“Apabila majoriti rakyat mula merasakan bahawa identiti negara semakin terhakis, ekonomi semakin sempit, dan masa depan semakin tidak jelas, maka negara sebenarnya sedang berdepan krisis hala tuju yang serius.”
1. Malaysia hari ini bukan sahaja berdepan masalah ekonomi atau persaingan politik biasa. Negara sedang mengalami krisis keseimbangan nasional yang semakin membimbangkan.
2. Sebahagian besar orang Melayu mula melihat bahawa hala tuju dan qiblat Kerajaan Madani semakin dipengaruhi oleh prinsip kesamarataan ala “Malaysian Malaysia” yang sekian lama menjadi teras perjuangan DAP.
3. Persepsi ini semakin kuat apabila banyak pendekatan kerajaan dilihat cuba mentafsir semula struktur sosial negara atas nama kesaksamaan mutlak tanpa mengambil kira realiti sejarah dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
4. Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dibina atas konsep bahawa semua kaum berada dalam kedudukan yang seratus peratus sama dari sudut sejarah dan tanggungjawab kenegaraan.
5. Sebaliknya, Perlembagaan diwujudkan atas prinsip keseimbangan nasional. Ia melindungi hak semua rakyat, tetapi pada masa sama mengiktiraf kedudukan Melayu dan Bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu sebagai asas utama negara.
6. Dalam beberapa isu, terdapat juga pemimpin politik dalam kerajaan yang dilihat semakin berani mempertikaikan atau mempersoalkan titah dan pendirian institusi Raja-Raja Melayu secara terbuka.
7. Sebab itu apabila naratif politik mula bergerak terlalu jauh ke arah kesamarataan mutlak tanpa sensitiviti terhadap struktur asal negara, ramai orang Melayu mula merasakan bahawa kedudukan mereka sedang dipersoalkan secara perlahan-lahan.
8. Dalam keadaan inilah gagasan RESET mula mendapat perhatian. RESET membawa pendekatan bahawa kestabilan Malaysia hanya boleh dicapai melalui keseimbangan semula antara legitimasi majoriti dan keyakinan minoriti.
9. Penekanan RESET bahawa kerajaan perlu mendapat sokongan majoriti kaum majoriti dan pada masa sama diterima oleh majoriti kaum minoriti merupakan formula politik rentas kaum yang lebih realistik dan stabil untuk Malaysia.
10. Malaysia memerlukan kerajaan yang bukan sahaja inklusif, tetapi juga mempunyai legitimasi kukuh daripada majoriti rakyat Melayu sebagai tunjang utama struktur kenegaraan negara.
11. Namun RESET bukan sekadar soal politik identiti atau kestabilan kaum. Ia turut memberi penekanan besar terhadap pembetulan hala tuju ekonomi negara.
12. Sudah terlalu lama Malaysia ketandusan idea besar untuk membangunkan industri baharu yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi nasional.
13. Negara seolah-olah terus bergantung kepada model ekonomi lama tanpa keberanian politik untuk mencipta sektor strategik generasi baharu yang boleh melonjakkan pendapatan negara dan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.
14. Malaysia suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai Harimau Asia, sebuah negara yang agresif membina sektor baharu seperti automotif nasional, minyak dan gas, kewangan Islam, perkapalan, MSC serta pembangunan industri berat.
15. Hari ini momentum itu semakin hilang.
16. Kerajaan Madani dilihat lebih banyak tertumpu kepada pengurusan persepsi, slogan politik dan pendekatan fiskal jangka pendek berbanding membina ekosistem ekonomi baharu yang benar-benar mampu mentransformasikan struktur ekonomi negara.
17. Hakikatnya, rakyat terutama Bumiputera memerlukan lebih banyak peluang pemilikan ekonomi, peluang perniagaan, peluang perindustrian dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
18. Golongan muda Bumiputera hari ini semakin berdepan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad dan kesukaran membina kekayaan jangka panjang.
19. Tanpa agenda ekonomi baharu yang agresif, jurang ekonomi akan terus melebar dan rasa kecewa dalam kalangan rakyat akan semakin mendalam.
20. RESET dilihat cuba membawa semula idea bahawa kerajaan mesti mempunyai visi ekonomi nasional yang jauh lebih berani dan strategik.
21. Malaysia memerlukan pelancaran industri baharu berimpak tinggi dalam bidang teknologi pertahanan, kecerdasan buatan, ekonomi digital, semikonduktor, tenaga baharu, bioteknologi, automasi, keterjaminan makanan, dan industri strategik Bumiputera yang mampu mencipta gelombang pertumbuhan baharu bagi negara.
22. Rakyat hari ini mula mempertikaikan sama ada kerajaan Madani benar-benar mempunyai kepakaran, keupayaan serta political drive untuk melaksanakan transformasi ekonomi sebesar itu. Setakat ini, kerajaan dilihat lebih bersifat defensif dan reaktif berbanding mempunyai pelan transformasi nasional yang mampu mengubah trajectory ekonomi negara secara menyeluruh.
23. Sebab itu RESET menjadi seruan untuk membetulkan semula arah politik, ekonomi dan struktur nasional sebelum Malaysia terus kehilangan momentum sebagai kuasa ekonomi utama rantau ini.
24. Negara tidak boleh terus dipimpin hanya dengan naratif. Malaysia memerlukan hala tuju baharu yang lebih berani, lebih seimbang dan lebih berpaksikan realiti rakyat majoriti serta masa depan negara.
~ Dr Armin Baniaz Pahamin - Presiden, Gerakan Ekonomi Malaysia
ENGLISH
“When the majority of citizens begin to feel that the nation’s identity is gradually eroding, the economy is becoming increasingly restrictive, and the future appears more uncertain, the country is in fact facing a serious crisis of direction.”
President, Gerakan Ekonomi Malaysia

No comments
Post a Comment
Stay Tuned~