Responsive Ad Slot

Slider

Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan

Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan


Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos 2025 untuk membatalkan istilah “menjengkelkan” dan “menghina” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tamparan besar kepada kerajaan dan kemenangan besar buat rakyat.


Selama ini, istilah kabur ini dijadikan senjata politik untuk menutup mulut rakyat. Apa sahaja kritikan yang tidak menyenangkan kerajaan, mudah sekali dituduh sebagai “menghina”. Inilah cara kerajaan menakut-nakutkan rakyat, bukannya melindungi mereka.


Hakikatnya, dari tahun 2009 hingga pertengahan 2024 rekod rasmi mencatat sebanyak 3,077 siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 233 dengan 151 pendakwaan, melibatkan denda melebihi RM1.26 juta. Ini termasuk RM430,000 khusus kerana “ucapan menghina” semata-mata. Dalam tempoh singkat antara 2020 hingga Januari 2023, 444 siasatan menghasilkan 31 sabitan dengan jumlah denda RM284,000. 


Angka ini jelas menunjukkan undang-undang ini bukan diguna untuk melindungi rakyat daripada bahaya sebenar, tetapi lebih kepada menghukum pandangan yang “tidak menyenangkan” pihak berkuasa. Undang-undang ini disalahguna untuk menghukum suara rakyat.


Kementerian Komunikasi dan MCMC mesti dipertanggungjawabkan. Mereka berterusan mempertahankan undang-udang zalim dan tidak berperlembagaan ini, walaupun pelbagai pihak termasuk badan guaman, masyarakat sivil dan ahli akademik sudah lama menegur. Malangnya, teguran itu tidak diendahkan, malah siasatan serta tawaran kompaun diteruskan sehingga rakyat dibelenggu dengan ketakutan untuk bersuara. Mereka memilih untuk menjadi alat politik, bukannya penjaga kebebasan rakyat.


Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan kebebasan bersuara bukan boleh ditentukan oleh “perasaan terganggu” atau “tersinggung” individu tertentu. Undang-undang harus lindungi rakyat daripada ancaman sebenar seperti ugutan, hasutan keganasan dan eksploitasi, bukannya menganggap kritikan sebagai jenayah.


Kami menyokong penuh keputusan ini dan menuntut supaya Menteri serta MCMC mengambil langkah segera. Pertama, hentikan segera semua kes berjalan yang masih bergantung kepada istilah yang kini tidak sah. Kedua, keluarkan garis panduan penguatkuasaan yang lebih jelas dan berpaksikan kepada bahaya nyata, bukan tafsiran longgar. Ketiga, semak semula kompaun dan pendakwaan lalu yang bertitik tolak daripada istilah ini, dan pertimbangkan pampasan sewajarnya demi memulihkan keyakinan rakyat.


Parlimen pula jangan lagi jadi pak turut. Undang-undang komunikasi negara mesti digubal semula dengan bahasa yang jelas, telus dan selaras dengan Perlembagaan.


Demokrasi bermakna rakyat boleh bersuara tanpa takut dihukum kerana kritikan. Mahkamah telah menegakkan prinsip. Kini giliran kerajaan membuktikan sama ada mereka benar-benar menghormati suara rakyat, atau terus menindas demi mengekalkan kuasa. 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo