Semalam saya berkesempatan menghadiri tayangan eksklusif “Man Who Walked the Talk: The Tun Razak Story” anjuran Yayasan Tun Razak dengan kerjasama CIMB, bertempat di Ombak KLCC.
Tayangan ini mengingatkan kita betapa pentingnya menghargai jasa, pengorbanan dan asas pembangunan negara yang telah diletakkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Legasi seorang pemimpin bukan sekadar apa yang dicapainya ketika memegang tampuk kuasa, tetapi sejauh mana keputusan dan dasar yang diperkenalkannya terus memberi manfaat kepada generasi selepasnya.
Antara legasi terbesar Tun Razak ialah pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971, dengan matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.
Tun Razak memahami bahawa kemerdekaan politik sahaja tidak mencukupi sekiranya sebahagian besar rakyat, khususnya masyarakat Melayu di luar bandar, masih dibelenggu kemiskinan dan ketinggalan dalam pemilikan kekayaan serta peluang ekonomi.
Melalui dasar tindakan afirmatif, beliau berusaha memperluas penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan, pekerjaan, pemilikan ekuiti, perniagaan dan perindustrian.
Perjuangan membela ekonomi Melayu, memperluas peluang Bumiputera dan membasmi kemiskinan merupakan antara teras kepimpinan Tun Razak.
Satu lagi legasi besar beliau ialah pembangunan FELDA.
Walaupun FELDA telah ditubuhkan pada tahun 1956, Tun Razak memainkan peranan penting dalam memperkembangkan institusi tersebut sejak beliau menerajui agenda pembangunan luar bandar sehinggalah menjadi Perdana Menteri.
Melalui FELDA, keluarga miskin yang tidak memiliki tanah diberikan peluang membina kehidupan baharu sebagai peneroka, dengan akses kepada tanah pertanian, kediaman, kemudahan asas dan sumber pendapatan melalui tanaman getah serta kelapa sawit.
Menjelang pertengahan tahun 1975, FELDA telah membangunkan kira-kira 720,000 ekar tanah dan menempatkan sekitar 31,000 keluarga peneroka sejak penubuhannya.
Apa yang menarik, FELDA bukan sekadar projek membuka tanah. Ia merupakan satu pendekatan pembangunan sosioekonomi yang menggabungkan pemilikan aset produktif, penempatan masyarakat dan pembangunan infrastruktur luar bandar.
Bayangkan berapa ramai anak dan cucu peneroka yang kemudiannya berjaya mendapat pendidikan tinggi, menjadi golongan profesional, usahawan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Inilah pembangunan yang bermakna. Bukan sekadar mengubah keadaan ekonomi seseorang, tetapi membuka peluang untuk mengubah nasib generasi akan datang.
Satu lagi keputusan bersejarah Tun Razak yang jarang diberikan perhatian sewajarnya ialah usaha meletakkan sumber petroleum negara di bawah penguasaan nasional.
Sebelum tahun 1974, industri minyak Malaysia banyak bergantung kepada syarikat petroleum antarabangsa, termasuk Royal Dutch Shell yang mempunyai sejarah operasi di negara kita sejak zaman penjajahan British. Syarikat-syarikat asing diberikan konsesi untuk meneroka dan mengeluarkan minyak dengan membayar royalti serta cukai kepada kerajaan.
Namun, pada era kepimpinan Tun Razak, pendekatan ini mengalami perubahan besar.
Pada tahun 1974, kerajaan beliau menubuhkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan memperkenalkan Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang memberikan PETRONAS hak pemilikan dan kuasa eksklusif terhadap sumber petroleum Malaysia.
Ini merupakan satu perubahan penting dalam sejarah ekonomi negara.
Daripada sistem konsesi yang memberikan hak penerokaan dan pengeluaran kepada syarikat asing, Malaysia beralih kepada sistem perkongsian pengeluaran yang membolehkan PETRONAS menentukan terma kerjasama dengan syarikat minyak antarabangsa.
Syarikat asing masih dibenarkan melabur dan membawa kepakaran teknologi, tetapi pengurusan sumber petroleum kini berada di bawah sebuah syarikat nasional milik Malaysia.
Tun Razak meletakkan asas supaya hasil kekayaan minyak dan gas bumi Malaysia dapat diurus untuk kepentingan pembangunan negara dan generasi akan datang.
Hari ini, PETRONAS merupakan antara institusi ekonomi terpenting negara, menyumbang kepada hasil kerajaan, pembangunan industri, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dalam hubungan antarabangsa pula, Tun Razak mengambil keputusan berani menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974.
Ketika itu, dunia masih dibayangi Perang Dingin dan kebimbangan terhadap pengaruh komunisme. Namun, Tun Razak memilih pendekatan diplomasi pragmatik dengan mengutamakan kepentingan jangka panjang Malaysia.
Lebih lima dekad kemudian, kita dapat melihat kepentingan hubungan tersebut apabila China berkembang menjadi antara kuasa ekonomi terbesar dunia dan rakan perdagangan utama Malaysia.
Satu lagi legasi penting era pentadbiran beliau ialah asas pembangunan industri elektrik, elektronik dan semikonduktor negara.
Pada awal 1970-an, Malaysia mula menarik pelaburan teknologi antarabangsa, khususnya ke Pulau Pinang melalui pembangunan kawasan perdagangan bebas.
Hari ini, Pulau Pinang dikenali sebagai *Silicon Valley of the East* dan merupakan antara hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Apabila kita melihat kembali sejarah, terdapat satu persamaan dalam pendekatan pembangunan Tun Razak.
Melalui FELDA, beliau memperluas peluang ekonomi masyarakat miskin luar bandar. Melalui DEB, beliau berusaha mengurangkan jurang ekonomi dan memperkukuh penyertaan Bumiputera. Melalui PETRONAS, beliau meletakkan asas penguasaan nasional terhadap kekayaan petroleum negara. Melalui diplomasi dengan China dan pembangunan industri, beliau membuka peluang ekonomi untuk masa depan Malaysia.
Kesemuanya menggambarkan pendekatan pembangunan negara yang melihat jauh melangkaui satu penggal pentadbiran.
Sudah tentu pembangunan Malaysia merupakan hasil usaha ramai pemimpin, penjawat awam, pelabur dan rakyat. Namun, sumbangan Tun Razak dalam membentuk dasar serta menyediakan asas pembangunan ekonomi negara wajar terus dikenang.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Yazid, Izzy Ani Arope serta Tan Sri Nazir Razak atas usaha menghasilkan dokumentari yang begitu bermakna dan bermanfaat ini.
Dokumentari seperti ini amat penting, bukan sekadar untuk mengenang sejarah, tetapi untuk membolehkan generasi hari ini memahami bagaimana negara dibina melalui pengorbanan, keberanian membuat keputusan dan kepimpinan yang berpandangan jauh.
Sejarah bukan sekadar untuk dikenang. Sejarah harus difahami supaya kita dapat menghargai perjuangan generasi terdahulu dan membuat keputusan yang lebih baik untuk masa depan negara.
Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.