Responsive Ad Slot

Showing posts with label SMK Kamil. Show all posts
Showing posts with label SMK Kamil. Show all posts

Meneruskan Legasi Arwah Pahamin Rajab di SMK Kamil Pasir Puteh, Kelantan


Hari ini 5 Ogos 2025, saya berpeluang menyempurnakan amanah ayahanda saya - Pok, arwah Pahamin A Rajab untuk meneruskan sumbangan biasiswa yang dimulakan oleh arwah Pok di SMK Kamil,Pasir Puteh Kelantan. 


Semenjak lebih 20 tahun lepas Pok sentiasa menyumbang biasiswa kepada 30 orang Pelajar di SMK Kamil setiap tahun. Selain itu, beliau juga menyampaikan sumbangan khas kepada Tokoh Kamilian iaitu pelajar terbaik sekolah. Amanah ini saya sambung sejak pemergian arwah, dan tahun ini genap tahun kedua saya meneruskannya. Alhamdulillah, saya bersyukur diberi ruang dan peluang untuk terus berbakti di sekolah yang pernah mendidik ayahanda dan ibu saya suatu ketika dahulu.


Saya tiba di sekolah dan disambut mesra oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Choohaimi bin Ab Wahab. Sayangnya, saya tak sempat berjumpa Tuan Pengetua Encik Mohd  Shaharom bin Ab Rahman kerana beliau menghadiri kursus di Terengganu. InnSya Allah, kalau ada rezeki dan umur panjang, kita akan bersua nanti.


Turut hadir pagi ini, Cikgu Nik Nurul Hayati yang menjadi penghubung saya dengan pihak sekolah, serta guru-guru kanan SMK Kamil. Majlis penyerahan biasiswa diadakan di Bilik Mesyuarat Dato’ Wan Mohd Najib, di bangunan asal sekolah yang dibina sekitar tahun 1950an. bangunan yang sama ayahanda belajar suatu ketika dulu. Kini SMK Kamil dah berkembang dengan beberapa blok baru, tapi sejarahnya tetap utuh.


Majlis dimulakan oleh pengacara majlis yang saya sangka seorang guru. Bahasa dan penyampaiannya sangat matang dan berkeyakinan. Rupa-rupanya seorang murid! Lebih menarik, ucapannya diselit dengan pantun-pantun yang sangat indah. Saya sempat berbisik dan bertanya kepada Tuan Haji sama ada skrip disediakan oleh guru atau murid sendiri. Beliau menjawab murid sendiri yang hasilkan, dengan bimbingan cikgu. Hebat sungguh bakat mereka! Patutnlah SMK Kamil menjadi johan pertandingan Coral. Bakat mereka memang terserlah. Cantik sungguh susunan, tutur bahasa dan penyampian. Tahniah adik-adik pengerusi majlis! Saya berasa bangga.


Tuan Haji Choohaimi juga menyampaikan ucapan aluan yang penuh kenangan, menyentuh jasa dan sumbangan arwah ayahanda kepada sekolah. Saya sangat terharu. Terima kasih atas penghargaan itu.


Dalam ucapan saya, saya sempat menyampaikan dua perkara penting kepada pelajar-pelajar yang hadir.


Pertama, saya luahkan rasa kesal atas satu insiden yang berlaku yang sedang viral. Kisah seorang pelajar menumbuk cikgu. Perkara begini tak sepatutnya berlaku. Saya pesan kepada semua supaya sentiasa hormat dan jaga adab dengan guru. Guru adalah insan yang membentuk kita. Tanpa mereka, takkan ada siapa pun antara kita yang berjaya. Jangan sesekali angkat suara pada guru, dengar nasihat dan hargai segala tunjuk ajar mereka.


Kedua, saya ajak anak-anak semua untuk berani bercita-cita tinggi. Saya sentuh satu laporan media yang agak membimbangkan. Laporan itu menyebut ramai lepasan sekolah lebih berminat jadi Youtuber atau TikToker, berbanding menyambung pelajaran ke kolej atau universiti. 


Anak-anak khususnya yang berbangsa melayu perlu mempunyai cita-cita tinggi. Sekolah-sekolah dan juga ibu bapa lebih mendorong anak-anak untuk belajar tinggi-tinggi dan mendapat keputusan yang cemerlang supaya mereka dapat makan gaji dengan selesa samada dengan kerajaan ataupun swasta. Anak-anak melayu khususnya, kurang dibimbing untuk menjadi usahawan atau menceburi dunia perniagaan dan bisnes. Akibatnya kek dan kuasa ekonomi didominasi oleh kaum-kaum bukan melayu. Kita perlu perbetulkan keadaan dan ini bermula dengan bimbingan dari bangku sekolah.


Doa saya semoga anak-anak yang menerima bantuan hari ini, akan pada suatu hari nanti menghulurkan bantuan pula kepada masyarakat dan bangsa InnSya Allah.

Alfatihah untuk arwah Pahamin A Rajab. 










© all rights reserved
made with by templateszoo