mesti dimanfaatkan secara matang, strategik serta berlandaskan kepentingan jangka panjang gabungan ini.

2. Perkembangan tersebut turut disusuli dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan lain dalam struktur PN, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN serta jawatan-jawatan berkaitan di peringkat negeri. 

3. Keadaan ini mencerminkan bahawa PN kini berada dalam fasa transisi kepimpinan yang kritikal dan memerlukan kestabilan baharu.

4. Dalam masa yang sama, dinamika dalaman PN yang dipaparkan melalui laporan media menunjukkan keperluan mendesak untuk suatu proses penstrukturan semula kepimpinan yang lebih tersusun, inklusif dan berteraskan konsensus, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

5. Dalam kerangka teori pengurusan gabungan (coalition governance), krisis transisi kepimpinan lazimnya mengundang dua risiko utama, iaitu fragmentasi dalaman yang berpunca daripada perebutan mandat dan perbezaan strategi antara komponen, serta kekaburan naratif kepada akar umbi mengenai arah tuju dan identiti sebenar gabungan.

6. Justeru, PN wajar melantik seorang pengerusi yang bukan sekadar pemegang jawatan, tetapi berfungsi sebagai simbol penyatuan nasional Melayu yang mampu mengurus kepelbagaian kepentingan parti komponen secara adil, seimbang dan berwibawa.

7. Sehubungan itu, saya menyatakan sokongan terbuka agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dipertimbangkan dan dipersetujui melalui konsensus Majlis Tertinggi PN sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional.

8. Tun merupakan seorang negarawan yang diiktiraf merentasi generasi. 

9. Wibawa dan pengalaman beliau amat penting untuk memulihkan keyakinan akar umbi, menurunkan suhu ketegangan dalaman, serta mengembalikan disiplin politik dalam kalangan komponen PN.

10. Dalam landskap pembangkang semasa, PN memerlukan seorang arbiter yang tidak dilihat mewakili mana-mana puak atau komponen secara eksklusif. 

11. Seorang pengerusi yang berfungsi sebagai pengimbang lebih berupaya memimpin musyawarah dan membina kesepakatan, bukan memenangi persaingan dalaman.

12. Bagi memantapkan keyakinan semua pihak, cadangan ini wajar disertai dengan satu prinsip yang jelas, iaitu Tun memegang jawatan Pengerusi sebagai penyatu, bukan sebagai calon Perdana Menteri. 

13. Prinsip ini penting bagi mengelakkan persepsi bahawa jawatan pengerusi dijadikan landasan untuk menguasai agihan kuasa atau membina laluan peribadi ke Putrajaya. 

14. Sekiranya Tun bersetuju, satu komitmen awam berhubung perkara ini akan mengukuhkan legitimasi kepimpinan beliau.

15. Gesaan Pemuda PN agar keputusan-keputusan besar dibuat melalui konsensus Majlis Tertinggi PN perlu dijadikan amalan institusi yang berterusan, bukan sekadar reaksi sementara terhadap krisis.

16. Sebagai pengerusi, Tun berperanan memperkukuh tadbir urus dalaman PN supaya setiap parti komponen berasa dihormati, dilindungi dan diberikan ruang yang adil dalam proses membuat keputusan.

17. Lantikan ini berpotensi mengangkat PN sebagai payung besar Melayu yang matang, berdisiplin dan bersatu, serta mampu menyusun kekuatan pembangkang untuk menawarkan alternatif kerajaan yang lebih berwibawa, stabil dan diyakini oleh rakyat.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin


Dr Mohammed Taufiq Johari Menteri dari Parti Keadilan Rakyat Wajar Disiasat


Dr Mohammed Taufiq Johari Menteri dari Parti Keadilan Rakyat Wajar Disiasat: Isu Salah Guna Gelaran dan Penyalahgunaan Kepercayaan Awam

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin


Pelantikan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat, Dr Mohammed Taufiq Johari, sebagai Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini telah mencetuskan perbahasan awam yang serius, khususnya berhubung status kelayakan profesional serta dakwaan penglibatan beliau dalam amalan perubatan tanpa pendaftaran yang sah.


Isu ini bukan bersifat teknikal yang memerlukan tafsiran elit perundangan semata-mata. Ia adalah persoalan asas tentang integriti, ketelusan dan perlindungan awam. 


Beberapa peruntukan undang-undang negara kelihatan terlibat secara langsung dan wajar diberi penelitian sewajarnya oleh pihak berkuasa.


Seksyen 416 Kanun Keseksaan – Penyamaranaan Identiti Profesional Seksyen 416 memperuntukkan kesalahan menyamar sebagai seseorang yang berkelayakan atau berlesen bagi tujuan memperdaya pihak lain. 


Terdapat dakwaan bahawa Dr Taufiq telah mengendalikan rawatan pesakit di Klinik Dr Hadi, Sungai Petani dengan menggunakan gelaran dan perwatakan sebagai seorang pengamal perubatan, sedangkan beliau bukan seorang doktor perubatan yang berdaftar.


Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga tujuh (7) tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.


Seksyen 420 Kanun Keseksaan – Penipuan untuk Mendapat Manfaat. Seksyen ini merangkumi kesalahan menipu bagi mendapatkan harta, kedudukan atau faedah. 


Dalam konteks ini, wujud dakwaan bahawa Dr Taufiq telah mempromosikan dirinya sebagai seorang pegawai perubatan bertauliah bagi meraih sokongan dan kepercayaan pengundi, termasuk menawarkan perkhidmatan perubatan semasa kempen pilihan raya, yang kemudiannya membawa kepada kemenangan pilihan raya dan manfaat politik.


Jika disabitkan, hukuman boleh mencecah penjara antara satu (1) hingga sepuluh (10) tahun, sebatan serta denda.


Akta Perubatan 1971 – Amalan Perubatan Tanpa Pendaftaran. Di bawah Akta Perubatan 1971, hanya individu yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) dibenarkan mengamal perubatan di Malaysia. 


MMC sendiri telah mengesahkan bahawa Dr Taufiq bukan seorang pengamal perubatan berdaftar. Maka, sebarang bentuk rawatan yang dilakukan oleh beliau boleh diklasifikasikan sebagai amalan perubatan haram.


Kesalahan ini membawa hukuman penjara sehingga tiga (3) tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.


Isu ini bukan semata-mata berkisar kepada seorang individu atau jawatan menteri semata-mata, tetapi menyentuh prinsip asas perlindungan pengguna, keselamatan pesakit dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. 


Dalam sebuah negara hukum, tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. 


Kedudukan sebagai menteri kabinet, hubungan politik dengan Perdana Menteri, mahupun status sebagai anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, tidak boleh dan tidak seharusnya dijadikan perisai daripada penelitian undang-undang. 


Prinsip kedaulatan undang-undang menuntut supaya setiap dakwaan salah laku disiasat secara bebas, telus dan tanpa pilih kasih.


Semasa Pakatan Harapan berada di bangku pembangkang, para pemimpin, khususnya daripada DAP lantang mengkritik UMNO, termasuk mempertikaikan kelayakan akademik Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan mempersoalkan kesahihan ijazah PhD beliau sebagai isu integriti awam.


Kini, setelah UMNO menjadi rakan sekutu dalam kerajaan, sensitiviti terhadap isu yang sama kelihatan berubah dengan drastik. 


Toleransi terhadap perkara yang dahulunya dikecam mencerminkan satu bentuk relativisme moral yang merosakkan wibawa reformasi yang pernah dijanjikan.


Begitu juga dengan UMNO. Di manakah pendirian prinsip dan integriti parti yang selama ini mengangkat naratif mempertahankan maruah institusi negara? 


Apakah peranan Pemuda UMNO dalam mempertahankan prinsip akauntabiliti, atau adakah mereka turut terperangkap dalam budaya kompromi kuasa yang mengaburkan sempadan antara kebenaran dan kepentingan?


Dalam sebuah negara hukum, konsistensi prinsip adalah asas kepada legitimasi politik. 


Reformasi tidak boleh bersifat selektif, dan integriti tidak boleh menjadi komoditi yang berubah mengikut konfigurasi kuasa. 


Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan satu siasatan bebas dan telus demi memelihara integriti sistem pentadbiran awam serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan profesion perubatan negara.


Salam hormat

Dr Armin Baniaz Pahamin

UMNO PERLU CERAI TALAK 3

 
UMNO PERLU CERAI TALAK 3.
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Disember 2025 yang menolak pelaksanaan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah bukan sekadar sebuah keputusan perundangan. 

2. Ia adalah suatu perkembangan yang memberi makna mendalam kepada etika, kematangan dan adab dalam politik Malaysia.

3. Adakah UMNO masih sanggup bersekongkol dengan parti DAP yang muflis adab Melayunya. 

4. Bangsa yang beradab tidak meraikan kejatuhan, dan pemimpin yang beradab tidak memijak orang yang telah jatuh. 

5. Inilah teras adat Melayu dan tuntutan agama kita. Memuliakan manusia walaupun ketika kita berbeza, dan menjaga maruah walaupun dalam pertarungan politik.

6. Parti DAP bukan sahaja gagal memahami sensitiviti bangsa Melayu, malah secara terbuka meremeh, menghina dan memperlekeh nilai kemanusiaan serta budaya politik orang Melayu.

7. Reaksi pemimpin DAP bukan sahaja tidak sensitif tetapi juga merendahkan nilai adab dalam politik.

8. Pemimpin seperti YB Yeo Bee Yin telah memuat naik komen yang dilihat lebih seperti gloating atau merayakan keputusan mahkamah tanpa mengambil kira dimensi emosi dan kehormatan insan.

9. Tony Pua pula membuat kenyataan yang secara eksplisit menyatakan bahawa tiada keperluan untuk bersimpati kepada Najib dan bahawa tidak wajar untuk menunjukkan kemanusiaan terhadap seseorang yang digelarnya sebagai “crook” dan menyelar penyokong Najib sebagai “lovers of a crook.”

10. Penggunaan istilah dan nada seperti ini bukan sahaja mencetus ketegangan, tetapi merendahkan nilai perdebatan politik yang beradab.

11. UMNO tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik retorik “demi kestabilan politik” apabila sebahagian pemimpin DAP terus menunjukkan sikap tidak beradab, menghina dan merendahkan sensitiviti Melayu. 

12. Khususnya dalam isu yang menyentuh maruah bekas Perdana Menteri dan jutaan rakyat yang pernah memberi sokongan kepadanya.

13. ini bukan soal politik kepartian. Ini soal maruah bangsa dan integriti kepimpinan UMNO sendiri.

14. Di manakah suara UMNO?

15. Adakah UMNO hanya berani bersuara apabila ia menguntungkan kedudukan mereka tetapi memilih diam apabila penghinaan itu datang daripada rakan gabungan sendiri?

16. Apakah harga “kerjasama” sehingga maruah Melayu boleh digadai?

17. UMNO kini duduk dalam satu kerajaan dengan parti yang sebahagian pemimpinnya:
* tidak menghormati adab politik,
* tidak sensitif terhadap budaya Melayu,
* dan tidak menunjukkan empati terhadap perasaan rakyat Melayu.

18. Apakah harga kuasa yang sanggup dibayar sehingga penghinaan ini dibiarkan tanpa sebarang pendirian tegas?

19. Adakah kedudukan menteri lebih penting daripada harga diri bangsa?

20. Sejak bila UMNO menjadi parti yang takut kepada DAP?

21. UMNO lahir sebagai benteng maruah Melayu. Hari ini, UMNO kelihatan lebih takut kehilangan jawatan berbanding takut kehilangan kepercayaan orang Melayu.

22. Mengapa kenyataan menghina daripada DAP dibiarkan berlalu begitu sahaja?

23. Mengapa tidak ada garis merah? Mengapa tiada pendirian rasmi yang mempertahankan adab dan sensitiviti Melayu?

24. UMNO perlu bercerai talak 3 dengan kerajaan Madani.

25. Saya bersuara sebagai seorang Melayu, seorang pengundi yang mahukan penyatuan semua parti politik melayu, NGO, NGI melayu dan semua yang berbangsa melayu. 

Salam hormat, 
Dr Armin Baniaz Pahamin

Kampung Melayu Sungai Penchala sebagai tapak warisan Melayu di Tanah Melayu

 


“Mempertahankan warisan Melayu tidak seharusnya terhad kepada penggazetan kampung tertentu semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar perancangan bandar, pendidikan, seni bina, ekonomi dan pentadbiran negara secara menyeluruh.”
1. Kenyataan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang memberi jaminan untuk memelihara kampung tradisi Melayu khususnya Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu, wajar diteliti secara lebih mendalam dan kritis.
2. Kenyataan tersebut pada zahirnya kelihatan bersifat inklusif dan progresif, namun pada masa yang sama membangkitkan persoalan asas yang menyentuh akar identiti dan falsafah kenegaraan Malaysia.
3. Pertamanya, Malaysia pada dasar sejarah dan perlembagaan merupakan Tanah Melayu, apakah keperluan sesebuah kampung Melayu digazetkan secara khususnya sebagai “tanah warisan Melayu”.
4. Adakah tindakan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa hanya kawasan tertentu sahaja yang layak diiktiraf sebagai warisan Melayu, sedangkan seluruh tanah air ini terbina atas sejarah, tamadun dan budaya Melayu?
5. Adakah tanah Melayu telah pupus, sehingga hanya beberapa bidang tanah sahaja yang masih “boleh diselamatkan” melalui pengiktirafan rasmi.
6. Ini mencerminkan satu kegagalan struktur dalam mempertahankan identiti asal negara dalam landskap pembangunan moden.
7. Apabila naratif pemeliharaan warisan Melayu ini digerakkan oleh seorang menteri daripada parti DAP, sebuah parti yang secara ideologi dan perlembagaan partinya, sering menekankan konsep kesamarataan ruang dan identiti.
8. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa tanah air ini sudah ditafsir sebagai sebuah ruang pelbagai kaum yang bersifat neutral, manakala identiti dan elemen Melayu pula dilokalisasikan serta dihadkan kepada “zon-zon tertentu”.
9. Pendekatan sedemikian menyerupai konsep little enclave dalam bandar kosmopolitan, seolah-olah penempatan Melayu atau “Malay town” di Malaysia disamakan dengan Chinatown di Eropah atau negara-negara Barat, bukannya sebagai identiti teras yang membentuk keseluruhan landskap sejarah, budaya dan kenegaraan negara ini.
10. Secara peribadi saya sedih bila kampung tempat tinggal saya sendiri diperjuangkan sebagai “warisan Melayu” oleh seorang menteri bukan Melayu.
11. Ini bukan bersifat perkauman, tetapi dimanakah 16 orang mantan-mantan Menteri Wilayah yang pernah dilantik? Tidakkah mereka berasa malu dengan seorang Menteri DAP yang memperjuangkan pembangunan warisan tapak melayu?
12. Mantan-mantan menteri Melayu telah gagal atau alpa dalam mempertahankan warisan Melayu secara tuntas dan menyeluruh.
13. YB Hannah Yeoh merupakan menteri bukan Melayu yang pertama.
14. with all due respect to YB Hannah Yeoh, Malaysia sebagai Tanah Melayu mempunyai asas warisan Melayu yang jauh melangkaui sempadan kampung, daerah atau negeri.
15. Warisan ini merentasi ruang bandar dan desa, meresap dalam struktur sosial, sistem nilai, bahasa, adat resam dan institusi masyarakat.
16. Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, konsep Tanah Melayu bukan sekadar satu istilah geopolitik, tetapi satu realiti peradaban yang membentuk asas masyarakat Malaysia moden.
17. Tanah ini merupakan ruang sejarah tempat berkembangnya bahasa Melayu, adat istiadat, kepercayaan serta sistem kemasyarakatan Melayu yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
18. Oleh itu, mempertahankan warisan Melayu tidak seharusnya terhad kepada penggazetan kampung tertentu semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan dalam dasar perancangan bandar, pendidikan, seni bina, ekonomi dan pentadbiran negara secara menyeluruh.
19. Malaysia bukan sekadar sebuah nama negara. Ia adalah Tanah Melayu, sebuah tanah yang sarat dengan nilai sejarah, seni bina tradisional, corak kehidupan sosial dan simbol-simbol komuniti Melayu.
20. Dalam era pembangunan bandar yang pesat, mempertahankan warisan ini menuntut lebih daripada pengiktirafan simbolik.
21. Ia memerlukan keberanian politik, kejelasan dasar dan komitmen nasional untuk memastikan identiti Melayu terus dibela dan diperkukuh, bukan sebagai artifak muzium, tetapi sebagai asas hidup kepada masa depan negara.
22. Komitment mempertahankan budaya dan identiti Melayu secara menyeluruh ini tidak mungkin akan dan boleh diperjuangkan oleh DAP wallahu a’lam

Apabila ideologi DAP melangkaui Perlembagaan Persekutuan


Apabila ideologi DAP melangkaui Perlembagaan Persekutuan

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin


Kenyataan media oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berhubung isu hiasan perayaan serta keperluan “kesamarataan” dalam pelaksanaan dasar perlu diteliti secara lebih mendalam dan diletakkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta realiti struktur ekonomi negara.


Inilah antara masalah utama apabila pemimpin yang berkompaskan ideologi dan perlembagaan parti DAP dilantik dalam jemaah menteri tanpa kefahaman tuntas terhadap asas pembentukan negara dan kontrak sosial.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu memahami bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu cadangan dasar atau polisi sementara.


Sebaliknya satu mandat perlembagaan yang mewajibkan kerajaan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, termasuk dalam aspek ekonomi, pendidikan dan keusahawanan.

Bantuan kepada usahawan Bumiputera bukanlah satu bentuk keistimewaan yang diberi secara sewenang-wenangnya, tetapi hak yang dijamin oleh Perlembagaan untuk membetulkan ketidakseimbangan struktur ekonomi yang wujud sejak sebelum merdeka.


Orang Melayu tidak pernah menafikan hak kaum bukan Bumiputera. Realiti ekonomi Malaysia sendiri membuktikan perkara ini. 


Statistik kekayaan dan pemilikan aset menunjukkan bahawa sembilan daripada sepuluh individu terkaya di Malaysia adalah bukan Bumiputera. 


Ini jelas menunjukkan bahawa peluang ekonomi untuk kaum lain bukan sahaja terbuka, malah berkembang pesat.


Kenyataan Menteri DAP yang baru dilantik ini telah menidakkan hak Bumiputera apabila semua kaum diletakkan pada kedudukan yang sama tanpa mengambil kira peruntukan khusus Perlembagaan Persekutuan berasaskan kaum, bangsa dan agama.


Data rasmi dan kajian ekonomi menunjukkan gambaran yang membimbangkan. 


Setakat tahun 2024, pemilikan Bumiputera dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hanyalah sekitar 30%, walaupun Bumiputera merupakan majoriti penduduk negara.


PMKS merangkumi hampir 98% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, menyumbang kira-kira 38% kepada KDNK negara dan hampir separuh peluang pekerjaan.


Sektor makanan dan hotel yang sering dijadikan contoh, sememangnya melibatkan ramai usahawan Bumiputera, namun majoritinya berada pada skala mikro dan kecil, beroperasi dengan margin rendah, akses modal terhad dan daya tahan perniagaan yang lemah.


Hakikat ini membuktikan bahawa tanpa sokongan bersasar, usahawan Bumiputera bukan sahaja sukar untuk berkembang, malah berisiko untuk terus ketinggalan dalam rantaian nilai ekonomi.


Kemarahan orang Melayu hari ini bukan berpunca daripada sikap menolak kepelbagaian atau menafikan hak kaum lain. Kemarahan ini lahir apabila hak perlembagaan mereka sendiri dipersoalkan atau diketepikan. 


Khususnya oleh menteri yang baru dilantik dan dilihat gagal memahami sensitiviti sejarah, perlembagaan dan struktur ekonomi negara.


Lebih membimbangkan, kemarahan ini turut tertumpu kepada pemimpin Melayu dalam Kerajaan Madani. 


Khususnya daripada UMNO, yang dilihat gagal mempertahankan kepentingan usahawan Melayu dan Bumiputera apabila dasar dan kenyataan yang menghakis Perkara 153 mula dinormalisasikan.


Isu ini bukan soal hiasan perayaan semata-mata, tetapi soal hala tuju dasar negara. Malaysia tidak dibina atas asas kesamarataan mutlak, tetapi atas prinsip keadilan berperlembagaan. 


Selagi jurang ekonomi Bumiputera masih wujud, selagi itulah sokongan bersasar melalui kementerian seperti KUSKOP bukan sahaja wajar, malah wajib.


Kerajaan yang bertanggungjawab perlu memastikan bahawa setiap kenyataan dasar selari dengan Perlembagaan Persekutuan, menghormati kontrak sosial, dan tidak menambah keresahan dalam kalangan rakyat yang sekian lama memegang amanah untuk mempertahankan kestabilan negara.


Salam Hormat

Dr Armin Baniaz Pahamin




















Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin 

© all rights reserved
made with by templateszoo