Responsive Ad Slot

Selamat Hari Merdeka


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Kemerdekaan.

Hari ini kita meraikan detik bersejarah yang mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukanlah hadiah, tetapi hasil perjuangan dan pengorbanan bangsa. Kemerdekaan ini tidak boleh dipandang ringan, kerana ia adalah amanah yang mesti kita pertahankan dengan segala daya dan upaya.

Pertahanan bangsa adalah benteng kepada kemerdekaan. Tanpa semangat mempertahankan maruah dan jati diri, bangsa akan mudah goyah, biarpun negara sudah lama merdeka. Oleh itu, kita mesti terus berjuang memelihara nilai, budaya, dan kekuatan bangsa agar tidak hilang ditelan arus globalisasi.

Namun, kemerdekaan tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan luar. Ia juga bererti bebas daripada belenggu kebergantungan, kelemahan diri, dan tekanan kewangan. Rakyat yang merdeka adalah rakyat yang berdikari, berdaya saing, serta mampu berdiri teguh tanpa ditundukkan oleh hutang atau kebergantungan pada orang lain.

Kita mesti menghargai kemerdekaan ini dengan tidak leka. Setiap generasi perlu menyedari bahawa independence adalah kunci maruah bangsa! Sekali hilang, sukar untuk dikembalikan. Justeru, perjuangan kita hari ini ialah memastikan negara terus bebas, rakyat terus kuat, dan bangsa terus dipertahankan.

Merdeka adalah amanah. Amanah untuk mempertahankan bangsa, menghargai kemerdekaan, dan membina masa depan yang lebih sejahtera.

Selamat Hari Merdeka! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Ketidakseimbangan Kuasa, Pelanggaran Hak Milik dan Ketiadaan Perlindungan Struktural punca RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu ditolak sekeras-kerasnya


Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dalam bentuk sedia ada merupakan satu bentuk penjajahan moden terhadap pemilik hartanah di negara ini, dan ia mesti ditolak sekeras-kerasnya dengan sebulat suara oleh semua lapisan masyarakat.

 

RUU URA yang dibentangkan oleh kerajaan merupakan satu bentuk penggubalan dasar yang sangat tidak wajar, mencabul prinsip asas Perlembagaan Persekutuan dan mengancam hak pemilikan hartanah rakyat Malaysia. 

 

Usul untuk membolehkan kerajaan mengambil alih bangunan berdasarkan persetujuan hanya 80% daripada pemilik bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, dan 75% bagi bangunan melebihi 30 tahun, amat membimbangkan kerana ia melemahkan prinsip demokrasi pemilikan bersama. Lebih membimbangkan, ambang ini diturunkan kepada hanya 51% untuk bangunan yang diisytihar terbengkalai atau tidak selamat, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan, khususnya pemaju swasta.

 

Undang-undang ini mengheret tafsiran yang longgar terhadap konsep “persetujuan majoriti”, tanpa menyediakan mekanisme pengesahan yang bebas, telus dan bebas tekanan. Konsep konsensus yang digunakan berisiko menghasilkan “consent by coercion” atau persetujuan yang dibuat secara terpaksa dan bukan dengan kefahaman serta kehendak sebenar pemilik. 

 

Tambahan pula, had umur 30 tahun yang ditetapkan sebagai justifikasi pembaharuan bandar adalah tidak masuk akal, kerana kebanyakan bangunan di Malaysia mempunyai jangka hayat struktur melebihi 70 hingga 100 tahun, mengikut taksiran Jabatan Kerja Raya dan amalan kejuruteraan semasa. 

 

Ini menunjukkan bahawa motif di sebalik URA bukanlah pembaharuan sebenar atau demi kepentingan awam, tetapi lebih bersifat pengambilalihan yang menguntungkan kelompok pemaju yang mendapat manfaat luar biasa daripada pemindahan nilai hartanah, manakala pemilik asal hanya menerima pampasan minimum tanpa akses kepada nilai tambah atau pembangunan semula yang dijanjikan.

 

RUU ini juga tidak mengandungi elemen perlindungan penting kepada rakyat seperti ambang persetujuan 100%, pampasan melebihi nilai pasaran semasa, perkongsian keuntungan antara pemilik dan pemaju, jaminan perlindungan kepada mereka yang tidak bersetuju pada fasa awal, serta penguatkuasaan ke atas kelayakan pemaju untuk mengelakkan projek tergendala atau terbengkalai. 

 

Malah, ketiadaan peruntukan untuk mewujudkan tabung penyelenggaraan bangunan atau kemudahan awam membuktikan bahawa RUU ini dibentangkan dengan tergesa-gesa, tanpa kajian impak sosial yang menyeluruh dan tanpa perundingan awam yang bermakna. 

 

Penolakan terhadap Rang Undang-Undang URA bukan sahaja datang daripada pemilik rumah yang terkesan, malah turut disuarakan oleh gabungan luas pertubuhan masyarakat sivil termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Gabungan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Mampan (KLRA+SD), FOMCA, dan Lawyers for Liberty. Penolakan ini turut disokong oleh pelbagai parti politik, kerajaan-kerajaan negeri dalam blok SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), serta Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional merentasi garis parti. Kesemua pihak ini secara konsisten telah memberi amaran keras tentang risiko pengusiran paksa, penguasaan golongan elit, serta eksploitasi sosioekonomi yang terkandung dalam pelaksanaan RUU tersebut.

 

Apa yang lebih membimbangkan ialah penggubalan dasar ini berlaku dalam suasana ekonomi yang sedang mencabar, di mana rakyat sedang berusaha mempertahankan kediaman dan harta terakhir mereka, dan bukannya bersedia untuk dipindahkan demi pembangunan yang meminggirkan mereka.

 

Sehubungan itu, kami menolak sepenuhnya RUU URA ini dan mendesak agar kerajaan menghentikan serta-merta proses pembentangannya di Parlimen. 

 

Sebarang usaha ke arah pembaharuan bandar wajib dilakukan secara inklusif, dengan mematuhi prinsip hak milik, keadilan sosial, kelestarian pembangunan dan penglibatan menyeluruh rakyat terbabit. 

 

Jika benar kerajaan ingin memperbaharui bandar untuk kepentingan rakyat, maka seluruh proses ini mesti dibentuk semula dari awal dengan penyertaan aktif rakyat, bukannya dipaksakan demi keuntungan pemaju. 

 

RUU URA dalam bentuk sedia ada merupakan satu bentuk penjajahan moden terhadap pemilik hartanah di negara ini, dan ia mesti ditolak sekeras-kerasnya dengan sebulat suara oleh semua lapisan masyarakat.



PENGHARAMAN VAPE SATU KESILAPAN BESAR


PENGHARAMAN VAPE SATU KESILAPAN BESAR. 

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin


Cadangan kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan produk vape di Malaysia adalah satu kesilapan besar yang bakal memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam, kestabilan ekonomi negara, serta merencatkan aspirasi keusahawanan Bumiputera. 


Walaupun niat dasar ini dikatakan bertujuan melindungi rakyat, analisis menyeluruh dan berdasarkan data membuktikan bahawa pendekatan pengharaman mutlak hanya akan menambah buruk masalah sedia ada.

 

Produk tembakau telah lama dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 8 juta nyawa terkorban setiap tahun akibat penggunaan tembakau. Di Malaysia, penyakit berkaitan merokok membebankan sistem kesihatan negara melebihi RM700 juta setahun. 


Namun, walaupun fakta ini diketahui umum, rokok masih dijual secara sah dan berleluasa. Dalam masa yang sama, vape yang telah diiktiraf oleh badan kesihatan antarabangsa seperti Public Health England dan NHS UK sebagai alternatif yang jauh lebih selamat sedang menjadi sasaran pengharaman.

 

Data tempatan menunjukkan bahawa 5.8% populasi dewasa di Malaysia menggunakan vape, dan 75% daripadanya adalah bekas perokok atau pengguna berganda. Sekiranya vape diharamkan, sebahagian besar daripada mereka akan kembali kepada rokok konvensional yang jauh lebih berbahaya. 


Ini bukan sahaja menggagalkan matlamat kesihatan awam, tetapi membuka ruang kepada pasaran gelap yang lebih besar, sepertimana yang telah berlaku dalam isu rokok seludup yang kini mewakili lebih 55% pasaran rokok di Malaysia. Akibatnya, negara kerugian lebih RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang tidak dikutip.

 

Dari sudut ekonomi, pengharaman vape akan membawa kos yang lebih tinggi kepada kerajaan. Menurut model kos-manfaat, pelaksanaan larangan penuh terhadap vape dijangka menelan kos bersih sebanyak RM1.5 bilion setahun, berbanding hanya RM229 juta sekiranya kerajaan memilih untuk melaksanakan kawal selia ketat dengan struktur cukai yang munasabah. 


Dalam pendekatan kawal selia, kerajaan turut berpotensi memperoleh hasil cukai mencecah RM376 juta setahun yang boleh disalurkan semula kepada program kesihatan awam dan penguatkuasaan.

 

Lebih penting, industri vape di Malaysia bukanlah industri kecil. Dengan nilai pasaran keseluruhan atau Total Industry Value (TIV) dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun, ia merupakan sektor yang semakin berkembang pesat dan menyediakan ribuan peluang pekerjaan serta perniagaan. 


Sebarang tindakan pengharaman mutlak bukan sahaja menghapuskan potensi hasil cukai, tetapi turut memusnahkan ekosistem ekonomi yang sah dan produktif.

 

Di sebalik perdebatan kesihatan, terdapat satu realiti yang sering dipinggirkan iaitu kesan larangan ini terhadap ribuan usahawan Bumiputera. Industri vape telah menjadi ruang perniagaan mudah akses kepada golongan muda Bumiputera kerana tidak memerlukan modal permulaan yang besar dan boleh dijalankan secara fizikal mahupun dalam talian. 


Ia membuka ruang keusahawanan kepada mereka yang sebelum ini sukar mendapat peluang dalam sektor formal. Jika vape diharamkan sepenuhnya, ribuan usahawan ini bakal kehilangan sumber pendapatan, modal, stok, serta nilai goodwill perniagaan yang telah dibina dengan susah payah.

 

Apa yang lebih membimbangkan, ramai antara mereka mungkin terdorong untuk beralih ke pasaran gelap demi kelangsungan hidup. Ini mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang serta menggugurkan kelayakan mereka daripada mengakses bantuan perniagaan kerajaan seperti MARA, TEKUN dan SME Corp. 


Kesan jangka panjangnya adalah penghakisan pemilikan ekonomi Bumiputera dan penyusutan mobiliti sosial dalam kalangan generasi muda.

 

Daripada mengenakan pengharaman mengejut, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pelaksanaan kawal selia secara berperingkat dan inklusif. Ini boleh dimulakan dengan pendaftaran dan pelesenan wajib, penetapan piawaian kandungan dan keselamatan produk, penguatkuasaan had nikotin maksimum, serta pelabelan yang lebih ketat. 


Pada masa yang sama, program pemutihan peniaga tanpa lesen perlu diwujudkan agar usahawan mikro dan kecil dapat kembali beroperasi secara sah. Hasil cukai pula boleh digunakan bagi membiayai insentif pematuhan, latihan perniagaan, serta kempen kesedaran pengguna.

 

Kerajaan juga disaran menubuhkan satu Majlis Dasar Vape Kebangsaan yang dianggotai oleh Kementerian Kesihatan, MITI, MARA, agensi keusahawanan, pakar kesihatan awam dan wakil industri. Pendekatan rentas kementerian ini akan memastikan setiap keputusan dasar yang digubal bersifat menyeluruh, seimbang dan tidak menindas mana-mana pihak dalam ekosistem ekonomi negara. 

 

Ringkasnya, pengharaman bukanlah penyelesaian. Ia adalah jalan pintas yang menimbulkan lebih banyak masalah daripada manfaat. Malaysia memerlukan dasar kawal selia yang bijak dan realistik, yang mampu melindungi kesihatan awam, menjana pendapatan negara, serta mengekalkan penyertaan aktif usahawan Bumiputera dalam industri moden. 


Vape bukan musuh, dasar yang silap langkah adalah punca sebenar kegagalan.


 

Malam Cinta Legasi: Sebuah Malam Menghargai Perjalanan Tun Dr. Mahathir & Tun Dr. Hasmah


Semalam 24 Ogos, saya berkesempatan menghadiri Malam Cinta Legasi bagi meraikan ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Hasmah, yang berlangsung penuh meriah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Hadirin mula memenuhi ruang dewan sejak jam 6.30 petang, namun saya bersama sahabat Haji Abdul Razak Aziz tiba selepas solat Maghrib. Seorang lagi sahabat, Dato’ Sri Ruslin Hassan, sepatutnya turut serta, tetapi tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke IJN akibat sakit dada. Syafakallah buat Dato’ Sri Ruslin, semoga diberikan kesembuhan yang segera.


Pada malam itu, saya mengenakan Baju Melayu hitam lengkap dengan tanjak. Tanjak ini dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Malam Cinta Legasi Tun Fiqa Mohammad, tetapi akhirnya saya seorang sahaja tetamu yang memakainya. Ini merupakan kali ketiga saya mengenakan tanjak; kali pertama dan kedua dahulu sewaktu saya bersanding. Tanjak hitam bersalut emas ini ditaja oleh sahabat saya Nasrul Amri Samsudin, dari Warisan Cenderawasih Global (No. Pendaftaran: 202303325296 – NS0291642-V).


Perasaan sebak hadir apabila menyaksikan montaj perjalanan hidup Tun Dr. Mahathir yang kini menjangkau usia 100 tahun. Montaj itu disediakan oleh Muniraa Abu Bakar. Begitu banyak detik suka duka perjuangan yang telah beliau lalui demi bangsa dan negara.


Acara dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional dan alunan lagu-lagu klasik, termasuk sebuah lagu ciptaan Tun Fiqa Mohammad berjudul Cinta Ini, Tinggal Di Sini yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada para hadirin.


Saya bertuah dapat duduk semeja dengan beberapa tokoh negara, antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Wira Marzuki Yahya, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Ibrahim Shah, YB Waytha Moorthy, dan Rafique Rashid. Suasana di meja penuh dengan perbualan bermakna, mengenang sejarah serta membicarakan masa depan bangsa dan negara.


Jamuan makan malam pula amat menyelerakan, dengan pilihan nasi putih atau nasi minyak yang dihidangkan bersama rendang daging, kurma kambing, udang serta pelbagai sayur-sayuran.


Ucapan Tun pada malam itu benar-benar menyentuh hati. Beliau mengimbas kembali zaman mudanya, ketika bangsa Melayu sering dipandang rendah dan dihina oleh pihak British serta bangsa lain. Tun mengakui bahawa beliau tidak dapat menerima penghinaan itu, lalu menjadikan rasa maruah yang tercabar sebagai pemangkin utama perjuangannya. Semangat inilah yang mendorong beliau untuk mengubah nasib bangsa Melayu dan memperkasakan perjuangan agar bangsa ini berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia. 


Pengajaran terbesar daripada Tun adalah bahawa perjuangan bukan sekadar soal kuasa atau kedudukan, tetapi soal maruah bangsa dan harga diri. Walaupun beliau sudah berusia satu abad, semangat perjuangan untuk bangsanya masih terus berkobar. Video penuh ucapan Tun akan saya siarkan kemudian InnSya Allah.


Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Negarawati di bawah pimpinan Hajjah Bibi Sunita Sukandar Khan, dengan Tun Dr. Mahathir sebagai penaung. Walaupun baru berusia dua tahun, Negarawati telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati rakyat. Melihat montaj pencapaian Negarawati pada malam itu, saya merasa amat bangga. Bangga kerana pernah terlibat secara tidak langsung sejak penubuhannya, daripada sebuah idea kecil sehingga kini berkembang ke peringkat kebangsaan dan diterima oleh semua lapisan wanita.


Syabas dan tahniah kepada Hajjah Bibi, Tun Fiqa Mohammad serta seluruh barisan jawatankuasa Negarawati. Semoga pertubuhan ini terus maju, membawa aspirasi serta mengangkat jati diri bangsa Melayu ke persada yang lebih tinggi.



















Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan

Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan


Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos 2025 untuk membatalkan istilah “menjengkelkan” dan “menghina” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tamparan besar kepada kerajaan dan kemenangan besar buat rakyat.


Selama ini, istilah kabur ini dijadikan senjata politik untuk menutup mulut rakyat. Apa sahaja kritikan yang tidak menyenangkan kerajaan, mudah sekali dituduh sebagai “menghina”. Inilah cara kerajaan menakut-nakutkan rakyat, bukannya melindungi mereka.


Hakikatnya, dari tahun 2009 hingga pertengahan 2024 rekod rasmi mencatat sebanyak 3,077 siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 233 dengan 151 pendakwaan, melibatkan denda melebihi RM1.26 juta. Ini termasuk RM430,000 khusus kerana “ucapan menghina” semata-mata. Dalam tempoh singkat antara 2020 hingga Januari 2023, 444 siasatan menghasilkan 31 sabitan dengan jumlah denda RM284,000. 


Angka ini jelas menunjukkan undang-undang ini bukan diguna untuk melindungi rakyat daripada bahaya sebenar, tetapi lebih kepada menghukum pandangan yang “tidak menyenangkan” pihak berkuasa. Undang-undang ini disalahguna untuk menghukum suara rakyat.


Kementerian Komunikasi dan MCMC mesti dipertanggungjawabkan. Mereka berterusan mempertahankan undang-udang zalim dan tidak berperlembagaan ini, walaupun pelbagai pihak termasuk badan guaman, masyarakat sivil dan ahli akademik sudah lama menegur. Malangnya, teguran itu tidak diendahkan, malah siasatan serta tawaran kompaun diteruskan sehingga rakyat dibelenggu dengan ketakutan untuk bersuara. Mereka memilih untuk menjadi alat politik, bukannya penjaga kebebasan rakyat.


Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan kebebasan bersuara bukan boleh ditentukan oleh “perasaan terganggu” atau “tersinggung” individu tertentu. Undang-undang harus lindungi rakyat daripada ancaman sebenar seperti ugutan, hasutan keganasan dan eksploitasi, bukannya menganggap kritikan sebagai jenayah.


Kami menyokong penuh keputusan ini dan menuntut supaya Menteri serta MCMC mengambil langkah segera. Pertama, hentikan segera semua kes berjalan yang masih bergantung kepada istilah yang kini tidak sah. Kedua, keluarkan garis panduan penguatkuasaan yang lebih jelas dan berpaksikan kepada bahaya nyata, bukan tafsiran longgar. Ketiga, semak semula kompaun dan pendakwaan lalu yang bertitik tolak daripada istilah ini, dan pertimbangkan pampasan sewajarnya demi memulihkan keyakinan rakyat.


Parlimen pula jangan lagi jadi pak turut. Undang-undang komunikasi negara mesti digubal semula dengan bahasa yang jelas, telus dan selaras dengan Perlembagaan.


Demokrasi bermakna rakyat boleh bersuara tanpa takut dihukum kerana kritikan. Mahkamah telah menegakkan prinsip. Kini giliran kerajaan membuktikan sama ada mereka benar-benar menghormati suara rakyat, atau terus menindas demi mengekalkan kuasa. 

Penangguhan, Kuasa dan Kebenaran yang Dihalang

Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja Perdana Menteri, beliau juga seorang defendan yang sedang berdepan pelbagai kes di mahkamah. Seorang pemimpin yang mendabik dada sebagai pejuang reformasi sepatutnya tampil berani dan telus, bukannya mengelak serta melengah-lengahkan perbicaraan.

Kes saman fitnah yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir sejak Mei 2023 menjadi bukti paling jelas. Perbicaraan berulang kali ditangguhkan, dan kini ditunda lagi ke Oktober 2025. Pihak pembelaan berkali-kali memohon penangguhan, sedangkan plaintif yang sudah berusia lanjut mendesak perbicaraan disegerakan. Anwar Ibrahim seolah-olah amat takut berhadapan dengan kebenaran padahal dia yang rancak memfitnah Dr Mahathir..

Corak yang sama juga berlaku dalam kes Muhammed Yusoff Rawther. Pada Julai 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah TinggiMalah Anwar tanpa segan silu sanggup memohon kekebalan daripada prosiding mahkamah untuk melindungi diri daripada keadilan.

Dari sudut undang-undang, mungkin ia kelihatan biasa. Tetapi dari sudut politik, pola ini berulang! Setiap kali Anwar berdepan saman atau dakwaan, pasti ada permohonan tangguh, rayuan awal, atau alasan teknikal.

Rakyat melihat semua ini sebagai strategi yang sudah dirancang. Strategi melengah-lengahkan keadilan, melemahkan momentum kes dan tekanan awam, serta mengelak pertembungan hujah di hadapan hakim. Kalau benar beliau di pihak yang betul, mengapa tidak disegerakan perbicaraan untuk membuktikannya? Mengapa berulang kali dan setiap kali menangguh?

Memang setiap defendan berhak menggunakan ruang undang-undang. Namun apabila penangguhan menjadi kebiasaan, ia tidak lagi dilihat sebagai usaha membela diri tetapi yang jelas, adalah satu taktik mengelak. Lebih parah, ia menyerlahkan wajah sebenar Anwar Ibrahim. Anwar yang lantang menuduh dan memfitnah musuh politik di pentas, tetapi bacul apabila dicabar di mahkamah.

Seorang pemimpin negara tidak boleh bersembunyi di sebalik helah teknikal dan proses yang dilengah-lengahkan. Kekuatan moral dan politik diukur dengan keberanian untuk berdepan kebenaran, bukannya dengan pembohongan dan penipuan.

Rakyat sudah muak. Apa yang merosakkan bukan saman itu sendiri, tetapi cara ia ditangani. Demokrasi hanya bermakna apabila keadilan ditegakkan, bukan ditangguh. Anwar akan dikenang sebagai seorang ahli politik yang sentiasa berbohong, berselindung, dan menggunakan kuasa demi mengekalkan jawatan.
© all rights reserved
made with by templateszoo