Responsive Ad Slot

Meneruskan Legasi Arwah Pahamin Rajab di SMK Kamil Pasir Puteh, Kelantan


Hari ini 5 Ogos 2025, saya berpeluang menyempurnakan amanah ayahanda saya - Pok, arwah Pahamin A Rajab untuk meneruskan sumbangan biasiswa yang dimulakan oleh arwah Pok di SMK Kamil,Pasir Puteh Kelantan. 


Semenjak lebih 20 tahun lepas Pok sentiasa menyumbang biasiswa kepada 30 orang Pelajar di SMK Kamil setiap tahun. Selain itu, beliau juga menyampaikan sumbangan khas kepada Tokoh Kamilian iaitu pelajar terbaik sekolah. Amanah ini saya sambung sejak pemergian arwah, dan tahun ini genap tahun kedua saya meneruskannya. Alhamdulillah, saya bersyukur diberi ruang dan peluang untuk terus berbakti di sekolah yang pernah mendidik ayahanda dan ibu saya suatu ketika dahulu.


Saya tiba di sekolah dan disambut mesra oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Choohaimi bin Ab Wahab. Sayangnya, saya tak sempat berjumpa Tuan Pengetua Encik Mohd  Shaharom bin Ab Rahman kerana beliau menghadiri kursus di Terengganu. InnSya Allah, kalau ada rezeki dan umur panjang, kita akan bersua nanti.


Turut hadir pagi ini, Cikgu Nik Nurul Hayati yang menjadi penghubung saya dengan pihak sekolah, serta guru-guru kanan SMK Kamil. Majlis penyerahan biasiswa diadakan di Bilik Mesyuarat Dato’ Wan Mohd Najib, di bangunan asal sekolah yang dibina sekitar tahun 1950an. bangunan yang sama ayahanda belajar suatu ketika dulu. Kini SMK Kamil dah berkembang dengan beberapa blok baru, tapi sejarahnya tetap utuh.


Majlis dimulakan oleh pengacara majlis yang saya sangka seorang guru. Bahasa dan penyampaiannya sangat matang dan berkeyakinan. Rupa-rupanya seorang murid! Lebih menarik, ucapannya diselit dengan pantun-pantun yang sangat indah. Saya sempat berbisik dan bertanya kepada Tuan Haji sama ada skrip disediakan oleh guru atau murid sendiri. Beliau menjawab murid sendiri yang hasilkan, dengan bimbingan cikgu. Hebat sungguh bakat mereka! Patutnlah SMK Kamil menjadi johan pertandingan Coral. Bakat mereka memang terserlah. Cantik sungguh susunan, tutur bahasa dan penyampian. Tahniah adik-adik pengerusi majlis! Saya berasa bangga.


Tuan Haji Choohaimi juga menyampaikan ucapan aluan yang penuh kenangan, menyentuh jasa dan sumbangan arwah ayahanda kepada sekolah. Saya sangat terharu. Terima kasih atas penghargaan itu.


Dalam ucapan saya, saya sempat menyampaikan dua perkara penting kepada pelajar-pelajar yang hadir.


Pertama, saya luahkan rasa kesal atas satu insiden yang berlaku yang sedang viral. Kisah seorang pelajar menumbuk cikgu. Perkara begini tak sepatutnya berlaku. Saya pesan kepada semua supaya sentiasa hormat dan jaga adab dengan guru. Guru adalah insan yang membentuk kita. Tanpa mereka, takkan ada siapa pun antara kita yang berjaya. Jangan sesekali angkat suara pada guru, dengar nasihat dan hargai segala tunjuk ajar mereka.


Kedua, saya ajak anak-anak semua untuk berani bercita-cita tinggi. Saya sentuh satu laporan media yang agak membimbangkan. Laporan itu menyebut ramai lepasan sekolah lebih berminat jadi Youtuber atau TikToker, berbanding menyambung pelajaran ke kolej atau universiti. 


Anak-anak khususnya yang berbangsa melayu perlu mempunyai cita-cita tinggi. Sekolah-sekolah dan juga ibu bapa lebih mendorong anak-anak untuk belajar tinggi-tinggi dan mendapat keputusan yang cemerlang supaya mereka dapat makan gaji dengan selesa samada dengan kerajaan ataupun swasta. Anak-anak melayu khususnya, kurang dibimbing untuk menjadi usahawan atau menceburi dunia perniagaan dan bisnes. Akibatnya kek dan kuasa ekonomi didominasi oleh kaum-kaum bukan melayu. Kita perlu perbetulkan keadaan dan ini bermula dengan bimbingan dari bangku sekolah.


Doa saya semoga anak-anak yang menerima bantuan hari ini, akan pada suatu hari nanti menghulurkan bantuan pula kepada masyarakat dan bangsa InnSya Allah.

Alfatihah untuk arwah Pahamin A Rajab. 










GEM tuntut lima pembaharuan dalam RMK13

PETALING JAYA: Kerajaan dituntut untuk melaksanakan lima pembaharuan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyelesaikan isu sebenar permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.


Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pembaharuan itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Pengawasan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk semak dan imbang.

Katanya, kerajaan dituntut membentangkan Rang Undang-Undang Reformasi Perolehan dan Anti-Rasuah Nasional dan mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Kerajaan juga dituntut untuk menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh serta merombak semula hubungan Persekutuan -Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir dan pembangunan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armin Baniaz berkata, tuntutan itu dikeluarkan GEM selepas melihatkan bahawa RMK13 yang diumumkan minggu lalu bersifat terlalu banyak retorik dan kurang teliti kerana tidak menyentuh isu-isu penting iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosio-ekonomi yang semakin melebar.

Katanya, hal ini disebabkan lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan PPP bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan dalam erti kata lain bukan pelaburan negara.

“Tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang Parlimen.

“Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa Parlimen diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

“Pada masa sama, kerajaan melaungkan inisiatif AI (Kecerdasan Buatan) Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam, namun tiada penjelasan konkrit mengneai kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera,” katanya.

Tambahnya lagi, RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan kerana ketiadaan klausa kandungan tempatan (local content), mekanisme untuk menyokong Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Pada masa sama, katanya, walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi Sumbangan Tunai Rahmah (STR)dan pendidikan percuma namun ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat.

“Ia gagal menangani permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

“Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu,” katanya.

Terakhir, Armin Baniaz berkata, paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sistem pelantikan kehakiman dan tiada perincian perkongsian kuasa serta hasil dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak.-UTUSAN

RMK13 rancangan pembangunan yang gagal sentuh jantung krisis

Kerajaan melancarkan RMK13 dengan semangat tinggi bawah tema Melakar Semula Pembangunan, namun ia hanyalah satu lagi rancangan lima tahun yang terlalu banyak retorik, terlalu kurang realiti.

Di sebalik angka besar RM611 bilion, janji 1 juta rumah mampu milik, revolusi AI dan ekonomi Madani, hakikatnya RMK13 mengelak dan tidak menyentuh jantung permasalahan negara iaitu kelemahan institusi, ketirisan fiskal, pelaksanaan dasar yang lemah, dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Berikut lima kritikan utama kami terhadap RMK13:

(1) Dana besar, tapi tanggungjawab kecil. Siapa kawal GLIC dan PPP?

Lebih suku daripada keseluruhan pelaburan RMK13 disalurkan melalui GLIC dan kerjasama awam-swasta (PPP), bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan. Ini bukan pelaburan negara dalam erti kata sebenar, tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang parlimen.

Tiada jawapan jelas diberikan mengenai siapa yang mengawal ketelusan projek ini, di manakah sempadan antara keuntungan komersial dan kepentingan awam, dan mengapa tiada satu pun jawatankuasa parlimen yang diwujudkan untuk mengawasi pelaksanaan dan impak fiskal daripada kaedah ini.

(2) Revolusi digital tanpa tulang belakang: AI hebat tapi sistem data bocor

Kerajaan melaungkan inisiatif AI Nasional, MyDigital ID dan automasi perkhidmatan awam. Namun, tiada penjelasan konkrit tentang kerangka keselamatan data, infrastruktur digital di luar bandar, atau bagaimana kepercayaan rakyat akan dibina semula khususnya selepas insiden kebocoran data MySejahtera.

Transformasi digital tanpa asas keselamatan, literasi teknologi dan kesediaan infrastruktur hanya akan mencipta jurang digital yang lebih luas dan menjadikan golongan B40 dan luar bandar sebagai "kelas bawahan digital" yang terus tertinggal.

(3) Sasaran eksport RM1 trilion tapi tiada dasar nilai tambah tempatan

RMK13 menyasarkan RM1 trilion eksport dalam sektor semikonduktor, namun tidak menyatakan bagaimana nilai ekonomi tersebut akan diserap oleh industri tempatan. Tiada klausa local content, tiada mekanisme untuk menyokong IKS, dan tiada insentif untuk integrasi dalam rantaian bekalan global.

Akhirnya, kita berisiko kekal sebagai negara pasang dan bungkus, tanpa pemilikan teknologi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, atau peningkatan daya saing tempatan.

(4) Kebajikan disulam tapi tanpa pembaharuan struktural

Walaupun RMK13 memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti pembinaan rumah mampu milik, subsidi STR dan pendidikan percuma, ia gagal menangani punca utama ketidakmampuan rakyat seperti permasalahan kartel hartanah, tender perumahan tidak telus, sistem kesihatan awam yang diswastakan secara senyap melalui program Rakan KKM, dan program bantuan yang berlapis serta tidak terselaras.

Tiada penurunan harga rumah tanpa reformasi dasar tanah dan sistem perumahan. Rakan KKM hanya akan menginstitusikan ketidaksamarataan kesihatan. STR, SARA dan bantuan-bantuan lain pula terus berjalan secara silo tanpa satu sistem bantuan sosial yang bersepadu.

(5) Mengelak perbahasan teras: institusi lemah, federalisme sempit


Yang paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi. Tiada pengukuhan SPRM, tiada pembaharuan sistem pelantikan kehakiman, dan tiada perincian bagaimana kuasa dan hasil akan dikongsi semula dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak. Belanja besar infrastruktur tanpa reformasi sistem perolehan hanyalah memberi laluan kepada kronisme dan konsesi yang tidak dipertanggungjawabkan.

Gerakan Ekonomi Malaysia menuntut supaya kerajaan:

  1. Menubuhkan jawatankuasa parlimen pengawasan GLIC & PPP untuk semak dan imbang.

  2. Membentangkan RUU reformasi perolehan dan antirasuah nasional.

  3. Mewujudkan Suruhanjaya Amanah Digital dan Keselamatan Siber yang bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.

  4. Menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh.

  5. Merombak semula hubungan Persekutuan-Negeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir urus dan pembangunan tempatan.

RMK13 tak boleh jadi sekadar dokumen cantik ala manifesto 

Rakyat Malaysia telah berkali-kali menyaksikan rancangan yang cantik di atas kertas tetapi gagal dilaksanakan. Peruntukan besar diumumkan, namun kehidupan rakyat tetap sukar. Sudah tiba masanya kita bersuara dengan berani, menolak retorik, dan menuntut pembaharuan yang nyata dan menyeluruh.

Jika RMK13 tidak dikaji semula, ia akan menjadi satu lagi dokumen megah yang gagal dan mungkin RMK terakhir sebelum rakyat hilang keyakinan sepenuhnya terhadap sistem yang sedia ada.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

Artikel ini pertama di keluarkan di MalaysiaKinihttps://www.malaysiakini.com/news/751101

Catatan Perhimpunan Aman #TurunAnwar di Dataran Merdeka

Semalam, saya bersama ratusan ribu rakyat Malaysia telah berhimpun secara aman di Dataran Merdeka dalam solidariti menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri. Saya hadir di Checkpoint Pasar Seni, lengkap berbaju hitam dengan slogan #TurunAnwar. Saya turut bersama barisan mahasiswa, NGO dan aktivis masyarakat sivil (NGI) yang membanjiri lokasi dengan semangat yang luar biasa.
Saya berasa bangga melihat kehadiran anak-anak muda dalam jumlah yang begitu besar; bukan ratusan, tetapi ribuan pelajar dari pelbagai latar belakang dan bangsa. Melihat semangat mereka, saya sendiri terasa muda kembali, seolah-olah kembali ke zaman menuntut di universiti.
Walaupun ramai dalam kalangan mereka masih mentah, mereka cukup cakna, berani dan matang dalam menilai kemelut politik negara. Mereka datang bukan untuk bermain, tetapi membawa mesej yang jelas: rakyat muak dengan kepalsuan dan janji-janji manis yang dimungkiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Di sepanjang jalan, saya sempat berinteraksi dengan banyak pihak. Ada yang tidak berbaju hitam tetapi tetap memberikan sorakan dan sokongan kepada kami. Perbualan saya dengan para belia menunjukkan keresahan yang mendalam terhadap keadaan semasa negara: hidup semakin terhimpit, peluang pekerjaan semakin menipis, dan sektor perniagaan semakin suram.
Saya tiba awal di Pasar Seni dengan menaiki MRT dari Stesen Taman Tun Dr Ismail bersama sahabat saya, Haji Razak Aziz. Kami sempat mengalas perut dengan nasi briyani di Restoran Tajuddin, pilihan Haji Razak yang ternyata sangat tepat. Restoran itu dibanjiri mereka yang berbaju hitam, seperti juga Surau Central Market tempat kami menunaikan solat Zohor. Selepas itu, kami bergerak menuju lokasi himpunan.
Sebaik tiba, saya sempat mendengar ucapan sahabat saya, Pak Syed, Presiden Perkasa. Saya cuba ke hadapan untuk mencari ruang menyampaikan sepatah dua kata, namun semua slot telah disusun dan penuh. Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan bersama para mahasiswa, insya-Allah, peluang itu akan tiba kelak.
Kami mula berarak dari situ ke Dataran Merdeka sambil melaungkan slogan "Turun! Turun! Turun Anwar!" dengan penuh semangat. Cuaca mendung sangat mengizinkan, tidak panas terik seperti lazimnya seolah-olah rahmat Allah menyertai perhimpunan ini. Di tengah perjalanan, saya terserempak dengan Tun Fiqa serta rakan-rakan lain yang turut sama hadir menyatakan pendirian.
Setibanya di Dataran Merdeka, SubhanAllah!! saya menyaksikan lautan manusia berpakaian hitam memenuhi jalan-jalan utama. Dari Masjid Negara hingga ke pentas utama di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, dan dari arah SOGO ke Dataran Merdeka semuanya sesak dengan rakyat yang bersatu hati menuntut perubahan.
Saya duduk di tengah jalan bersama sekumpulan ahli dan penyokong PAS. Saya sempat berkenalan dengan ramai peserta. Semangat ukhuwah dan kebersamaan sangat terasa.
Saya amat kagum dengan kecekapan jentera PAS dan pihak penganjur. Selesai sahaja perhimpunan, kawasan ditinggalkan dalam keadaan sangat bersih! Satu disiplin yang wajar dicontohi. Tiada kekecohan, tiada kerosakan harta awam, tiada kereta diterbalikkan, tiada sebarang insiden keganasan. Ini adalah contoh terbaik perhimpunan aman yang mematuhi lunas undang-undang dan adab demokrasi.
Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat: penganjur, mahasiswa, NGO, NGI, dan seluruh rakyat Malaysia!! Momentum ini mesti diteruskan sehingga Perdana Menteri yang bacul, pembohong dan zalim ini turun daripada takhta kuasa.
Seorang Perdana Menteri yang tergamak menganiaya rakyat marhaen seperti Yusoff Rawther; yang merampas harta Tun Daim Zainuddin tanpa sebarang sabitan mahkamah; yang dengan lidahnya sendiri menghukum seorang negarawan tanpa proses perundangan; dan yang memohon kekebalan mahkamah (imuniti) untuk mengelak dari diadili tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

PERDANA MENTERI YANG SENTIASA BERBOHONG DAN MENABUR FITNAH PERLU SEGERA MELETAK JAWATAN

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengulangi dakwaan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh. Sebelum ini, beliau secara terbuka melabelkan Tun Mahathir sebagai “pengkhianat negara.” Kini, dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 22 Julai 2025, Perdana Menteri menyatakan bahawa Tun Mahathir "sememangnya bersalah" atas keputusan Kabinet 2018 berkaitan penarikan semula semakan kes Batu Puteh, tetapi tindakan undang-undang tidak diambil atas alasan usia Tun yang kini mencecah 100 tahun.


Persoalan pokok yang timbul ialah: di manakah mahkamah yang membuktikan Tun Mahathir bersalah? Di manakah bukti bahawa Tun telah melakukan pengkhianatan atau kesalahan jenayah seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri?


1. Tiada Penghakiman Mahkamah, Tiada Sabitan Kesalahan

Kenyataan Perdana Menteri secara berulang-ulang yang mengisytiharkan Tun Dr. Mahathir “bersalah” adalah tidak berasas dan berniat jahat. Tiada mana-mana mahkamah, sama ada di dalam atau luar negara, yang pernah mensabitkan Tun Mahathir atas apa-apa kesalahan berkaitan Batu Puteh. Malah, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga tidak menyebut bahawa Tun adalah “pengkhianat negara,” apatah lagi mencadangkan bahawa beliau perlu didakwa.


2. Keputusan Kabinet, Bukan Keputusan Individu

Laporan RCI dan minit rasmi Kabinet pada 23 Mei 2018 membuktikan bahawa keputusan menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah keputusan Jemaah Menteri secara kolektif. Ia bukan keputusan unilateral oleh Tun Mahathir. Oleh itu, sebarang tanggungjawab politik atau pentadbiran perlu dipikul bersama oleh seluruh anggota Kabinet yang terlibat ketika itu.


3. Kenyataan Bersifat Fitnah dan Tidak Bertanggungjawab

Sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menjadi contoh teladan dalam menjaga integriti dan kebenaran. Sebaliknya, beliau telah menggunakan platform rasmi Parlimen untuk melemparkan tuduhan serius tanpa asas perundangan. Kenyataan ini bukan sahaja bersifat fitnah dan memburukkan reputasi, malah boleh dianggap satu bentuk penyalahgunaan kuasa serta penghakiman politik terhadap seorang tokoh negarawan yang telah banyak berjasa.


4. Tindakan Tegas Wajar Diambil dan Permohonan Maaf Diperlukan

Kami mendesak YAB Perdana Menteri untuk segera menarik balik kenyataan-kenyataan berunsur fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebarang perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencemarkan nama baik seseorang tanpa asas undang-undang. Sekiranya Perdana Menteri terus mengulangi kenyataan seumpama ini, tindakan undang-undang sivil berkenaan fitnah (defamation) wajar dipertimbangkan oleh pihak yang terkesan.


5. Rakyat Semakin Hilang Kepercayaan dan Akan Bangkit Secara Aman

Kepalsuan yang disengajakan serta dendam politik yang berterusan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila digabungkan dengan amalan nepotisme dan kronisme yang semakin ketara, merupakan antara faktor utama yang menyebabkan rakyat semakin muak, cuak dan hilang sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani yang dipimpinnya.


Rakyat berhak bersuara. Maka, seruan untuk turun berhimpun secara aman pada 26 Julai 2025 sebagai tanda penolakan terhadap penyalahgunaan kuasa dan tuntutan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan adalah sah, wajar, dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.


Kita mesti mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, bukan undang-undang yang ditentukan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Tun Dr. Mahathir dan rakyat berhak mendapat keadilan dan perlindungan daripada sebarang bentuk fitnah atau penindasan politik. Perdana Menteri tidak boleh menggunakan Parlimen sebagai medan untuk menjatuhkan maruah lawan politiknya melalui naratif tanpa bukti.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa berbohong kepada rakyat dan menabur fitnah perlu dengan segera meletakkan jawatan.

Dr Armin Baniaz Pahamin
Setiausaha Agung - Sekretariat Tanahair
© all rights reserved
made with by templateszoo