Responsive Ad Slot

Showing posts with label Angkatan Tentera Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Angkatan Tentera Malaysia. Show all posts

KESELAMATAN NEGARA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI


KESELAMATAN NEGARA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI
Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin

1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan benteng utama kedaulatan dan keselamatan negara.

2. ATM bukan sekadar sebuah institusi pentadbiran, tetapi teras strategik pertahanan nasional yang menjamin kelangsungan negara, kestabilan politik dan keselamatan rakyat.

3. Oleh itu, sebarang isu yang menyentuh tadbir urus, perolehan dan integriti ATM bukan isu dalaman semata-mata tetapi ia adalah isu keselamatan negara.

4. Pendedahan awam dan siasatan berterusan berkaitan projek perolehan Tentera Darat Malaysia telah menimbulkan kebimbangan nasional yang serius. 

5. Perolehan pertahanan bukan sekadar urusan kontrak, tetapi berkait secara langsung dengan kesiapsiagaan tempur, keberfungsian sistem senjata, keupayaan operasi, serta nyawa anggota yang mempertahankan negara.

6. Adakah keselamatan negara sedang terdedah akibat kelemahan tadbir urus pertahanan?

7. Keputusan kerajaan merehatkan Panglima Tentera Darat sementara menunggu siasatan adalah langkah strategik yang wajar bagi memastikan keselamatan negara tidak dikompromi oleh konflik kepentingan, tekanan institusi atau gangguan terhadap siasatan.

8. Dalam konteks keselamatan moden, ancaman bukan sahaja datang dari luar sempadan, tetapi juga dari dalam sistem melalui rasuah, kebocoran tadbir urus, sabotaj institusi dan penyusupan kepentingan komersial ke dalam struktur pertahanan negara.

9. Negara memerlukan warganegara berprinsip seperti Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) dan pasukannya yang berani menjalankan peranan sebagai pemantau sivik atau ’watchdog’.

10. Mereka bukan ancaman kepada negara, tetapi barisan pertahanan moral yang mencegah keselamatan negara daripada dikompromi secara senyap.

11. Pengalaman antarabangsa membuktikan bahawa rasuah dalam perolehan pertahanan merupakan antara ancaman keselamatan paling berbahaya.

12. Di United Kingdom, skandal BAE Systems telah memaksa reformasi besar sistem perolehan pertahanan selepas pendedahan rasuah kontrak jet pejuang. 

13. Manakala di Korea Selatan, skandal perolehan senjata mengakibatkan panglima dan pegawai kanan dipenjarakan serta menjejaskan kesiapsiagaan negara.

14. Di India pula, skandal AgustaWestland melumpuhkan perlindungan keselamatan kepimpinan negara untuk tempoh yang panjang.

15. Kesemua kes ini membuktikan bahawa rasuah pertahanan bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi ancaman langsung kepada keselamatan negara.

16. Chegu Bard dan pasukan pemantau sivik bukan ancaman kepada negara, mereka adalah benteng pertahanan moral negara.

17. Pendedahan penyelewengan angkatan tentera malaysia bukanlah serangan terhadap ATM tetapi ia adalah pembelaan terhadap ATM. 

18. Mereka bukan musuh institusi, mereka adalah penjaga integriti institusi.

19. Malaysia tidak kekurangan undang-undang. Yang kita kekurangan ialah keberanian kolektif untuk 
menguatkuasakannya.

20. Budaya takut menegur mesti ditamatkan dan digantikan dengan budaya akauntabiliti strategik, ketelusan pertahanan dan keberanian sivik.

21. Negara yang kuat bukan negara yang menutup suara rakyat,
tetapi negara yang berani mendengar kebenaran.

22. Siasatan terhadap projek perolehan Tentera Darat mesti dijalankan secara telus, bebas dan bertanggungjawab, dan perkembangannya wajar dimaklumkan secara berkala kepada rakyat. 

23. Ketelusan ini penting untuk memulihkan keyakinan awam, melindungi ATM dan memastikan keselamatan negara tidak dikompromi oleh mana-mana kepentingan.

24. Sekiranya siasatan dan proses perundangan mendapati wujud sebarang kesalahan, pihak yang bertanggungjawab mesti dihukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang sebagai teladan agar keselamatan negara tidak dikompromi, kerana merekalah yang telah diberi amanah untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negara.

Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo