Responsive Ad Slot

Tatakelola Kerajaan Selangor gagal, Sultan terpaksa bersuara


Tatakelola Kerajaan Selangor gagal, Sultan terpaksa bersuara
Oleh: Dr. Armin Baniaz Pahamin
1. Selangor kini sedang berhadapan satu krisis tatakelola institusi yang semakin ketara apabila Sultan Selangor terpaksa berulang kali tampil menzahirkan teguran terhadap Kerajaan Negeri dalam isu-isu yang menyentuh kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan sensitiviti sosial.
2. Krisis ini bukan lagi bersifat terasing atau teknikal, tetapi mencerminkan satu realiti yang membimbangkan dan bersifat sistemik, melangkaui persoalan projek, pentadbiran harian dan perbezaan dasar, sebaliknya menandakan keretakan dalam kerangka kebertanggungjawaban pentadbiran negeri.
3. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Sultan berdiri sebagai institusi pemersatu dan penjaga amanah rakyat, bukan sebagai aktor politik.
4. Oleh itu, apabila Baginda terpaksa tampil menegur keputusan eksekutif, ia merupakan indikator jelas kepada kegagalan serius kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab asas tadbir urus, perlindungan kepentingan awam dan penjagaan kesejahteraan rakyat.
5. Dan di Selangor, perkara ini bukan lagi bersifat terpencil atau luar biasa, ia telah berlaku terlalu kerap sehingga membentuk satu pola kegagalan pentadbiran.
6. Di Selangor hari ini, konflik antara Istana dan Kerajaan Negeri bukan lagi sekadar episod, tetapi telah berkembang menjadi satu corak pentadbiran yang sistemik.
7. Isu penternakan babi berskala mega, kemerosotan kebersihan bandar, kelemahan pengurusan sisa pepejal, kecuaian terhadap sensitiviti sosial, ancaman terhadap alam sekitar serta kemerosotan kesejahteraan rakyat, semuanya berkongsi satu ciri yang sama.
8. Kerajaan Negeri membuat keputusan berimpak tinggi tanpa penilaian menyeluruh terhadap kesan sebenar kepada rakyat, sehingga Istana terpaksa tampil sebagai suara yang mempertahankan kepentingan awam.
9. Apabila Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita, mempersoalkan niat, menegur kelulusan, bahkan mencadangkan pemimpin politik ‘tinggal sendiri di kawasan terjejas’, itu bukan simbolik tetapi itu amaran tadbir urus.
10. Ia membawa mesej yang sangat jelas.
11. Kerajaan Negeri tidak lagi memimpin tetapi diheret oleh projek, tekanan kepentingan dan pendekatan teknokratik yang terpisah daripada pengalaman hidup rakyat.
12. Istana menjadi penyeimbang kerana Eksekutif hilang kompas. Institusi Raja tidak sepatutnya menjadi ‘pembetul kesilapan’ pentadbiran.
13. Namun di Selangor hari ini, Istana telah dipaksa memainkan peranan semak dan imbang yang gagal dimainkan oleh Exco dan kepimpinan negeri.
14. Apabila kebersihan bandar merosot, aduan rakyat berleluasa, alam sekitar terancam, dan sensitiviti majoriti Muslim diketepikan, kerajaan negeri tidak tampil sebagai pelindung tetapi sebagai pengurus projek semata-mata.
15. Lalu Tuanku terpaksa bersuara.
16. Ini bukan konflik peribadi. Ini adalah konflik antara amanah pemerintahan dengan kegagalan tatakelola.
17. Masalah Selangor bukan akibat kekurangan projek tetapi Kekurangan akauntabiliti
18. Selangor tidak kekurangan dana. Tidak kekurangan hasil. Tidak kekurangan kepakaran.
19. Yang Selangor sedang kekurangan ialah kepimpinan berteraskan amanah, kepekaan dan kebertanggungjawaban.
20. Dan apabila Istana terpaksa menegur, itu bermakna kerajaan negeri telah gagal memenuhi tanggungjawab asasnya iaitu menjaga kesejahteraan rakyat sebelum menjaga kelulusan projek.
21. Apabila Sultan terpaksa menjadi suara rakyat, ia menandakan kerajaan negeri telah berhenti menjadi pelindung rakyat.
22. Ini bukan isu politik. Ini isu keabsahan moral sebuah pentadbiran.
23. Selangor hari ini tidak memerlukan lebih banyak projek.
Selangor memerlukan kepimpinan yang kembali kepada amanah, adab dan tatakelola.
24. Dan selagi Istana terus terpaksa menegur, selagi itulah Selangor sedang diperintah oleh pentadbiran yang belum layak memegang amanah rakyat.
Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin

Masa Depan Melayu Ditentukan Oleh Cara Kita Berpolitik


1. Saya dan ramai rakyat berbangsa Melayu berasa amat terkilan dan kesal apabila membaca berita pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

2. Dalam suasana politik Melayu yang semakin rapuh dan terfragmentasi, langkah memecat pemimpin Melayu dari blok pembangkang bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah dalaman parti, malah memburukkan lagi perpecahan sokongan Melayu yang sedia terbelah.

3. Apa yang sedang berlaku dalam Bersatu hari ini bukan lagi soal prinsip atau perjuangan rakyat.
Rakyat, khususnya orang Melayu, hanya mempunyai ruang yang semakin terhad untuk bernaung secara politik.

4. Pada asalnya, orang Melayu berteduh di bawah UMNO. Namun reputasi UMNO hari ini berada pada tahap yang amat merosakkan keyakinan rakyat. Seruan oleh Ketua Pemuda UMNO untuk penyatuan UMNO dan PAS hanyalah mainan politik untuk melepaskan pertuduhan seseorang.

5. Parti itu kini lebih dikenali sebagai parti yang sarat dengan krisis integriti. 

6. Presidennya berdepan puluhan pertuduhan mahkamah (walaupun telah di NFA tetapi persepsi masih kekal), manakala bekas presidennya telah pun menjalani hukuman penjara. 

7. Barisan pemimpinnya pula dilihat menanggung beban moral yang mengikat mereka untuk terus menyokong kerajaan, bukan kerana prinsip, tetapi kerana keterpaksaan politik.

8. Barisan pemimpin umno lain dikhuatiri mempunyai ‘baggage’ dan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menyokong pemerintah yang memegang mereka seperti tali di hidung lembu.

9. Bersatu muncul sebagai alternatif kepada UMNO. 

10. Namun sejak kebelakangan ini, Bersatu pula dilihat semakin tidak mampu menerima perbezaan pandangan dan teguran dalaman. 

11. Kritikan dijawab dengan hukuman, dan perbezaan pandangan dianggap sebagai ancaman. 

12. Pemecatan tokoh seperti YB Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, serta penggantungan pimpinan seperti YB Wan Ahmad Fayhsal dan Che’Gu Bard di Port Dickson, telah membentuk persepsi awam bahawa Bersatu kini semakin mengamalkan pendekatan kepimpinan berunsur kuku besi.

13. Parti PAS pula, walaupun telah melalui proses penjenamaan semula, masih dilihat berdepan kesukaran besar untuk diterima sebagai peneraju negara majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya.

14. Akibatnya, rakyat melihat bahawa ruang bernaung politik Melayu semakin menyempit.

15. Setiap kali satu alternatif muncul, ia akhirnya terperangkap dalam konflik dalaman dan perebutan kuasa, bukan membina keyakinan rakyat.

16. UMNO runtuh dari segi moral.

17. Bersatu pula kini kelihatan semakin rapuh dari segi budaya kepimpinan.

18. PAS pula masih bergelut dari segi penerimaan nasional.

19. Maka persoalan sebenar hari ini bukan lagi ‘siapa paling kuat’, tetapi siapa yang paling layak menyatukan.

20. Politik Melayu hari ini bukan kekurangan parti, tetapi kekurangan kebijaksanaan.

21. Kita bukan kekurangan pemimpin, tetapi kekurangan jiwa kepimpinan.

22. Atas kesedaran inilah Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru penyatuan bangsa Melayu melalui konsep Payung Besar iaitu sebuah wadah penyatuan yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi dan kepentingan individu. 

23. Ia bukan sebuah parti, bukan juga sebuah platform perebutan jawatan, tetapi ruang bersama tempat orang Melayu kembali berpaut sebagai satu bangsa.

24. Di bawah Payung Besar, setiap individu hadir bukan sebagai pemimpin parti, ahli politik atau ketua NGO, tetapi sebagai orang Melayu yang duduk sama rata, berdiri sama tinggi, dan bebas daripada hierarki kuasa.

25. Apabila semua berada pada aras yang sama, barulah nilai kepimpinan sebenar akan menyerlah melalui keikhlasan, kebijaksanaan dan keupayaan menyatukan, bukan melalui jawatan atau pengaruh.

26. Parti politik hanyalah kenderaan pilihan raya. Ia datang dan pergi.

27. Tetapi bangsa Melayu yang bersatu adalah kuasa sebenar. 

28. Kuasa dominan yang mampu menentukan arah, menang atau kalah seseorang pemimpin dan kerajaan.

29. Apa yang sedang berlaku dalam Bersatu dengan pemecatan demi pemecatan, bukan sekadar tindakan disiplin, tetapi satu isyarat bahawa budaya dalaman parti sedang berubah daripada budaya musyawarah kepada budaya autoritarian. 

30. Apabila parti mula memerintah melalui hukuman, ia tidak lagi memimpin melalui kepercayaan.

31. Lebih membimbangkan, rakyat Melayu kelas pertengahan, profesional dan generasi muda mula menjauh. 

32. Mereka bukan menolak perjuangan Melayu. Mereka menolak cara kita berpolitik.

33. Mereka mahu kestabilan. Mereka mahu rasionaliti. Mereka mahu politik yang tidak memaksa mereka memilih antara dua keburukan.

34. Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama mengingatkan bahawa selagi politik Melayu dikuasai oleh kerakusan kuasa dan perebutan jawatan, orang Melayu akan terus berpecah dan akhirnya melemahkan diri sendiri.

35. Atas sebab itu beliau mencadangkan agar pembangkang tidak menamakan seorang ‘poster boy' atau calon Perdana Menteri lebih awal. 

36. Tidak pernah dan tidak akan wujud seorang tokoh yang diterima semua pihak.

37. Poster boy hanya melahirkan puak, bukan perpaduan, dan membuka ruang kepada sabotaj dalaman sebelum berdepan musuh sebenar.

38. Pendekatan yang lebih matang ialah dengan menyenaraikan beberapa calon Perdana Menteri dari blok pembangkang dan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan untuk memenangi pilihan raya.

39. Selepas kemenangan dicapai, barulah seorang dipilih secara konsensus, berprinsip dan bermaruah.

40. Inilah politik yang menenangkan rakyat, bukan menakutkan mereka.

41. Jika kita gagal belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajar kita melalui kekalahan.

42. Dan jika trend ini berterusan, bukan sahaja Bersatu akan kehilangan pemimpin, tetapi politik Melayu akan kehilangan rakyatnya sendiri.

43. Apabila rakyat pergi, tidak ada lagi yang tinggal untuk dipertahankan. 

44. Bangsa Melayu akan terkubur seperti di Pulau Pinang dan Singapura.

Salam Hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin 

KRISIS KOS KESIHATAN NEGARA ADALAH KEGAGALAN STRUKTUR SISTEM, BUKAN SEKADAR ISU HOSPITAL SESAK


1. Krisis kos kesihatan negara kini semakin kritikal walaupun peruntukan Belanjawan Persekutuan untuk sektor kesihatan meningkat dengan ketara selepas pandemik.

2. Ruang fiskal sebenar untuk memperkukuh kapasiti sistem kesihatan awam semakin sempit akibat fenomena crowding out dan struktur perbelanjaan yang tidak selari dengan tekanan kos sebenar sektor kesihatan, meskipun belanjawan negara meningkat setiap tahun.

3. Malaysia kini sedang berdepan satu krisis kesihatan nasional yang bersifat struktur, sistemik dan berpotensi menggugat kestabilan sosial serta ekonomi negara.

4. Krisis ini bukan sekadar isu hospital awam yang sesak atau kenaikan caj hospital swasta, tetapi mencerminkan kegagalan reka bentuk sistem pembiayaan kesihatan yang gagal mengawal harga, gagal mengurus risiko secara nasional dan gagal memastikan kebolehcapaian rawatan secara universal.

5. Analisis ekonomi menunjukkan bahawa negara sedang memasuki fasa keruntuhan kebolehcapaian rawatan.

6. Majoriti rakyat termasuk golongan berpendapatan sederhana semakin tidak mampu menampung kos rawatan asas.

7. Inflasi perubatan negara yang kini mencecah sekitar lima belas peratus setahun bukan sekadar berpunca daripada kenaikan kos operasi biasa, tetapi didorong oleh ketiadaan kawalan tarif nasional hospital swasta. 

8. Amalan penetapan harga berlebihan, serta kepekatan pasaran hospital swasta kepada beberapa kumpulan korporat besar membolehkan penetapan harga secara dominan. 

9. Hubungan tidak sihat antara hospital dan syarikat insurans membentuk kitaran inflasi yang berkait rapat.

10. Caj hospital yang meningkat memaksa syarikat insurans menaikkan premium, dan kenaikan premium pula menggalakkan hospital terus menaikkan caj kerana pasaran dilindungi oleh perlindungan insurans.

11. Akibatnya, premium insurans kesihatan melonjak antara empat puluh hingga tujuh puluh peratus dalam tempoh singkat. 

12. Ini mewujudkan realiti baharu di mana semakin ramai rakyat yang memiliki polisi insurans tetapi secara praktikalnya, mereka tidak lagi mampu menggunakannya. 

13. Dari sudut ekonomi insurans, Malaysia kini memasuki fasa keruntuhan kolam risiko nasional, di mana peningkatan premium menyebabkan ramai pencarum menarik diri.

14. Kolam risiko menjadi semakin kecil, premium terus melonjak, dan syarikat insurans mula mengeluarkan hospital daripada senarai panel. 

15. Ini sekali gus mengehadkan akses rawatan rakyat dan mempercepatkan pembanjiran hospital awam.

16. Lebih membimbangkan, lebih separuh pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan Akaun 2 yang mencukupi untuk menampung kos rawatan swasta yang kini mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit. 

17. Kebergantungan kepada simpanan individu sebagai mekanisme pembiayaan kesihatan adalah pendekatan yang silap kerana kesihatan memerlukan kolam risiko nasional, bukannya tabungan peribadi yang terhad dan tidak seimbang.

18. Kesesakan hospital awam yang semakin kritikal bukan berpunca daripada pilihan rakyat, tetapi akibat migrasi secara terpaksa apabila rawatan swasta menjadi tidak mampu dibayar. 

19. Keadaan ini diperburuk oleh fenomena penghijrahan pakar perubatan ke luar negara dan ke sektor swasta, yang memaksa hospital menaikkan pakej gaji pakar dan seterusnya memindahkan kos tersebut ke bil pesakit. 

20. Setiap gelombang kehilangan pakar menterjemah kepada kenaikan caj rawatan baharu, mewujudkan saluran inflasi jangka panjang yang sukar dihentikan.

21. Pada masa yang sama, model hospital korporat tersenarai yang mengutamakan pertumbuhan keuntungan tahunan telah menukar rawatan kesihatan menjadi produk kewangan. 

22. Prosedur dan rawatan tambahan sering didorong oleh sasaran hasil, bukan keperluan klinikal semata-mata. 

23. Kegagalan kawalan harga peranti dan ubat-ubatan import pula membolehkan harga di markup dengan melampau. 

24. Harga ke atas implan, stent, valve jantung dan ubat kanser meningkat berlipat ganda, sekali gus melonjakkan kos ICU, pembedahan dan rawatan onkologi ke tahap yang tidak munasabah.

25. Lebih serius, hospital swasta Malaysia tidak diwajibkan menyumbang kepada tanggungjawab sosial kesihatan nasional. 

26. Mereka tidak terikat menerima pesakit kos rendah, tidak diwajibkan menyumbang kepada tabung nasional dan tidak tertakluk kepada kadar subsidi silang, menyebabkan keseluruhan beban rawatan rakyat ditanggung hampir sepenuhnya oleh hospital awam dan fiskal kerajaan. 

27. Dalam masa yang sama, struktur insurans komersial yang diimport daripada model negara kaya diaplikasikan kepada masyarakat berpendapatan sederhana.

28. Ini menyebabkan premium meningkat lebih pantas daripada pertumbuhan gaji, perlindungan semakin menyusut dan deduktibel semakin tinggi, seterusnya melemahkan daya tahan kelas menengah.

29. Krisis ini akan bertambah parah apabila Malaysia memasuki fasa masyarakat menua dengan lonjakan penyakit kronik seperti diabetes, kanser, jantung dan dialisis.

30. Tanpa sistem kawalan kos nasional akan meletupkan perbelanjaan kesihatan secara eksponen dan berpotensi melumpuhkan sistem awam. 

31. Lebih membimbangkan, Malaysia masih belum mempunyai sebuah badan ekonomi kesihatan nasional yang menetapkan harga rujukan, menganalisis kos-efektif rawatan dan mengawal had markup, menyebabkan kos kesihatan berkembang tanpa had yang munasabah.

32. Sehubungan itu, negara memerlukan satu pembaharuan struktur melalui penubuhan National Health Insurance Trust sebagai institusi pusat perlindungan kesihatan nasional.

33. Institusi ini bertanggungjawab mengawal tarif rawatan, mengurus kolam risiko kesihatan rakyat, menjamin premium yang mampu dibayar, mengagihkan beban antara sektor awam dan swasta serta memastikan liputan kesihatan asas universal. 

34. Model ini telah terbukti berjaya di Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun dalam mengekang inflasi perubatan serta mengekalkan perlindungan kesihatan menyeluruh.

35. Sekiranya keadaan ini dibiarkan tanpa reformasi sistemik, negara akan berdepan peningkatan muflis perubatan, kejatuhan produktiviti buruh, hakisan kelas menengah, tekanan fiskal yang lebih berat kepada kerajaan serta ketidakstabilan sosial jangka panjang. 

36. Kesihatan bukan komoditi elit, tetapi hak asas rakyat dan infrastruktur ekonomi negara. 

37. Tanpa pembaharuan menyeluruh, Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah negara dua tingkat kesihatan, satu untuk rakyat biasa dan satu lagi untuk golongan berada yang tidak mampan dari sudut ekonomi dan berbahaya dari sudut sosial.

38. Pada 6 January 2026, Parti Pejuang Johor membuat kenyataan mendakwa negara kini sedang berdepan krisis kesihatan yang semakin meruncing apabila hospital awam kian sesak, manakala caj rawatan hospital swasta pula terus meningkat ke tahap yang semakin membebankan rakyat. 

39. Dapatan itu bukan sekadar isu persepsi, tetapi selari dengan analisis ekonomi yang menunjukkan bahawa Malaysia kini sedang memasuki fasa keruntuhan kebolehcapaian rawatan kesihatan. 

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026 

Melayu Tidak Gagal

1. Surat terbuka Ketua Pemuda Amanah Perlis Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad, kelihatan jujur dan kritikal, namun secara struktur ia membina kesimpulan yang berbahaya.

2.⁠ ⁠Ia meletakkan kegagalan ekonomi Melayu sebagai kegagalan bangsa, bukan kegagalan sistem pembangunan negara yang membentuk realiti tersebut.

3.⁠ ⁠Bangsa bukan pembina struktur ekonomi; bangsa ialah subjek yang hidup dalam sistem yang dibentuk oleh dasar, negara dan warisan sejarah.

4.⁠ ⁠Melayu tidak mewarisi kapitalisme sebagai pemilik, tetapi mewarisi sistem dual-ekonomi kolonial yang menempatkan mereka sebagai tenaga buruh dan penerima subsidi.

5.⁠ ⁠Pemilikan modal, industri dan rantaian perdagangan dikekalkan dalam struktur elit tertutup yang tidak pernah benar-benar dibongkar selepas merdeka malah disesuaikan semula dalam bentuk konsesi, kartel, monopoli dan GLC yang tertutup.

6.⁠ ⁠Maka persoalan sebenar bukan mengapa Melayu ‘gagal menguasai ekonomi’, tetapi mengapa negara gagal membina sistem pemilikan nasional yang membolehkan Melayu membentuk kelas kapital mereka sendiri.

7.⁠ ⁠Data Bank Negara dan DOSM menunjukkan pemilikan ekuiti Melayu kekal sekitar 20 peratus, dengan penguasaan yang sangat rendah dalam sektor strategik seperti farmasi, perkilangan, logistik dan perdagangan besar.

8.⁠ ⁠Ini bukan masalah mentaliti, tetapi masalah struktur.

9.⁠ ⁠Negara membina elit, tetapi tidak membina ekosistem kapital rakyat.

10.⁠ ⁠Model pembangunan berasaskan patronage telah melahirkan kelas rent-seeking yang bergantung kepada kuasa politik, bukan produktiviti dan inovasi.

11.⁠ ⁠Melayu dijadikan penyokong politik, bukan pemilik sistem ekonomi.

12.⁠ ⁠Apabila kuasa tergelincir, mereka kehilangan bukan sahaja jawatan, tetapi juga sumber ekonomi kerana tiada pemilikan mapan.

13.⁠ ⁠Dominasi ekonomi pihak lain pula bukan hasil ‘kegagalan Melayu sendiri’, tetapi akibat liberalisasi pasaran tanpa pemindahan teknologi, dasar terbuka tanpa perlindungan peralihan, serta ketiadaan pelan pemilikan industri nasional yang berdaya tahan.

14.⁠ ⁠Generasi muda tidak menolak Melayu, mereka menolak sistem lama yang menormalisasikan rent-seeking, nepotisme dan ekonomi tertutup.

15.⁠ ⁠Mereka bertanya bukan siapa memegang kuasa, tetapi siapa memiliki industri, teknologi, data dan rantaian nilai masa depan.

16.⁠ ⁠Hingga hari ini, jawapannya bukan Melayu!! bukan kerana Melayu gagal, tetapi kerana sistem tidak pernah membenarkan Melayu membina pemilikan sebenar.

17.⁠ ⁠Hakikat paling penting ialah kegagalan ekonomi Melayu ialah kegagalan negara.

18.⁠ ⁠Menyalahkan bangsa hanya mengalihkan fokus daripada reform struktur sebenar dan membuka ruang kepada penghakisan perlindungan perlembagaan atas nama “reformasi”.

19.⁠ ⁠Melayu tidak memerlukan slogan baharu. Melayu memerlukan rekonstruksi sistem ekonomi nasional, daripada pendidikan teknikal, pembiayaan perusahaan, rantaian bekalan, pemilikan industri hingga dasar perolehan negara.

20.⁠ ⁠Rekonstruksi ini menuntut satu reset politik nasional yang sebenar.

21.⁠ ⁠Dalam konteks ini, kesatuan Melayu bukan slogan emosi, tetapi prasyarat strategik.

22.⁠ ⁠Tanpa kesatuan, tidak wujud kekuatan legislatif mencukupi untuk merombak struktur lama dan membina ekosistem kapital rakyat.

23.⁠ ⁠Selagi kuasa politik Melayu berselerak, struktur tertutup akan terus dilindungi oleh kepentingan yang lebih tersusun.

24.⁠ ⁠Reset politik ialah pintu masuk kepada reset ekonomi. Tanpa penyatuan Melayu, pintu itu tidak akan terbuka.

25. Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad dan ahli-ahli serta pemimpin melayu parti Amanah juga boleh menyertai Payung besar melayu dan sama-sama kita reset ekonomi dan politik Malaysia.

Salam hormat,
Dr Armin Baniaz Pahamin 

Adakah Perikatan Nasional masih relevan? Realignment Politik Melayu dan Masa Depan Negara.


 1.⁠ ⁠Desas-desus mengenai kebangkitan semula Muafakat Nasional yang menghimpunkan UMNO, PAS dan Bersatu semakin rancak diperkatakan dalam landskap politik semasa.

 2.⁠ ⁠Ia muncul dalam konteks yang lebih luas iaitu ketidakstabilan dalaman Perikatan Nasional (PN) pasca peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, yang telah mewujudkan kekosongan kepimpinan strategik serta mengundang persaingan pengaruh antara komponen utama gabungan tersebut.

 3.⁠ ⁠PAS telah menyatakan kesediaan untuk menerajui kepimpinan PN namun realitinya, gabungan akan melalui fasa political reconfiguration yang memerlukan tempoh peralihan bagi membina semula kestabilan institusi, penyelarasan kepimpinan serta kejelasan hala tuju strategik.

 4.⁠ ⁠Pergolakan di Perlis, apabila Menteri Besar daripada PAS digugurkan dan digantikan oleh wakil Bersatu menambah lagi dimensi krisis kepercayaan dalam PN.

 5.⁠ ⁠Ia bukan sekadar isu negeri, tetapi manifestasi kepada ketidaksefahaman strategik antara komponen gabungan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa PN sedang berdepan krisis kohesi dalaman.

 6.⁠ ⁠Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh, telah menganjurkan Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang menghasilkan resolusi jelas menyokong penyatuan UMNO dan PAS sebagai dua parti Melayu terbesar. 

 7.⁠ ⁠Resolusi ini bukan sekadar inisiatif sayap parti, tetapi membawa implikasi besar terhadap pembentukan semula blok politik Melayu nasional.

 8.⁠ ⁠Lebih signifikan, khabar angin bahawa Bersatu mungkin membentuk kerjasama baharu bersama Pakatan Harapan sekiranya UMNO menarik diri daripada gabungan sedia ada menandakan bahawa landskap politik Melayu kini sedang bergerak ke arah realignment strategik yang berisiko tinggi terhadap kestabilan jangka panjang.

 9.⁠ ⁠Dalam seluruh percaturan politik semasa, satu hakikat semakin terserlah. 

10.⁠ ⁠Gerakan penyatuan yang dilaungkan hari ini lebih tertumpu kepada kelangsungan parti politik, bukan kepada pembinaan kekuatan nasional jangka panjang.

11.⁠ ⁠Semboyan ‘penyatuan bangsa’ diangkat sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan parti, menjadikannya relevan dalam landskap persaingan politik. 

12.⁠ ⁠Namun, selagi penyatuan terus dirangka dalam sempadan kepartian, usaha membina kekuatan kolektif negara akan terus berhadapan dengan cabaran struktural yang berpanjangan.

13.⁠ ⁠Sejarah dan pengalaman politik negara membuktikan bahawa politik kepartian semata-mata tidak mampu melahirkan penyatuan strategik yang mampan. 

14.⁠ ⁠Penyatuan yang sebenar menuntut satu perubahan paradigma daripada politik parti kepada politik kenegaraan; daripada persaingan organisasi kepada kesepaduan nasional.

15.⁠ ⁠Dalam konteks ini, parti politik perlu difahami sebagai instrumen pilihan raya, bukan matlamat perjuangan. 

16.⁠ ⁠Ia adalah vehicle demokrasi, bukan identiti perjuangan. 

17.⁠ ⁠Yang perlu diangkat sebagai keutamaan ialah kekuatan bangsa, kestabilan negara dan masa depan generasi.

18.⁠ ⁠Seruan penyatuan ini telah lama ditegaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suatu keperluan strategik negara, bahawa penyatuan tidak boleh digerakkan melalui elit parti semata-mata, tetapi mesti lahir daripada kesedaran nasional yang merentasi sempadan organisasi dan logo.

19.⁠ ⁠Prinsip ini pernah dizahirkan dalam sejarah politik moden negara apabila pelbagai kekuatan politik dan masyarakat sivil disatukan di bawah satu payung strategik demi perubahan nasional, menggunakan satu platform pilihan raya sebagai instrumen, bukan sebagai pusat identiti perjuangan. 

20.⁠ ⁠Ia membuktikan bahawa penyatuan kenegaraan mampu mengatasi politik kepartian.

21.⁠ ⁠Menjelang fasa politik nasional yang akan datang, keutamaan negara seharusnya kembali kepada satu agenda yang jelas iaitu membina kesepaduan, memperkukuh keyakinan rakyat, dan memulihkan mandat demokratik melalui pertandingan yang sihat, telus dan berteras prinsip.

22.⁠ ⁠Penyatuan yang sebenar bukan sekadar slogan. Ia adalah strategi kebangsaan.

23.⁠ ⁠Dan hanya dengan penyatuan berteras bangsa bukan parti, barulah kestabilan, kemenangan demokrasi dan masa depan Malaysia dapat dijamin.

24.⁠ ⁠Seruan Dr Akmal Salleh untuk UMNO dan PAS bersatu di terima baik danalu-alukan malah UMNO juga digalakkan menarik sokongan dan keluar dari Kerajaan Perpaduan.

25.⁠ ⁠Sama penting, malah lebih kritikal ialah untuk Dr Akmal Saleh memperkukuh kesepaduan politik dalam kalangan akar umbi, khususnya dalam UMNO, agar penyatuan yang dibina berteraskan kesedaran bangsa, tanggungjawab sejarah dan komitmen bersama terhadap kestabilan negara.

26.⁠ ⁠Kita perkasakan bangsa melayu. Kita satukan bangsa melayu sebagai teras negara dibawah Payung Besar Tun Dr Mahathir yang tidak impikan apa-apa jawatan kecuali untuk melihat bangsa melayu bersatu dan membentuk kerajaan. 

27.⁠ ⁠Kita bersatu sebagai orang melayu, kita akan menang pilihanraya.

Salam hormat
Dr Armin Baniaz Pahamin
© all rights reserved
made with by templateszoo