Responsive Ad Slot

Showing posts with label Unified Examination Certificate. Show all posts
Showing posts with label Unified Examination Certificate. Show all posts

UEC KEKAL DITOLAK. SUBJEK BAHASA MELAYU DAN SEJARAH BUKAN SYARAT UEC DIIKTIRAF.


1. Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa "kalau tidak menerima Bahasa Melayu, jangan tinggal di Malaysia” tidak boleh disalahtafsir sebagai isyarat bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diberikan sekiranya subjek Bahasa Melayu dan Sejarah SPM dijadikan syarat tambahan.


2. Pengumuman Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan, termasuk aliran UEC, diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM juga tidak sama sekali (dan tidak boleh) membawa maksud bahawa UEC akan diiktiraf sekiranya pelajarnya mengambil atau lulus kedua-dua subjek tersebut walaupun dengan cemerlang.

3. Kewajipan ini perlu difahami sebagai penegasan keperluan minimum kenegaraan dan keseragaman asas nasional, bukannya perubahan dasar berkaitan pengiktirafan sijil.

4. Tafsiran oleh YB Anthony Loke dan DAP yang mengaitkan pengambilan Bahasa Melayu dan Sejarah SPM dengan pengiktirafan tersirat UEC adalah mengelirukan dan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan, kerana ia mencampuradukkan isu akses terhad ke universiti awam dengan pengiktirafan sijil kebangsaan, sekali gus menjejaskan prinsip bahasa kebangsaan dan pembinaan negara bangsa.

5. Rakyat mengecam tindakan YB Anthony Loke dan DAP yang dilihat mempermainkan serta memporak-perandakan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan kedudukan bahasa kebangsaan, kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan dan agenda pembinaan negara bangsa.

6. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kedudukan ini bukan simbolik, tetapi asas kepada penyatuan rakyat dan pembentukan identiti kewarganegaraan.

7. Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong tidak merujuk kepada penguasaan minimum Bahasa Melayu sebagai subjek peperiksaan, tetapi kepada penerimaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan bahasa pemikiran dalam sistem pendidikan negara.

8. Bahasa kebangsaan ialah medium penyatuan, bukan sekadar instrumen akademik.

9. Titah Diraja tersebut menegaskan bahawa keseluruhan ekosistem pendidikan di Malaysia merangkumi bahasa pengantar, falsafah pendidikan, kandungan pembelajaran dan pembentukan nilai, mestilah berteras kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta Sejarah Malaysia sebagai naratif bersama pembinaan negara bangsa.

10. Matlamatnya bukan sekadar memastikan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah, tetapi menghayati sejarah, memahami kontrak sosial, serta membina jati diri sebagai rakyat Malaysia.

11. Sejarah tidak boleh diperlakukan sebagai subjek peperiksaan semata-mata. Ia adalah alat pembinaan kesedaran kebangsaan, kefahaman kenegaraan dan kesetiaan kepada Perlembagaan serta institusi negara.

12. Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak berkaitan pendidikan, namun hak tersebut tertakluk kepada dasar dan kepentingan negara. Hak pendidikan tidak boleh ditafsir secara terpisah daripada tanggungjawab negara untuk membina kesepaduan nasional, kesetiaan perlembagaan dan jati diri kewarganegaraan.

13. Dalam konteks ini, pengiktirafan UEC harus kekal ditolak kerana asas, orientasi dan falsafah pendidikannya tidak dibangunkan dalam kerangka negara bangsa Malaysia.

14. Sistem UEC secara asasnya berteraskan silibus, nilai budaya dan orientasi pendidikan Cina, yang bersifat komuniti-spesifik dan bukan berpaksikan kepada agenda pembinaan jati diri nasional Malaysia. Ini adalah realiti dasar dan sejarah pendidikan, bukan sentimen perkauman.

15. Penolakan ini bukan penafian terhadap hak pendidikan komuniti, tetapi satu pendirian tegas bahawa sijil awam yang diiktiraf negara mesti lahir daripada sistem pendidikan negara, dengan falsafah, bahasa dan sejarah yang sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

16. Bagi individu atau keluarga yang tidak merancang untuk menetap, bekerja atau membina masa depan di Malaysia, mereka bebas untuk meneruskan pendidikan anak-anak melalui aliran UEC bagi tujuan mobiliti antarabangsa.

17. Namun, jika seseorang memilih untuk tinggal, bekerja dan berkhidmat di Malaysia, maka adalah wajar dan munasabah untuk mematuhi sistem pendidikan kebangsaan Malaysia sebagai asas penyertaan dalam ruang sosioekonomi negara.

18. Prinsip yang sama terpakai kepada sektor korporat dan institusi swasta.

19. Mana-mana syarikat atau institusi swasta atau awam yang ingin beroperasi di Malaysia wajib menghormati kedaulatan sistem negara, termasuk mengiktiraf hanya kelayakan akademik yang diperakui oleh Kerajaan Malaysia dalam pengambilan pekerja.

20. Mana-mana syarikat atau institusi swasta yang mengiktiraf sijil UEC sebagai setara atau lebih tinggi daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atau mana-mana kelayakan akademik lain yang diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia, telah melakukan satu pelanggaran serius terhadap prinsip kedaulatan negara.

21. Sehubungan itu, rakyat juga mengecam tindakan 99 Speedmart atau mana-mana syarikat yang didakwa telah mengiklankan pengambilan pekerja dengan mensyaratkan kelayakan sijil UEC sama ada sebagai setara atau dengan mengecualikan, malah tidak mengiktiraf, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kelayakan lain yang diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia.

22. Tindakan sedemikian, jika benar, bukan sekadar isu sumber manusia atau kebebasan korporat, tetapi satu pencabulan prinsip kedaulatan pendidikan negara serta keadilan terhadap rakyat Malaysia yang mematuhi Sistem Pendidikan Kebangsaan.

23. Jika benar tindakan 99 Speedmart ini berlaku, ia menghantar mesej yang berbahaya kepada masyarakat bahawa kesetiaan kepada sistem negara tidak dihargai.

24. Lebih membimbangkan, amalan ini berpotensi mendiskriminasi rakyat Malaysia termasuk rakyat berbangsa Cina, yang telah bersekolah dalam aliran kebangsaan, menguasai Bahasa Melayu dan menghayati Sejarah Malaysia,

25. Pengiktirafan kelayakan akademik bukanlah prerogatif sektor swasta, sebaliknya merupakan bidang kuasa eksklusif negara melalui dasar awam, perundangan dan agensi pengawal selia yang sah.

26. Kerajaan Malaysia wajar dan wajib mengambil tindakan tegas dengan segera, termasuk menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap iklan serta amalan pengambilan pekerja berkenaan, dan seterusnya mengenakan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya sebarang pelanggaran undang-undang disahkan.

27. Tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk pengenaan denda, pelaksanaan sekatan pentadbiran, penarikan atau pembatalan insentif serta lesen operasi, dan apa-apa tindakan lain yang diperuntukkan di bawah kerangka perundangan negara, demi mempertahankan kedaulatan dasar pendidikan dan keadilan terhadap rakyat Malaysia.

28. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga berhak menyatakan bantahan secara sah dan berprinsip, demi mempertahankan keadilan sosial, maruah Sistem Pendidikan Kebangsaan dan kedaulatan negara.

29. Kesimpulannya, titah Yang di-Pertuan Agong bukan rundingan dasar, tetapi penegasan prinsip negara. Bahasa Melayu, Sejarah Malaysia dan jati diri kebangsaan bukan pilihan opsyenal, tetapi teras kewarganegaraan.

30. Negara yang berdaulat berhak menetapkan kerangka pendidikannya sendiri demi kelangsungan identiti, perpaduan dan masa depan bersama.

31. Menjunjung titah ini bermaksud memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan, bukan menyesuaikannya sehingga kehilangan roh negara bangsa. Daulat Tuanku.

Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo