1. Desas-desus mengenai kebangkitan semula Muafakat Nasional yang menghimpunkan UMNO, PAS dan Bersatu semakin rancak diperkatakan dalam landskap politik semasa.
2. Ia muncul dalam konteks yang lebih luas iaitu ketidakstabilan dalaman Perikatan Nasional (PN) pasca peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, yang telah mewujudkan kekosongan kepimpinan strategik serta mengundang persaingan pengaruh antara komponen utama gabungan tersebut.
3. PAS telah menyatakan kesediaan untuk menerajui kepimpinan PN namun realitinya, gabungan akan melalui fasa political reconfiguration yang memerlukan tempoh peralihan bagi membina semula kestabilan institusi, penyelarasan kepimpinan serta kejelasan hala tuju strategik.
4. Pergolakan di Perlis, apabila Menteri Besar daripada PAS digugurkan dan digantikan oleh wakil Bersatu menambah lagi dimensi krisis kepercayaan dalam PN.
5. Ia bukan sekadar isu negeri, tetapi manifestasi kepada ketidaksefahaman strategik antara komponen gabungan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa PN sedang berdepan krisis kohesi dalaman.
6. Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh, telah menganjurkan Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang menghasilkan resolusi jelas menyokong penyatuan UMNO dan PAS sebagai dua parti Melayu terbesar.
7. Resolusi ini bukan sekadar inisiatif sayap parti, tetapi membawa implikasi besar terhadap pembentukan semula blok politik Melayu nasional.
8. Lebih signifikan, khabar angin bahawa Bersatu mungkin membentuk kerjasama baharu bersama Pakatan Harapan sekiranya UMNO menarik diri daripada gabungan sedia ada menandakan bahawa landskap politik Melayu kini sedang bergerak ke arah realignment strategik yang berisiko tinggi terhadap kestabilan jangka panjang.
9. Dalam seluruh percaturan politik semasa, satu hakikat semakin terserlah.
10. Gerakan penyatuan yang dilaungkan hari ini lebih tertumpu kepada kelangsungan parti politik, bukan kepada pembinaan kekuatan nasional jangka panjang.
11. Semboyan ‘penyatuan bangsa’ diangkat sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan parti, menjadikannya relevan dalam landskap persaingan politik.
12. Namun, selagi penyatuan terus dirangka dalam sempadan kepartian, usaha membina kekuatan kolektif negara akan terus berhadapan dengan cabaran struktural yang berpanjangan.
13. Sejarah dan pengalaman politik negara membuktikan bahawa politik kepartian semata-mata tidak mampu melahirkan penyatuan strategik yang mampan.
14. Penyatuan yang sebenar menuntut satu perubahan paradigma daripada politik parti kepada politik kenegaraan; daripada persaingan organisasi kepada kesepaduan nasional.
15. Dalam konteks ini, parti politik perlu difahami sebagai instrumen pilihan raya, bukan matlamat perjuangan.
16. Ia adalah vehicle demokrasi, bukan identiti perjuangan.
17. Yang perlu diangkat sebagai keutamaan ialah kekuatan bangsa, kestabilan negara dan masa depan generasi.
18. Seruan penyatuan ini telah lama ditegaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suatu keperluan strategik negara, bahawa penyatuan tidak boleh digerakkan melalui elit parti semata-mata, tetapi mesti lahir daripada kesedaran nasional yang merentasi sempadan organisasi dan logo.
19. Prinsip ini pernah dizahirkan dalam sejarah politik moden negara apabila pelbagai kekuatan politik dan masyarakat sivil disatukan di bawah satu payung strategik demi perubahan nasional, menggunakan satu platform pilihan raya sebagai instrumen, bukan sebagai pusat identiti perjuangan.
20. Ia membuktikan bahawa penyatuan kenegaraan mampu mengatasi politik kepartian.
21. Menjelang fasa politik nasional yang akan datang, keutamaan negara seharusnya kembali kepada satu agenda yang jelas iaitu membina kesepaduan, memperkukuh keyakinan rakyat, dan memulihkan mandat demokratik melalui pertandingan yang sihat, telus dan berteras prinsip.
22. Penyatuan yang sebenar bukan sekadar slogan. Ia adalah strategi kebangsaan.
23. Dan hanya dengan penyatuan berteras bangsa bukan parti, barulah kestabilan, kemenangan demokrasi dan masa depan Malaysia dapat dijamin.
24. Seruan Dr Akmal Salleh untuk UMNO dan PAS bersatu di terima baik danalu-alukan malah UMNO juga digalakkan menarik sokongan dan keluar dari Kerajaan Perpaduan.
25. Sama penting, malah lebih kritikal ialah untuk Dr Akmal Saleh memperkukuh kesepaduan politik dalam kalangan akar umbi, khususnya dalam UMNO, agar penyatuan yang dibina berteraskan kesedaran bangsa, tanggungjawab sejarah dan komitmen bersama terhadap kestabilan negara.
26. Kita perkasakan bangsa melayu. Kita satukan bangsa melayu sebagai teras negara dibawah Payung Besar Tun Dr Mahathir yang tidak impikan apa-apa jawatan kecuali untuk melihat bangsa melayu bersatu dan membentuk kerajaan.
27. Kita bersatu sebagai orang melayu, kita akan menang pilihanraya.
Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
