Responsive Ad Slot

Slider

TAKIYUDDIN TIDAK FAHAM KONSEP, MATLAMAT GTA - PEJUANG


 Takiyuddin tidak faham konsep, matlamat GTA – Pejuang

PENDIRIAN Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PAS menolak menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) jelas membuktikan Setiausaha Agung parti itu tidak faham konsep penubuhan gabungan tersebut.

Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata Takiyuddin lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah dan penyalahguna kuasa.

“GTA adalah gerakan orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa, bukanlah satu permainan politik.

“Kemiskinan pasca pandemik adalah realiti dan hakikat perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

“Kalau PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang Melayu, PAS harus bersama GTA untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata PAS tidak akan menyertai GTA dan menegaskan penubuhan gabungan itu tidak memberi kesan kepada PAS.

Kata beliau, gabungan itu yang dipelopori Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.

Sementara itu, Armin Baniaz berkata, GTA juga disertai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dari perbagai kluster.

Ujarnya, pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan dapat memberi impak besar kerana mereka adalah pihak yang mempunyai kepakaran relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri.

“Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada Kementerian-Kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

“Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah kerajaan yang mampu menanganinya,” katanya. – Malaysiapost
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo