Responsive Ad Slot

Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Perjanjian Perdagangan MAS-AS: Jimat RM12 bilion, jerut leher RM1 trilion


Perjanjian Perdagangan MAS-AS: Jimat RM12 bilion, jerut leher RM1 trilion

Malaysia Gazette - 29 October 2025


KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Reciprocal Trade Agreement) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 wajar dipersoalkan daripada sudut kepentingan nasional, rasionaliti ekonomi dan keseimbangan strategik serantau.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, penurunan tarif timbal balas terhadap barangan Malaysia daripada 25% kepada 19% atau pengurangan sebanyak 6% hanya memberi penjimatan kasar kira-kira RM11.9 bilion setahun
berdasarkan nilai eksport semasa (RM 198.65 bilion × 6 %).


Tambah beliau, berdasarkan Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade), jumlah dagangan dua hala Malaysia–AS bagi tahun 2024 mencecah RM 324.91 bilion, dengan nilai eksport Malaysia ke AS sebanyak RM 198.65 bilion, menjadikan Amerika Syarikat rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.


“Jumlah penjimatan ini adalah terlalu kecil untuk diberi komitmen dagangan gergasi dengan jumlah hampir RM1 trilion yang kita perlu tanggung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Pada 26 Oktiber lalu, AS dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, yang akan memberi akses pasaran belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara.


Menurut kenyataan kedua-dua buah negara,  terma utama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas itu membabitkan komitmen di pihak Malaysia untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang besar bagi eksport barangan perindustrian dari AS.


Perjanjian tersebut meliputi perolehan 30 pesawat dengan opsyen pembelian tambahan 30 lagi, pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data dengan nilai dianggarkan AS$150 bilion pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair (LNG) bernilai sehingga AS$3.4 bilion setahun pembelian arang batu dan produk serta perkhidmatan telekomunikasi bernilai AS$204.10 juta dan pelaburan dana modal di AS sebanyak AS$70 bilion.


Menurut Armin Baniaz, selain daripada pembelian pesawat Boeing dan LNG perjanjian tersebut membabitkan pelaburan besar dalam sektor semikonduktor, pusat data dan komponen aeroangkasa bernilai lebih AS$150 bilion.


Katanya, adakah Malaysia mampu menanggung beban kewangan sebesar itu ketika Malaysia Aviation Group (MAG) sendiri masih mencatat kerugian dan belum pulih sepenuhnya selepas penstrukturan semula.


Beliau turut mempersoalkan dari mana sumber dana pembelian ini akan diperolehi jika bukan daripada suntikan kerajaan menggunakan wang rakyat.


Sementara Armin Baniaz mempersoalkan pembelian LNG dari AS dan  berkata, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) dunia, adakah logik untuk Malaysia membeli LNG bernilai RM16 bilion setahun (AS$3.4 bilion).


“Malaysia merupakan pengeksport LNG kelima terbesar di dunia. Perjanjian seperti ini tidak menggambarkan strategi ekonomi berasaskan daya saing, tetapi lebih menyerupai perangkap ekonomi yang memihak kepada kuasa besar,” ujarnya.


Katanya, komitmen pembelian secara besar-besaran yang mengalirkan keluar rizab negara tidak memberi manfaat kepada industri tempatan.


Armin Baniaz memberitahu, perjanjian itu juga mengehadkan ruang Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang strategik seperti China atau negara yang banyak menawarkan kerjasama tanpa tarif tinggi dan dengan nilai tambah lebih besar kepada sektor tempatan.


Jelasnya,  Malaysia bukan sahaja menanggung kos ekonomi, tetapi juga kehilangan kebebasan membuat dasar perdagangan yang berdaulat untuk memenuhi tekanan perjanjian bilateral.


“Daripada dijerut leher dengan komitmen dagangan bernilai hampir RM1 trilion, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepatutnya mengambil peluang kepimpinan ini untuk memimpin rundingan
secara konsensus bersama negara-negara ASEAN lain,” katanya.


Berikutan itu, beliau berkata, sdalah wajar bagi kerajaan untuk menyemak kembali kandungan perjanjian ini dan membahaskannya di Parlimen, supaya setiap komitmen dagangan yang dibuat tidak memudaratkan ekonomi negara dan kekal selaras dengan kepentingan nasional. – MalaysiaGazette

Artikel asal di: https://malaysiagazette.com/2025/10/29/perjanjian-perdagangan-mas-as-jimat-rm12-bilion-jerut-leher-rm1-trilion/ 



GEM tuntut lima pembaharuan dalam RMK13

PETALING JAYA: Kerajaan dituntut untuk melaksanakan lima pembaharuan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyelesaikan isu sebenar permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pembaharuan itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Pengawasan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk semak dan imbang.

Katanya, kerajaan dituntut membentangkan Rang Undang-Undang Reformasi Perolehan dan Anti-Rasuah Nasional dan mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Kerajaan juga dituntut untuk menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh serta merombak semula hubungan Persekutuan -Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir dan pembangunan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armin Baniaz berkata, tuntutan itu dikeluarkan GEM selepas melihatkan bahawa RMK13 yang diumumkan minggu lalu bersifat terlalu banyak retorik dan kurang teliti kerana tidak menyentuh isu-isu penting iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.

Katanya, hal ini disebabkan lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan PPP bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan dalam erti kata lain bukan pelaburan negara.

“Tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang Parlimen.

“Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa Parlimen diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

“Pada masa sama, kerajaan melaungkan inisiatif AI (Kecerdasan Buatan) Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam, namun tiada penjelasan konkrit mengneai kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera,” katanya.

Tambahnya lagi, RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan kerana ketiadaan klausa kandungan tempatan (local content), mekanisme untuk menyokong Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Pada masa sama, katanya, walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi Sumbangan Tunai Rahmah (STR)dan pendidikan percuma namun ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat.

“Ia gagal menangani permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

“Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu,” katanya.

Terakhir, Armin Baniaz berkata, paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sistem pelantikan kehakiman dan tiada perincian perkongsian kuasa serta hasil dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak.-UTUSAN

RMK13 rancangan pembangunan yang gagal sentuh jantung krisis

Kerajaan melancarkan RMK13 dengan semangat tinggi bawah tema Melakar Semula Pembangunan, namun ia hanyalah satu lagi rancangan lima tahun yang terlalu banyak retorik, terlalu kurang realiti.

Di sebalik angka besar RM611 bilion, janji 1 juta rumah mampu milik, revolusi AI dan ekonomi Madani, hakikatnya RMK13 mengelak dan tidak menyentuh jantung permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Berikut lima kritikan utama kami terhadap RMK13:

(1) Dana besar, tapi tanggungjawab kecil. Siapa kawal GLIC dan PPP?

Lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan kerjasama awam-swasta (PPP), bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan. Ini bukan pelaburan negara dalam erti kata sebenar, tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang parlimen.

Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa parlimen yang diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

(2) Revolusi digital tanpa tulang belakang: AI hebat tapi sistem data bocor

Kerajaan melaungkan inisiatif AI Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam. Namun, tiada penjelasan konkrit tentang kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar, atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera.

Transformasi digital tanpa asas keselamatan, literasi teknologi dan kesediaan infrastruktur hanya akan mencipta jurang digital yang lebih luas dan menjadikan golongan B40 dan luar bandar sebagai "kelas bawahan digital" yang terus tertinggal.

(3) Sasaran eksport RM1 trilion tapi tiada dasar nilai tambah tempatan

RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan. Tiada klausa local content, tiada mekanisme untuk menyokong IKS, dan tiada insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Akhirnya, kita berisiko kekal sebagai negara pasang dan bungkus, tanpa pemilikan teknologi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, atau peningkatan daya saing tempatan.

(4) Kebajikan disulam tapi tanpa pembaharuan struktural

Walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi STR dan pendidikan percuma, ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat seperti permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan KKM, dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu.

(5) Mengelak perbahasan teras: institusi lemah, federalisme sempit


Yang paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi. Tiada pengukuhan SPRM, tiada pembaharuan sistem pelantikan kehakiman, dan tiada perincian bagaimana kuasa dan hasil akan dikongsi semula dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak. Belanja besar infrastruktur tanpa reformasi sistem perolehan hanyalah memberi laluan kepada kronisme dan konsesi yang tidak dipertanggungjawabkan.

Gerakan Ekonomi Malaysia menuntut supaya kerajaan:

  1. Menubuhkan jawatankuasa parlimen pengawasan GLIC & PPP untuk semak dan imbang.

  2. Membentangkan RUU reformasi perolehan dan antirasuah nasional.

  3. Mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.

  4. Menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh.

  5. Merombak semula hubungan Persekutuan-Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir urus dan pembangunan tempatan.

RMK13 tak boleh jadi sekadar dokumen cantik ala manifesto 

Rakyat Malaysia telah berkali-kali menyaksikan rancangan yang cantik di atas kertas tetapi gagal dilaksanakan. Peruntukan besar diumumkan, namun kehidupan rakyat tetap sukar. Sudah tiba masanya kita bersuara dengan berani, menolak retorik, dan menuntut pembaharuan yang nyata dan menyeluruh.

Jika RMK13 tidak dikaji semula, ia akan menjadi satu lagi dokumen megah yang gagal dan mungkin RMK terakhir sebelum rakyat hilang keyakinan sepenuhnya terhadap sistem yang sedia ada.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

Artikel ini pertama di keluarkan di MalaysiaKinihttps://www.malaysiakini.com/news/751101

Struktur Dan Sistem Kewangan Asean Perlu Diperkukuh


Struktur Dan Sistem Kewangan Asean Perlu Diperkukuh

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin


Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai keperluan negara-negara ASEAN memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan serantau.


Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik untuk membina sistem kewangan yang lebih berdaya tahan serta bebas daripada dominasi unilateral, khususnya hegemoni dolar Amerika Syarikat (USD).


Langkah ini bukan sahaja bersifat reaktif terhadap ketidaktentuan global, tetapi merupakan permulaan kepada anjakan struktur dalam sistem kewangan serantau ke arah yang lebih berdaulat, stabil dan lestari.


Tun Dr. Mahathir Mohamad telah lama menekankan keperluan struktur mata wang serantau yang bebas daripada hegemoni dolar dan manipulasi pasaran asing.

Di Forum Future of Asia (Tokyo, Mei 2019), Dr Mahathir mencadangankan mata wang dagangan Asia yang disandarkan dengan emas adalah konsisten dengan usaha moden ASEAN untuk memperkukuh penggunaan mata wang tempatan tetapi mewakili tahap transformasi yang lebih radikal.


Pada masa ini, lebih 80% perdagangan global masih didenominasikan dalam USD. Ketergantungan ini memberikan kuasa besar seperti Amerika Syarikat kelebihan untuk mempengaruhi dasar ekonomi serantau melalui tindakan unilateral seperti sekatan ekonomi, manipulasi kadar faedah dan pelaksanaan dasar monetari yang memberi kesan secara langsung ke atas kestabilan makroekonomi negara membangun.


Dalam dua tahun kebelakangan ini, peningkatan agresif kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS telah mendorong aliran keluar modal dari negara-negara ASEAN, melemahkan nilai mata wang tempatan dan meningkatkan kos pembiayaan domestik.


Walaupun pelaksanaan penuh penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau memerlukan masa dan pembangunan infrastruktur kewangan yang kukuh, langkah ini mesti dimulakan sekarang demi mewujudkan satu sistem kewangan yang lebih adil, seimbang, dan bebas daripada pengaruh geopolitik unilateral.


Malaysia mesti berani tampil sebagai peneraju, bukan sekadar retorik, tetapi melalui dasar fiskal dan monetari yang progresif, pelaburan dalam digitalisasi kewangan, serta diplomasi ekonomi serantau yang konsisten dan berkesan.


Matlamat Strategik: Mengukuhkan Kedaulatan Kewangan Serantau


Kelebihan utama termasuk:

Pengurangan kebergantungan terhadap USD: Negara ASEAN terdedah kepada turun naik nilai mata wang dan dasar monetari Amerika Syarikat. Penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan boleh mengurangkan risiko kadar pertukaran dan mengelakkan ketidaktentuan yang berpunca dari luar rantau.

Meningkatkan kestabilan serantau: Transaksi dalam mata wang tempatan boleh memperkukuh pasaran modal domestik, meningkatkan kecairan, dan menyumbang kepada sistem kewangan yang lebih berdaya tahan dan kendiri.


Realiti Semasa: Pelaksanaan Masih Terhad


Namun terdapat beberapa kekangan utama:

Skala yang masih kecil dan tidak seimbang: Hanya 10–20% daripada perdagangan intra-ASEAN kini menggunakan mata wang tempatan, manakala sebahagian besar masih bergantung kepada USD kerana kestabilan dan penerimaan globalnya.


Perbezaan kekuatan ekonomi dan kestabilan mata wang: Ketidakseimbangan dari segi kestabilan nilai antara ringgit, rupiah dan baht berbanding USD boleh menjejaskan keyakinan dan kesediaan negara anggota lain untuk menerima transaksi dalam mata wang tersebut.


Ketiadaan mekanisme perlindungan risiko yang menyeluruh: Kekurangan kemudahan lindung nilai (hedging), sistem penyelesaian pembayaran serantau yang efisien, dan jaminan kecairan yang bersesuaian masih menjadi hambatan utama.


Kepentingan Infrastruktur Kewangan Serantau


Untuk menjayakan agenda ini, ASEAN perlu:

Mempercepat integrasi sistem pembayaran digital serantau: Inisiatif ASEAN QR Payment System yang sedang diterajui oleh Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura perlu diperluas dan diselaraskan bagi menyokong transaksi B2C dan B2B dalam mata wang tempatan.


Menubuhkan Dana Kewangan ASEAN (ASEAN Monetary Fund): Malaysia pernah mencadangkan penubuhan dana ini untuk menyediakan kecairan kecemasan dalam mata wang tempatan semasa krisis dan mengurangkan pergantungan kepada institusi luar seperti IMF.


Impak terhadap Dominasi Unilateral


Penilaian semasa:

Bebas dari dominasi unilateral bukan serta-merta: USD masih memegang peranan dominan dalam sistem pembayaran global, pasaran komoditi dan rizab antarabangsa. Maka, inisiatif ini harus dilihat sebagai satu transisi jangka panjang yang memerlukan pelaburan berterusan dan kesepakatan serantau.

Namun, signifikan sebagai simbol kedaulatan: Inisiatif ini menghantar mesej bahawa ASEAN sedang membina sistem kewangan berdasarkan kepentingan sendiri yang tidak lagi tunduk kepada kuasa luar secara mutlak.


Cadangan Strategik Malaysia Sebagai Peneraju


Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk memimpin transformasi ini melalui:

  • Penubuhan ASEAN Local Currency Clearinghouse (ALCC) di Kuala Lumpur bagi membolehkan transaksi rentas sempadan diselesaikan terus dalam mata wang tempatan tanpa perlu menukar kepada USD.
  • Pemerkasaan sistem pembayaran digital rentas sempadan menggunakan QR-code antara sistem nasional seperti DuitNow, PromptPay dan QRIS bagi menyokong urus niaga mikro dan runcit merentas sempadan.
  • Cadangan Dana Kewangan Serantau (ASEAN Monetary Fund) atau peluasan Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) bagi menyediakan talian hayat kecairan dalam mata wang ASEAN ketika krisis.


Pemeteraian perjanjian perdagangan dua hala dalam ringgit Malaysia dengan negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina untuk memulakan fasa perintis penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala.


GEM menyeru agar Kerajaan Malaysia:


Menubuhkan Majlis Tindakan Khas Kedaulatan Kewangan Serantau yang melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), serta stakeholder/pemain industri dan akademik.


Merangka Pelan Tindakan 5 Tahun untuk perluasan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan ASEAN dan menempatkan Malaysia sebagai pengerusi utama peneraju dan pelaksanaannya.


Menganjurkan ASEAN Financial Sovereignty Forum secara tahunan di Malaysia sebagai platform perbincangan, pemantauan dan penyesuaian dasar serantau.


Cadangan ini mempunyai potensi besar untuk membawa perubahan sistemik kepada struktur kewangan ASEAN. Namun, kejayaan hanya akan tercapai dengan iltizam politik yang tinggi, pembinaan kepercayaan bersama serta pelaksanaan dasar yang konkrit dan mampan.


Malaysia mesti terus menjadi pemacu utama usaha ini demi masa depan kewangan serantau yang lebih bebas, stabil dan adil.


Artikel ini pertama disiarkan di https://politiko.my/struktur-dan-sistem-kewangan-asean-perlu-diperkukuh




 

© all rights reserved
made with by templateszoo