Responsive Ad Slot

Kerajaan Madani Gagal Mempertahankan Agama Persekutuan dan pengkhianat perlembagaan


1. Kerajaan Madani hari ini jelas gagal mempertahankan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Perkara 3(1) juga menetapkan Malaysia bukan negara sekular.

2. Kegagalan ini bukan bersifat teknikal atau terpencil, tetapi mencerminkan kelemahan struktur kepimpinan eksekutif, khususnya Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal agama Islam.

3. Perkara 3(1) bukan hiasan perlembagaan. Ia adalah peruntukan normatif yang mewajibkan tindakan, dasar dan penguatkuasaan selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

4. Jurisprudens perlembagaan Malaysia sejak sekian lama menolak tanggapan bahawa Perkara 3(1) bersifat upacara atau kosmetik. 

5. Apabila ditafsirkan secara harmoni bersama Perkara 11, Perkara 74 dan Jadual Kesembilan, jelas bahawa Islam menikmati kedudukan istimewa dan dilindungi dalam susunan perlembagaan negara. 

6. Kedudukan ini merangkumi tanggungjawab Negara untuk memelihara dasar awam, moral masyarakat dan keputusan pentadbiran agar tidak menjejaskan kesucian serta peranan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.

7. Aktiviti penternakan babi melibatkan perancangan guna tanah, pengurusan alam sekitar dan, yang paling penting, sensitiviti keagamaan dalam sebuah Persekutuan majoriti Muslim. Menteri dan kerajaan patut tegas membantah aktiviti penternakan babi yang memberi kesan kepada umat islam. 

8. Begitu juga dengan kewujudan kuil Hindu yang dibina tanpa kelulusan undang-undang. Perlembagaan menjamin kebebasan beragama, tetapi bukan kebebasan daripada kedaulatan undang-undang. 

9. Struktur yang tidak mendapat kebenaran sah jelas bercanggah dengan undang-undang perancangan dan mencabar prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang. 

10. Promosi serta normalisasi awam gaya hidup LGBT pula mewujudkan ketegangan moral–perlembagaan yang nyata. Walaupun tingkah laku peribadi tertakluk kepada ruang undang-undang tertentu, advokasi terbuka dan pengiktirafan institusi bercanggah dengan moraliti perlembagaan negara, enakmen Syariah negeri dan peruntukan undang-undang jenayah sedia ada. 

11. Perkara 3(1), apabila dibaca secara menyeluruh, tidak mewajibkan Negara bersikap neutral nilai dalam isu yang melibatkan moral awam dan kedudukan Islam.

12. Apabila Kerajaan memilih untuk berdiam diri, tidak bertindak, melengah atau mengelak, ia bukan neutraliti tetapi ia adalah pengkhianatan amanah perlembagaan.

13. Kegagalan untuk bertindak bukan pendekatan neutral tetapi satu pengabaian. Isu ladang babi gergasi yang beroperasi di kawasan sensitif umat Islam dibiarkan berlarutan tanpa pendirian tegas dan dasar yang jelas. 

14. Isu kuil Hindu yang dibina tanpa kelulusan undang-undang pula ditangani secara selektif dan ragu-ragu. Pada masa yang sama, normalisasi dan advokasi awam gaya hidup LGBT terus berlaku tanpa sempadan moral dan perlembagaan yang jelas daripada Kerajaan.

15. Semua ini berlaku di bawah pemerintahan Kerajaan Madani, yang kononnya menjunjung nilai keterangkuman dan keadilan, tetapi gagal memahami bahawa Perlembagaan bukan dokumen relativistik. 

16. Ia menetapkan hierarki nilai, dan Islam berada pada kedudukan perlembagaan yang jelas. Peruntukan Perkara 3(1) dibaca bersama Perkara 4(1) menegaskan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi Persekutuan dan sebarang undang-undang atau tindakan eksekutif yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

17. Menteri Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri YAB Dato Seri Amar Ibrahim tidak boleh bersembunyi di sebalik retorik, tidak boleh bersembunyi di sebalik slogan ‘keharmonian’ dan ‘kesederhanaan’ sambil mengabaikan kewajipan perlembagaan. 

18. Keharmonian tanpa prinsip ialah kepalsuan. Kesederhanaan tanpa keberanian ialah kelemahan.

19. Tugas Menteri Agama bukan sekadar merasmikan majlis atau mengeluarkan kenyataan selamat, tetapi memimpin dasar, menyelaras penguatkuasaan dan mempertahankan kedudukan Islam secara berlandaskan undang-undang. 

20. Keengganan berbuat demikian adalah bukti kegagalan kepimpinan.

21. Ini bukan soal kebencian, ini soal kedaulatan perlembagaan. Rakyat tidak menuntut penindasan, diskriminasi atau tindakan di luar undang-undang. 

22. Rakyat menuntut penguatkuasaan undang-undang yang konsisten, kesetiaan mutlak kepada Perlembagaan Persekutuan, dan kejelasan moral yang berpaksikan undang-undang tertinggi negara.

23. Kebebasan beragama tidak pernah bermaksud kebebasan melanggar undang-undang. Pluralisme tidak bermaksud mengorbankan Perkara 3(1). Toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan agama Persekutuan.

24. Hakikat yang jelas, Kerajaan Madani telah gagal mempertahankan agama Persekutuan. 

25. Kegagalan ini bukan berpunca daripada kekangan undang-undang, tetapi daripada ketiadaan keberanian politik dan kejelasan perlembagaan.

26. Jika Kerajaan tidak sanggup atau tidak berani mempertahankan Perlembagaan, maka Kerajaan itu telah hilang legitimasi moral untuk terus memerintah.

27. Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh dipertahankan dengan keheningan, kompromi berlebihan atau ketakutan politik. 

28. Ia hanya boleh dipertahankan melalui tindakan yang tegas, sah dan berprinsip.
Segala yang kurang daripada itu bukan kesederhanaan tetapi pengabaian dan pengkhianatan amanah perlembagaan.

Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair

 Rumah Bangsa Ahmad Zahid bukan payung untuk orang Melayu berteduh


1. Rumah Bangsa UMNO yang diumumkan oleh Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah rumah kosong dan usang dengan hanya 28 peratus penghuni. Sebab itulah Presiden Umno umum penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Bangsa, yang lebih menyerupai satu bentuk ‘membership drive’ untuk mengisi semula rumah usang yang kosong itu.

2. Pengumuman Ahmad Zahid itu secara tidak langsung mencerminkan pengakuan bahawa gagasan Payung Besar Melayu yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah mendapat sambutan yang meluas. 

3. Hakikatnya, sambutan terhadap Payung Besar Melayu adalah nyata dan luar biasa. Justeru, usaha Zahid Hamidi ini lebih menyerupai tindakan menangguk di air keruh, dengan menumpang inisiatif penyatuan yang lahir secara organik daripada kegagalan UMNO sendiri.

4. Realitinya, orang Melayu semakin menjauhi UMNO, dan UMNO pula semakin kehilangan sokongan akar umbi Melayu. Perpecahan orang Melayu kini berada pada tahap yang serius dan berbahaya, dan tidak lagi boleh diselesaikan melalui pendekatan politik kepartian yang sempit.

5. Nawaitu sebenar penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Bangsa Ahmad Zahid ini menjadi lebih relevan apabila baru-baru ini Datuk Dr Mohammad Akmal Salleh, melalui Kongres Pemuda UMNO, secara terbuka menyatakan ketetapan menyokong penyatuan politik antara UMNO dan PAS. 

6. Namun cadangan tersebut ditolak oleh Datuk Seri Zahid sendiri.

7. Jadi apakah nawaitu sebenar penubuhan jawatankuasa dan penyatuan bangsa yang diketengahkan oleh Presiden UMNO ini. 

8. Penyatuan bangsa Ahmad Zahid sekadar mainan politik untuk memperkukuh kedudukan Zahid dalam landskap politik yang semakin mencabar.

9. Penyatuan bangsa Melayu tidak boleh dijadikan alat politik sementara, apatah lagi retorik bermusim menjelang pilihan raya. 

10. Sejarah telah membuktikan bahawa memperalatkan sentimen penyatuan bangsa demi kepentingan politik sempit hanya akan melahirkan perpecahan Melayu yang lebih mendalam dan berbahaya. 

11. Penyatuan yang tulen mesti berpaksikan kepada kepentingan bangsa meliputi kedudukan orang Melayu, kelangsungan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan masa depan generasi akan datang, dan bukan kelangsungan parti atau individu tertentu.

12. Sejak awal lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah secara konsisten menyeru seluruh orang Melayu merentasi keahlian dan kepimpinan parti termasuk UMNO, untuk berhimpun di bawah Payung Besar Melayu sebagai suatu wadah penyatuan bangsa yang meletakkan kepentingan Melayu mengatasi kepentingan politik kepartian.

13. Payung Besar Melayu adalah sebuah wadah penyatuan yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi dan kepentingan peribadi. Ia terlahir akibat kegagalan Umno sendiri dan parti-parti politik melayu dalam memperjuangkan hak hak dan nasib orang melayu. 

14. Ia bukan sebuah parti, bukan platform perebutan jawatan, dan bukan alat politik sesiapa. Ia adalah ruang bersama untuk menyatukan orang Melayu sebagai satu bangsa, di mana semua hadir sebagai orang Melayu dan bukan sebagai pemimpin parti, yang berkongsi tanggungjawab sejarah terhadap masa depan bangsa dan negara.

15. Penyatuan Melayu mesti dibina dari keikhlasan, keterbukaan dan keberanian untuk meletakkan kepentingan bangsa mengatasi kepentingan parti.

16. Dr Akmal, ahli-ahli UMNO dan orang-orang melayu, marilah kita bersama dalam penyatuan bangsa di bawah satu Payung Besar. Kita tidak memerlukan banyak payung, kerana kepelbagaian payung bukan lambang penyatuan, tetapi punca perpecahan.

17. Bangsa Melayu tidak kekurangan parti. Apa yang kita perlukan ialah kejujuran dalam niat dan kebijaksanaan dalam menyatukan.

18. Lebih jujur untuk Ahmad Zahid menamakan inisiatif Penyatuan Bangsa UMNO itu sebagai kempen keahlian UMNO, kerana itu lebih tepat dan tidak mengelirukan rakyat dengan istilah ‘penyatuan bangsa’.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

REX TAN PERLU DIDAKWA ATAS KESALAHAN PENGKHIANATAN (TREASON)


1. Insiden yang melibatkan wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, yang telah mengemukakan kenyataan dan soalan dalam satu syarahan awam sehingga menyinggung perasaan orang Melayu secara kolektif, merupakan satu kes yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

2. Bagi seorang wartawan, apatah lagi yang membawa identiti sebuah organisasi media nasional, tindakan membuat perbandingan yang menyamakan orang Melayu dengan Yahudi laknatullah yang menindas rakyat Palestin, serta menyamakan rakyat Palestin dengan masyarakat Cina di Malaysia, adalah satu kenyataan yang melampaui batas kewarasan wacana intelektual, tidak bertanggungjawab, dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum yang serius.


3. Perbandingan sedemikian bukan sahaja menghina orang Melayu sebagai kaum teras negara, malah bersifat meremehkan penderitaan sebenar rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan penjajahan, keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang berpanjangan.


4. Dalam masa yang sama, ia turut mengheret masyarakat Cina Malaysia ke dalam naratif geopolitik yang langsung tidak relevan, sekali gus membuka ruang kepada salah faham, sentimen kebencian dan konflik antara komuniti dalam negara.


5. Kenyataan seperti ini tidak boleh dimaafkan sebagai kecuaian bahasa, kesilapan akademik atau keterlanjuran spontan. 


6. Ia mencerminkan kegagalan serius dalam kefahaman sejarah, konteks kenegaraan, sensitiviti antara kaum serta tanggungjawab sivik, khususnya apabila ia datang daripada seorang wartawan yang sepatutnya memahami implikasi sosial dan politik setiap kenyataan awam.


7. Isu ini wajar dilihat sebagai satu kegagalan serius dalam pembentukan kesedaran kenegaraan, yang menuntut penelitian menyeluruh terhadap latar pendidikan, etika profesional, dan kerangka nilai yang membentuk pemikiran individu terbabit, bukan sekadar diselesaikan dengan permohonan maaf atau penjelasan bersifat kosmetik.


8. Cara pemikiran yang dizahirkan oleh Rex Tan, yang berlatarbelakangkan pendidikan UEC, menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pendedahan dan kepekaan terhadap sejarah nasional, jati diri negara serta nilai patriotisme Malaysia.


9. Hal ini berkemungkinan berpunca daripada struktur silibus dan kurikulum UEC yang tidak memberi penekanan mencukupi terhadap pembinaan identiti kebangsaan.


10. Secara prinsipnya, kurikulum UEC tidak diperkukuh secara sistematik dengan elemen teras negara seperti Perlembagaan Persekutuan, sejarah Melayu sebagai kaum teras, institusi kesultanan Melayu, serta proses pembinaan negara bangsa Malaysia. 


11. Ketiadaan penekanan yang seimbang terhadap aspek-aspek ini berpotensi melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik, namun lemah dari segi kefahaman konteks kenegaraan, sensitiviti antara kaum dan tanggungjawab sivik.


12. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar satu badan siasatan bebas ditubuhkan bagi menjalankan kajian menyeluruh terhadap silibus dan kurikulum UEC, khususnya dari sudut kesannya terhadap pembentukan jati diri nasional dan kefahaman sejarah negara. 


13. Sekiranya dapatan kajian menunjukkan bahawa kurikulum tersebut memudaratkan pembangunan kefahaman kenegaraan pelajar, sebagaimana yang terserlah dalam kes ini, maka tindakan tegas termasuk pemansuhan secara menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera demi kepentingan negara.


14. Dalam masa yang sama, satu siasatan rasmi oleh pihak berkuasa perlu dijalankan bagi menentukan sama ada kenyataan Rex Tan melanggar:

  • Undang-undang berkaitan hasutan dan keharmonian awam,
  • Peruntukan jenayah berkaitan ucapan yang mengancam ketenteraman negara,
  • Etika dan tanggungjawab profesional kewartawanan.

15. Walaupun kesalahan pengkhianatan (treason) di bawah undang-undang negara mempunyai ambang pembuktian yang tinggi, prinsip asasnya adalah jelas: 

mana-mana perbuatan yang secara sedar atau cuai mencetuskan kebencian kaum dan menggugat kestabilan negara tidak boleh dipandang ringan atau diselesaikan melalui permohonan maaf semata-mata.


16. Biarlah pihak berkuasa yang berbidang kuasa menentukan tahap kesalahan dan menjatuhkan hukuman sewajarnya berdasarkan undang-undang, bukan sentimen atau tekanan politik. 


17. Hukuman yang dikenakan mesti bersifat maksimum sebagai teladan, khususnya dalam konteks tuntutan pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang secara terbuka membawa agenda “Malaysian Malaysia” sehingga berpotensi menghakis keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.


18. Kenyataan ini bukanlah satu seruan kepada keganasan atau sebarang tindakan di luar kerangka undang-undang. 


19. Sebaliknya, ia merupakan satu tuntutan tegas yang berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang sebagai asas negara, penguatkuasaan prinsip akauntabiliti awam terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya, serta keperluan untuk melindungi maruah semua kaum, khususnya orang Melayu sebagai tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia. 


20. Dalam masa yang sama, tuntutan ini juga menegaskan keperluan agar hukuman maksimum dikenakan sekiranya didapati bersalah, bukan atas dasar dendam atau sentimen, tetapi sebagai pengajaran dan langkah pencegahan supaya perbuatan yang sama tidak berulang dan tidak dinormalisasikan dalam wacana awam negara.


21. Malaysia tidak boleh membina masa depan yang stabil jika penghinaan terhadap mana-mana kaum lebih-lebih lagi oleh aktor media, dibiarkan tanpa tindakan tegas dan berprinsip.


22. Maruah bangsa dan keharmonian negara bukan bahan eksperimen wacana. Ia adalah amanah yang wajib dipertahankan.

Salam hormat,

Dr Armin Baniaz Pahamin

PROGRAM LGBTQ JEJAKA - GLAMPING WITH PRIDE MENCABAR STRUKTUR MORAL DAN KEHARMONIAN NEGARA


1. Kenyataan media oleh Jejaka selaku penganjur program rekreasi Glamping With Pride memperlihatkan bahawa penganjuran dan promosi program tersebut berpotensi bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada, khususnya peruntukan yang mengawal kandungan, perhimpunan dan penyiaran awam.

2. Selain itu, pernyataan mengenai peranan Jejaka sebagai sebuah kumpulan sokongan pemuda queer, gay dan biseksual untuk mewujudkan ruang berani penerimaan diri, bimbingan rakan sebaya dan memperkasakan jaringan sosial, hak dan kesihatan menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang awam. 

3. Aktiviti ini berpotensi menggalakkan normalisasi gaya hidup dan perlakuan yang telah dikawal serta dibataskan oleh undang-undang negara, dan oleh itu wajar tertakluk kepada penelitian serta tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya oleh kerajaan dan badan-badan berkaitan.

4. Malaysia bukan sebuah negara nilai-neutral. Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang dibina atas Perlembagaan, kedudukan agama Persekutuan, dan prinsip moral awam yang menjadi asas kestabilan sosial.

5. Penganjuran program Glamping With Pride yang kemudiannya dibatalkan bukan isu diskriminasi atau kebencian, tetapi manifestasi jelas bahawa negara ini masih berfungsi di bawah kedaulatan undang-undang dan tidak tunduk kepada tekanan ideologi luar. 

6. Isu ini wajar dilihat sebagai isu keselamatan sosial dan kedaulatan perlembagaan, bukan sekadar perbezaan gaya hidup.

7. Dari sudut kerangka perundangan Persekutuan, Kanun Keseksaan melalui Seksyen 377 memperuntukkan bahawa “persetubuhan luar tabii” merupakan suatu kesalahan jenayah. 

8. Peruntukan ini telah digunakan untuk mengawal perlakuan seksual sejenis, khususnya antara lelaki, dengan hukuman yang boleh mencecah sehingga 20 tahun penjara serta sebatan mandatori.

9. Ianya turut direkodkan oleh pelbagai badan pemantau undang-undang antarabangsa seperti Human Rights Watch, Human Dignity Trust dan LSVD⁺ – Verband Queere Vielfalt. 

10. Kedudukan ini menunjukkan bahawa larangan terhadap perlakuan seksual sejenis bukanlah bersifat retorik, tetapi telah termaktub secara nyata dalam undang-undang bertulis negara.

11. Selain itu, di bawah undang-undang Syariah negeri-negeri, yang terpakai kepada orang Islam, perlakuan seksual sejenis serta ekspresi jantina yang bercanggah dengan norma jantina konvensional turut diklasifikasikan sebagai kesalahan. 

12. Enakmen-enakmen jenayah Syariah negeri memperuntukkan hukuman tertentu terhadap perbuatan tersebut, sekali gus menegaskan bahawa larangan ini mempunyai asas undang-undang dwi-sistem, iaitu dalam perundangan sivil dan Syariah.

13. Oleh itu, undang-undang Malaysia dengan jelas melarang bukan sahaja perlakuan seksual sejenis, malah sebarang aktiviti yang mempromosi, memudahcara dan menormalisasikan gaya hidup tersebut dalam ruang awam. 

14. Ini bukan soal orientasi peribadi, tetapi soal perlindungan moral awam, ketenteraman sosial, keselamatan remaja dan keutuhan norma kebangsaan.

15. Sebarang usaha untuk membingkai program seperti Glamping With Pride sebagai “retreat komuniti” tidak boleh menafikan hakikat bahawa penggunaan istilah Pride, struktur promosi dan sifat eksklusif penyertaan telah menjadikannya satu bentuk kempen normalisasi ideologi seksual yang bertentangan dengan undang-undang dan nilai negara.

16. Lebih membimbangkan, sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa tindakan yang tegas dan konsisten, ia akan membuka ruang kepada normalisasi acara LGBTQ secara terbuka dalam ruang awam negara. 

17. Perbuatan seperti ini akan menghakis kejelasan dan kepastian undang-undang, melemahkan autoriti perundangan sedia ada, mengancam keharmonian masyarakat majmuk yang dibina atas asas nilai agama dan moral awam, serta menjadikan Malaysia semakin terdedah kepada tekanan dan campur tangan luar yang berpotensi mencabar kedaulatan undang-undang serta kerangka perlembagaan tempatan.

18. Rakyat menuntut Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa tempatan supaya bertindak segera, konsisten dan tanpa kompromi terhadap penganjur Jejaka – Glamping With Pride. 

19. Kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh, mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan maksimum di bawah undang-undang sedia ada sebagai teladan.

20. Kerajaan juga perlu memastikan tiada sebarang ruang diberikan kepada penganjuran, promosi atau normalisasi acara seumpama ini pada masa hadapan.

21. Kegagalan bertindak bukan sahaja mencemarkan wibawa institusi penguatkuasaan, malah menghakis kedaulatan undang-undang dan menghantar isyarat berbahaya bahawa nilai Perlembagaan boleh diperdagangkan atas nama naratif kebebasan ideologi.

22. Kita mesti menghantar mesej yang jelas! 

23. Undang-undang Malaysia tidak boleh dikompromi. Nilai Perlembagaan tidak boleh dikompromi.

24. Kedaulatan moral negara tidak boleh ditukar dengan naratif kebebasan ideologi.

25. Malaysia bukan medan eksperimen sosial.


26. Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang wajib mempertahankan struktur moral, undang-undang dan keselamatan sosialnya.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Di Mana Suara Pembangkang Selangor.

1. Di manakah ADUN pembangkang Selangor ketika negeri ini sedang ditadbir dalam suasana krisis tatakelola?

2. Di manakah pembangkang apabila kerajaan negeri memperkenalkan dasar-dasar yang semakin tidak munasabah seperti cadangan penternakan babi berskala gergasi, perhimpunan LGBTQ, kemerosotan kebersihan bandar, kelemahan pengurusan sisa pepejal, kegagalan menjaga kepekaan sosial, pencemaran alam sekitar sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat?
3. Dimanakah ketua pembangkang Selangor Dato Sri Azmin Ali?
4. Selangor mempunyai bilangan ADUN pembangkang yang mencukupi untuk memainkan peranan semak dan imbang yang bermakna.
5. Namun dalam banyak isu yang terpaksa ditegur oleh Istana sendiri, rakyat gagal melihat suara pembangkang yang konsisten, lantang dan berprinsip di dalam Dewan.
6. Dalam sebuah negeri yang sedang berhadapan krisis tatakelola, krisis sensitiviti sosial dan krisis keabsahan moral pentadbiran, peranan Ketua Pembangkang bukan sekadar simbolik.
7. Ia adalah jawatan institusi yang memikul amanah besar untuk memimpin suara pembangkang, menyusun strategi semak dan imbang, serta memastikan Dewan Undangan Negeri berfungsi sebagai benteng pertama rakyat.
8. Namun dalam deretan isu besar yang sehingga memaksa Istana sendiri tampil berulang kali menegur Kerajaan Negeri, rakyat tidak melihat kepimpinan pembangkang yang tegas, konsisten dan terancang di dalam Dewan.
9. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Ketua Pembangkang ialah kompas moral dan strategik pembangkang. Jika kompas itu tidak kelihatan, maka keseluruhan barisan pembangkang akan hilang arah.
10. Apabila Sultan Selangor terpaksa berulang kali menzahirkan teguran terhadap Kerajaan Negeri, itu bermakna mekanisme semak dan imbang legislatif telah gagal berfungsi.
11. Dan kegagalan itu bukan hanya terletak pada pihak eksekutif, ia turut mencerminkan kelemahan peranan pembangkang yang sepatutnya menjadi benteng pertama rakyat dalam Dewan.
12. Tugas ADUN pembangkang bukan sekadar hadir dalam persidangan, berucap atau melontarkan kritikan di luar Dewan.
13. Mereka dipilih untuk membawa suara rakyat ke dalam persidangan rasmi, menyoal EXCO secara terbuka, memaksa penjelasan yang telus, menuntut akauntabiliti pentadbiran serta mempertahankan kesejahteraan rakyat daripada dasar-dasar yang tidak sensitif, tidak telus dan merugikan kepentingan awam.
14. Mereka adalah barisan pertahanan pertama rakyat dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
15. Namun dalam isu-isu yang paling dekat dengan kehidupan rakyat seperti bau busuk, pencemaran, banjir kilat, longgokan sampah, sensitiviti agama, ancaman kesihatan, pembangkang dilihat sunyi, lambat, dan tidak konsisten.
16. Rakyat bertanya: Apakah ADUN pembangkang kini sekadar pemerhati, bukan pembela?
17. Apakah mereka telah beralih daripada wakil rakyat kepada sekadar pengulas politik?
18. Apabila Istana terpaksa menjadi suara rakyat, itu menandakan bahawa Dewan Undangan Negeri telah gagal menjalankan fungsi asalnya sebagai institusi yang dipertanggung-jawab dengan kuasa eksekutif.
19. Ini bukan isu politik kepartian. Ini isu amanah perwakilan rakyat.
20. Jika ADUN pembangkang gagal membawa isu-isu rakyat ke dalam Dewan, maka mereka sedang gagal menjalankan mandat rakyat sendiri.
21. Dan dalam sebuah negeri yang sedang berhadapan krisis tatakelola, kegagalan pembangkang bukan lagi satu kelemahan, ia adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
22. Selangor tidak hanya memerlukan kerajaan yang bertanggungjawab.�
23. Selangor memerlukan pembangkang yang berani, berprinsip dan setia kepada rakyat, bukan kepada keselesaan politik.
24. Kerana apabila pembangkang gagal berfungsi, Istana terpaksa menanggung beban yang bukan miliknya.
25. Dan itu adalah kegagalan paling besar dalam sebuah sistem demokrasi berperlembagaan.
Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo