Responsive Ad Slot

Malam Cinta Legasi: Sebuah Malam Menghargai Perjalanan Tun Dr. Mahathir & Tun Dr. Hasmah


Semalam 24 Ogos, saya berkesempatan menghadiri Malam Cinta Legasi bagi meraikan ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Hasmah, yang berlangsung penuh meriah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Hadirin mula memenuhi ruang dewan sejak jam 6.30 petang, namun saya bersama sahabat Haji Abdul Razak Aziz tiba selepas solat Maghrib. Seorang lagi sahabat, Dato’ Sri Ruslin Hassan, sepatutnya turut serta, tetapi tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke IJN akibat sakit dada. Syafakallah buat Dato’ Sri Ruslin, semoga diberikan kesembuhan yang segera.


Pada malam itu, saya mengenakan Baju Melayu hitam lengkap dengan tanjak. Tanjak ini dicadangkan oleh Pengerusi Majlis Malam Cinta Legasi Tun Fiqa Mohammad, tetapi akhirnya saya seorang sahaja tetamu yang memakainya. Ini merupakan kali ketiga saya mengenakan tanjak; kali pertama dan kedua dahulu sewaktu saya bersanding. Tanjak hitam bersalut emas ini ditaja oleh sahabat saya Nasrul Amri Samsudin, dari Warisan Cenderawasih Global (No. Pendaftaran: 202303325296 – NS0291642-V).


Perasaan sebak hadir apabila menyaksikan montaj perjalanan hidup Tun Dr. Mahathir yang kini menjangkau usia 100 tahun. Montaj itu disediakan oleh Muniraa Abu Bakar. Begitu banyak detik suka duka perjuangan yang telah beliau lalui demi bangsa dan negara.


Acara dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional dan alunan lagu-lagu klasik, termasuk sebuah lagu ciptaan Tun Fiqa Mohammad berjudul Cinta Ini, Tinggal Di Sini yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada para hadirin.


Saya bertuah dapat duduk semeja dengan beberapa tokoh negara, antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Wira Marzuki Yahya, Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Ibrahim Shah, YB Waytha Moorthy, dan Rafique Rashid. Suasana di meja penuh dengan perbualan bermakna, mengenang sejarah serta membicarakan masa depan bangsa dan negara.


Jamuan makan malam pula amat menyelerakan, dengan pilihan nasi putih atau nasi minyak yang dihidangkan bersama rendang daging, kurma kambing, udang serta pelbagai sayur-sayuran.


Ucapan Tun pada malam itu benar-benar menyentuh hati. Beliau mengimbas kembali zaman mudanya, ketika bangsa Melayu sering dipandang rendah dan dihina oleh pihak British serta bangsa lain. Tun mengakui bahawa beliau tidak dapat menerima penghinaan itu, lalu menjadikan rasa maruah yang tercabar sebagai pemangkin utama perjuangannya. Semangat inilah yang mendorong beliau untuk mengubah nasib bangsa Melayu dan memperkasakan perjuangan agar bangsa ini berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia. 


Pengajaran terbesar daripada Tun adalah bahawa perjuangan bukan sekadar soal kuasa atau kedudukan, tetapi soal maruah bangsa dan harga diri. Walaupun beliau sudah berusia satu abad, semangat perjuangan untuk bangsanya masih terus berkobar. Video penuh ucapan Tun akan saya siarkan kemudian InnSya Allah.


Majlis ini dianjurkan oleh Pertubuhan Negarawati di bawah pimpinan Hajjah Bibi Sunita Sukandar Khan, dengan Tun Dr. Mahathir sebagai penaung. Walaupun baru berusia dua tahun, Negarawati telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati rakyat. Melihat montaj pencapaian Negarawati pada malam itu, saya merasa amat bangga. Bangga kerana pernah terlibat secara tidak langsung sejak penubuhannya, daripada sebuah idea kecil sehingga kini berkembang ke peringkat kebangsaan dan diterima oleh semua lapisan wanita.


Syabas dan tahniah kepada Hajjah Bibi, Tun Fiqa Mohammad serta seluruh barisan jawatankuasa Negarawati. Semoga pertubuhan ini terus maju, membawa aspirasi serta mengangkat jati diri bangsa Melayu ke persada yang lebih tinggi.



















Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan

Kementerian Harus Bertanggungjawab keatas undang-undang yang tidak berpelembagaan


Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos 2025 untuk membatalkan istilah “menjengkelkan” dan “menghina” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tamparan besar kepada kerajaan dan kemenangan besar buat rakyat.


Selama ini, istilah kabur ini dijadikan senjata politik untuk menutup mulut rakyat. Apa sahaja kritikan yang tidak menyenangkan kerajaan, mudah sekali dituduh sebagai “menghina”. Inilah cara kerajaan menakut-nakutkan rakyat, bukannya melindungi mereka.


Hakikatnya, dari tahun 2009 hingga pertengahan 2024 rekod rasmi mencatat sebanyak 3,077 siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 233 dengan 151 pendakwaan, melibatkan denda melebihi RM1.26 juta. Ini termasuk RM430,000 khusus kerana “ucapan menghina” semata-mata. Dalam tempoh singkat antara 2020 hingga Januari 2023, 444 siasatan menghasilkan 31 sabitan dengan jumlah denda RM284,000. 


Angka ini jelas menunjukkan undang-undang ini bukan diguna untuk melindungi rakyat daripada bahaya sebenar, tetapi lebih kepada menghukum pandangan yang “tidak menyenangkan” pihak berkuasa. Undang-undang ini disalahguna untuk menghukum suara rakyat.


Kementerian Komunikasi dan MCMC mesti dipertanggungjawabkan. Mereka berterusan mempertahankan undang-udang zalim dan tidak berperlembagaan ini, walaupun pelbagai pihak termasuk badan guaman, masyarakat sivil dan ahli akademik sudah lama menegur. Malangnya, teguran itu tidak diendahkan, malah siasatan serta tawaran kompaun diteruskan sehingga rakyat dibelenggu dengan ketakutan untuk bersuara. Mereka memilih untuk menjadi alat politik, bukannya penjaga kebebasan rakyat.


Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan kebebasan bersuara bukan boleh ditentukan oleh “perasaan terganggu” atau “tersinggung” individu tertentu. Undang-undang harus lindungi rakyat daripada ancaman sebenar seperti ugutan, hasutan keganasan dan eksploitasi, bukannya menganggap kritikan sebagai jenayah.


Kami menyokong penuh keputusan ini dan menuntut supaya Menteri serta MCMC mengambil langkah segera. Pertama, hentikan segera semua kes berjalan yang masih bergantung kepada istilah yang kini tidak sah. Kedua, keluarkan garis panduan penguatkuasaan yang lebih jelas dan berpaksikan kepada bahaya nyata, bukan tafsiran longgar. Ketiga, semak semula kompaun dan pendakwaan lalu yang bertitik tolak daripada istilah ini, dan pertimbangkan pampasan sewajarnya demi memulihkan keyakinan rakyat.


Parlimen pula jangan lagi jadi pak turut. Undang-undang komunikasi negara mesti digubal semula dengan bahasa yang jelas, telus dan selaras dengan Perlembagaan.


Demokrasi bermakna rakyat boleh bersuara tanpa takut dihukum kerana kritikan. Mahkamah telah menegakkan prinsip. Kini giliran kerajaan membuktikan sama ada mereka benar-benar menghormati suara rakyat, atau terus menindas demi mengekalkan kuasa. 

Penangguhan, Kuasa dan Kebenaran yang Dihalang

Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja Perdana Menteri, beliau juga seorang defendan yang sedang berdepan pelbagai kes di mahkamah. Seorang pemimpin yang mendabik dada sebagai pejuang reformasi sepatutnya tampil berani dan telus, bukannya mengelak serta melengah-lengahkan perbicaraan.

Kes saman fitnah yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir sejak Mei 2023 menjadi bukti paling jelas. Perbicaraan berulang kali ditangguhkan, dan kini ditunda lagi ke Oktober 2025. Pihak pembelaan berkali-kali memohon penangguhan, sedangkan plaintif yang sudah berusia lanjut mendesak perbicaraan disegerakan. Anwar Ibrahim seolah-olah amat takut berhadapan dengan kebenaran padahal dia yang rancak memfitnah Dr Mahathir..

Corak yang sama juga berlaku dalam kes Muhammed Yusoff Rawther. Pada Julai 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah TinggiMalah Anwar tanpa segan silu sanggup memohon kekebalan daripada prosiding mahkamah untuk melindungi diri daripada keadilan.

Dari sudut undang-undang, mungkin ia kelihatan biasa. Tetapi dari sudut politik, pola ini berulang! Setiap kali Anwar berdepan saman atau dakwaan, pasti ada permohonan tangguh, rayuan awal, atau alasan teknikal.

Rakyat melihat semua ini sebagai strategi yang sudah dirancang. Strategi melengah-lengahkan keadilan, melemahkan momentum kes dan tekanan awam, serta mengelak pertembungan hujah di hadapan hakim. Kalau benar beliau di pihak yang betul, mengapa tidak disegerakan perbicaraan untuk membuktikannya? Mengapa berulang kali dan setiap kali menangguh?

Memang setiap defendan berhak menggunakan ruang undang-undang. Namun apabila penangguhan menjadi kebiasaan, ia tidak lagi dilihat sebagai usaha membela diri tetapi yang jelas, adalah satu taktik mengelak. Lebih parah, ia menyerlahkan wajah sebenar Anwar Ibrahim. Anwar yang lantang menuduh dan memfitnah musuh politik di pentas, tetapi bacul apabila dicabar di mahkamah.

Seorang pemimpin negara tidak boleh bersembunyi di sebalik helah teknikal dan proses yang dilengah-lengahkan. Kekuatan moral dan politik diukur dengan keberanian untuk berdepan kebenaran, bukannya dengan pembohongan dan penipuan.

Rakyat sudah muak. Apa yang merosakkan bukan saman itu sendiri, tetapi cara ia ditangani. Demokrasi hanya bermakna apabila keadilan ditegakkan, bukan ditangguh. Anwar akan dikenang sebagai seorang ahli politik yang sentiasa berbohong, berselindung, dan menggunakan kuasa demi mengekalkan jawatan.

ISU REBRANDING TABUNG HAJI: PENAFIAN RM20 JUTA TIDAK MENJAWAB PERSOALAN ASAS


Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) mengambil maklum kenyataan rasmi Tabung Haji (TH) yang menafikan dakwaan projek rebranding bernilai RM20 juta, sebaliknya menyatakan kos sebenar adalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun. GEM juga mencatat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa penjelasan akan diberikan di Parlimen.

Namun, GEM menegaskan bahawa penafian angka sahaja tidak mencukupi untuk menghapuskan keresahan rakyat. Isu ini jauh melangkaui soal jumlah wang. Ia menyentuh soal amanah, keberkatan, proses perolehan, serta siapa yang menerima manfaat daripada kontrak tersebut.


GEM menegaskan tiga perkara utama:


1. Keutamaan yang tersasar
Walaupun kos dinyatakan RM2 juta setahun, jumlah tersebut tetap besar jika dibandingkan dengan tekanan kos Haji semasa dan subsidi lebih RM261 juta yang ditanggung. Dana umat Islam sepatutnya ditumpukan untuk meringankan beban jemaah, bukannya kepada penjenamaan kosmetik yang tidak memberi kesan langsung kepada ibadah Haji.


2. Ketelusan dan perolehan kontrak
Tabung Haji masih gagal menjawab persoalan utama – apakah proses perolehan yang digunakan, syarikat mana yang mendapat kontrak, dan adakah kontrak itu diberi melalui tender terbuka serta selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 dan pekeliling perbendaharaan. Tanpa jawapan ini, rakyat akan terus mempersoalkan integriti pengurusan dana umat.

3. Keberkatan dan ekosistem ekonomi Muslim
Laporan bahawa kontrak ini melibatkan syarikat-syarikat bukan Islam menimbulkan tanda tanya besar. Sebagai institusi umat, Tabung Haji sepatutnya mengutamakan syarikat Islam dan bumiputera yang terbukti berkelayakan. Dana umat Islam mesti mengalir dalam ekosistem ekonomi Muslim bagi menjamin keberkatan dan keyakinan pendeposit.

GEM menuntut kerajaan dan Menteri Agama segera:

  1. Mendedahkan butiran penuh kontrak – termasuk nilai sebenar, syarikat penerima, proses penilaian tender, dan justifikasi pemilihan.
  2. Mengadakan audit bebas terhadap projek ini, dengan laporan didedahkan kepada umum.
  3. Menetapkan dasar jelas bahawa semua kontrak besar Tabung Haji mesti diberikan keutamaan kepada syarikat Islam dan bumiputera.
  4. Memastikan pertanggungjawaban politik – Menteri Agama mesti menjawab secara terus di Parlimen dan tidak boleh bersembunyi di sebalik penafian angka oleh Tabung Haji semata-mata.

Penjelasan Tabung Haji bahawa kos hanya RM2 juta setahun tidak menutup persoalan asas yang dibangkitkan rakyat. Isu sebenar ialah amanah dan keberkatan dana umat. GEM menegaskan bahawa Menteri Agama dan kerajaan Madani wajib dipertanggungjawabkan untuk memastikan pengurusan Tabung Haji benar-benar telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.


Semakan fakta ringkas


Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2025, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, mempersoalkan projek rebranding Tabung Haji yang “dinyatakan sekitar RM20 juta”. Ini meletakkan isu tersebut sebagai perkara rekod Parlimen, bukan sekadar dakwaan media sosial.


Tabung Haji (TH) mengurus kira-kira sembilan juta pendeposit dengan 107 cawangan serta lebih 10,000 titik sentuh di seluruh negara, justeru setiap ringgit perbelanjaan membawa implikasi kepercayaan awam dan amanah syariah. 


Bagi musim Haji 1446H/2025M, kuota rasmi Malaysia ialah 31,600 jemaah; menggunakan angka ini, setiap RM20 juta yang dibelanjakan untuk penjenamaan semula bersamaan kira-kira RM633 kos peluang bagi setiap jemaah tahun ini.


Pada 2025, TH mengekalkan kos Haji muassasah RM33,300 seorang dan memperuntukkan kira-kira RM261 juta bantuan kewangan kepada jemaah kali pertama—angka yang menuntut disiplin fiskal, bukan perbelanjaan kosmetik. 


Di sisi tadbir urus, objektif undang-undang TH di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] ialah mentadbir dana serta hal kebajikan jemaah; ahli Lembaga pula terikat dengan kewajipan mengisytihar konflik kepentingan. Ini menegaskan standard amanah dan ketelusan dalam semua perolehan, termasuk latihan penjenamaan. 


Projek perundingan/penjenamaan bagi agensi kerajaan lazimnya tergolong sebagai “perkhidmatan perunding” dan tidak boleh diurus secara sebut harga; ia memerlukan proses tender yang telus mengikut pekeliling perbendaharaan.


Tambahan konteks, TH masih berurusan dengan pemulihan aset yang dipegang Urusharta Jamaah Sdn Bhd serta penebusan sukuk—suatu agenda pemulihan yang menuntut keutamaan penggunaan dana. 


Rencana Politik: “Penjenamaan Semula Tabung Haji—Simptom Keutamaan Yang Tersasar”


Tabung Haji bukan syarikat gaya hidup yang menukar logo untuk sensasi pasaran; ia sebuah institusi amanah umat, dipayungi Akta 535, mengurus simpanan jutaan pendeposit dan kebajikan puluhan ribu jemaah setiap tahun. Dalam keadaan kos Haji yang meningkat serta subsidi yang kian menekan aliran tunai, keputusan berbelanja besar untuk penjenamaan semula menunjukkan kegagalan keutamaan dasar pada peringkat kerajaan yang menyelia GLIC agama ini.


 Fakta bahawa isu ini dipersoalkan dalam Dewan Rakyat mengangkatnya daripada retorik politik kepada persoalan akauntabiliti negara. 


Pertama, dari sudut ekonomi kebajikan, setiap ringgit yang dialihkan kepada kerja-kerja kosmetik ialah ringgit yang tidak mengurangkan beban jemaah. Dengan kuota 31,600 orang, kos peluang perbelanjaan sedemikian bersamaan kira-kira RM633 setiap jemaah musim ini. Jumlah ini sepatutnya boleh digunakan, misalnya, untuk menaik taraf perkhidmatan makanan, pengangkutan, atau perlindungan insurans tambahan bagi warga emas. Perbelanjaan imej korporat tidak mempunyai keanjalan kesejahteraan yang sama seperti bantuan langsung kepada jemaah. 


Kedua, dari sudut tadbir urus dan integriti, undang-undang meletakkan mandat jelas: Lembaga bertanggungjawab mentadbir dana dan kebajikan jemaah dengan amanah, manakala mana-mana keputusan perolehan perkhidmatan perunding wajib melalui disiplin tender yang telus, bukan pintu sebut harga atau rundingan terus. 


Dalam institusi yang menzahirkan syiar agama, standardnya perlu lebih tinggi daripada garis dasar undang-undang, bukan sekadar memadai. Kerajaan, melalui kementerian berkaitan, tidak boleh bersembunyi di sebalik autonomi korporat untuk membiarkan keputusan sedemikian berjalan tanpa penelitian awam. 


Ketiga, dari sudut strategi dan masa, TH sendiri sedang mengekalkan kos Haji RM33,300 dengan sokongan fiskal yang besar, di samping proses pemulihan aset pasca-UJSB yang masih berjalan. Pada hemat dasar awam, ini ialah fasa pemulihan dan pengukuhan, bukannya masa untuk projek penjenamaan berskala besar. 


Keutamaan kerajaan seharusnya mengunci setiap lebihan kepada dua matlamat: mengurangkan tekanan kos ke atas jemaah dan memperkukuh agihan keuntungan kepada pendeposit, apatah lagi selepas TH mengumumkan agihan tertinggi dalam tujuh tahun bagi tahun kewangan 2024. Pencapaian ini yang wajar dikembangkan melalui disiplin kos, bukan dihijab oleh kerja visual identiti. 


Keempat, dari sudut nilai jenama, asas reputasi TH bukan pada rupa huruf atau lengkok logo semata-mata, tetapi pada keberhasilan operasi Haji, keselamatan, dan pengalaman jemaah. TH sudah pun mempunyai pengiktirafan kecekapan digital melalui platform THiJARI dan inisiatif lain. Ini merupakan penambahbaikan yang memberi nilai nyata kepada pengguna. 


Menukar kotak kosmetik tidak pernah menjadi substitusi yang munasabah kepada kualiti perkhidmatan di lapangan.


Akhirnya, dari sudut akauntabiliti politik, kerajaan wajib menjelaskan rasional dasar di sebalik kelulusan projek sedemikian di sebuah institusi agama yang sensitif. Jika wujud, terma rujukan, kriteria penilaian, markah teknikal, harga akhir dan justifikasi manfaat mesti didedahkan kepada umum. Kegagalan berbuat demikian akan mengukuhkan persepsi bahawa projek berprofil tinggi ini hanyalah isyarat elit yang terpisah daripada realiti kebajikan jemaah dan pendeposit.


KES ZARA QAIRINA PEMANGKIN PENGGUBALAN AKTA KORONER MALAYSIA (BM & English)



Kematian tragis Zara Qairina bukan sekadar meragut nyawa seorang anak, tetapi menjadi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara. Peristiwa ini mengundang persoalan besar mengenai ketelusan dan integriti proses siasatan kematian di Malaysia. 
 
Pihak keluarga mendakwa wujud unsur kecuaian dan tanda-tanda mencurigakan, namun tiada bedah siasat atau inkues dijalankan pada peringkat awal. Apabila proses tersebut akhirnya dimulakan, ia tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, tanpa adanya mekanisme bebas yang mampu menjamin keputusan yang telus, berkecuali, dan diyakini umum.
 
Situasi ini mendedahkan kelemahan asas dalam sistem perundangan negara, iaitu ketiadaan sebuah Akta Koroner yang bebas seperti yang telah lama dilaksanakan di Singapura dan United Kingdom.
 
Di Malaysia, siasatan kematian dikawal di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Berdasarkan peruntukan ini, pihak polis memulakan siasatan, mengarahkan bedah siasat, dan membawa kes ke hadapan majistret untuk inkues jika perlu. 
 
Sistem ini memberikan kuasa utama kepada agensi penguatkuasaan yang pada masa sama mungkin menjadi subjek siasatan, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan yang jelas dan membuka ruang kepada kecuaian.
 
Ketiadaan institusi koroner yang bebas menimbulkan risiko campur tangan dan bias, terutama dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan atau melibatkan agensi penguatkuasaan. Sejarah telah membuktikan implikasi kelemahan ini.
 
Kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009, seorang saksi SPRM yang ditemui mati di bangunan agensi tersebut, membawa kepada inkues panjang, kesimpulan bercanggah, dan desakan berterusan daripada keluarga serta masyarakat sivil untuk mendapatkan jawapan muktamad. Pada tahun yang sama, kematian A. Kugan pula mendedahkan percanggahan ketara antara dua laporan bedah siasat berasingan. Pada 2011, kematian Ahmad Sarbani Mohamed mencetuskan pertikaian antara dapatan inkues dengan keputusan mahkamah sivil. 
 
Pada 2017, S. Balamurugan meninggal dunia dalam tahanan walaupun terdapat arahan majistret supaya beliau dibebaskan dan diberi rawatan perubatan. Baru-baru ini pada 2021, kematian A. Ganapathy membuktikan wujud kecuaian serius dalam pengendalian tahanan.
 
Dalam kes pelajar, insiden seperti kematian Mohamad Thaqif Amin pada 2017 dan S. Vinosiny pada 2022 menonjolkan isu kelewatan, percanggahan, dan komunikasi yang tidak telus dalam menentukan punca kematian. Kes-kes ini menggambarkan corak berulang iaitu ketidaktelusan siasatan, standardisasi forensik yang tidak konsisten, dan kekangan akses keluarga terhadap bukti, yang sama seperti apa yang sedang dipersoalkan dalam kes Zara.
 
Keluarga mangsa sering berdepan halangan besar untuk mendapatkan akses penuh kepada fail siasatan, bukti forensik, dan laporan bedah siasat. Ketidakseragaman prosedur antara negeri dan daerah, bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat dan majistret, memburukkan lagi keadaan. Keyakinan awam semakin terhakis apabila keputusan inkues dilihat berat sebelah atau tidak telus.
 
Kes Zara menjadi gambaran nyata masalah ini. Keluarganya memerlukan jawapan yang sahih, namun terpaksa bergantung kepada saluran yang sama yang berpotensi mempertahankan institusi sendiri atau terdedah kepada kecuaian pihak penguat kuasa. 

Sekiranya Malaysia menggubal Akta Koroner seperti Coroners Act 2010 di Singapura atau Coroners and Justice Act 2009 di United Kingdom, setiap kematian luar biasa, mencurigakan, atau tidak dapat dijelaskan akan disiasat mengikut prosedur nasional yang seragam oleh koroner bebas yang tidak terikat kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan. Keluarga akan mempunyai hak undang-undang untuk mengakses dapatan siasatan, menyoal saksi, dan mengambil bahagian secara bermakna dalam inkues. Integriti forensik juga akan diperkukuh dengan autopsi dijalankan di bawah arahan koroner oleh pakar forensik bebas, mengurangkan risiko bukti dimanipulasi atau disembunyikan.

Negara lain telah membuktikan keberkesanan sistem sebegini. Di Singapura, setiap kematian yang luar biasa, mendadak, atau mencurigakan wajib dilaporkan kepada koroner yang berkuasa mengarahkan autopsi, memanggil saksi, dan menentukan punca kematian di mahkamah terbuka. Di United Kingdom, koroner adalah pegawai kehakiman bebas yang menyiasat kematian demi kepentingan awam, khususnya dalam kes berprofil tinggi atau melibatkan agensi kerajaan. Di Australia dan Kanada, sistem koroner beroperasi di peringkat negeri atau wilayah dengan kuasa yang sepenuhnya bebas daripada polis, dan laporan mereka sering membawa kepada reformasi dasar serta undang-undang.

Kes Zara adalah peringatan tegas bahawa nyawa rakyat tidak boleh dibiarkan menjadi sekadar angka statistik. Malaysia memerlukan Akta Koroner dengan segera untuk memastikan setiap kematian mencurigakan disiasat oleh badan yang benar-benar bebas, profesional, dan telus. Penangguhan hanya akan mengheret lebih ramai keluarga ke dalam penderitaan mencari kebenaran yang mungkin terkubur bersama jasad insan tersayang.

Jika Singapura, United Kingdom, Australia, dan Kanada telah membuktikan nilai sistem ini, tiada alasan munasabah bagi Malaysia untuk terus bergantung pada model lama yang berasaskan budi bicara pihak yang berpotensi mempunyai konflik kepentingan. Kebenaran adalah hak, bukan keistimewaan, dan kes Zara mesti menjadi titik mula kepada reformasi yang sudah terlalu lama tertangguh.

Oleh: Dr Armin Baniaz Pahamin - Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair
 
********************************************************************************
English

THE ZARA CASE: A CATALYST FOR THE MALAYSIAN CORONERS ACT
By: Dr Armin Baniaz Pahamin - Secretary-General Sekretariat Tanahair

The tragic death of Zara Qairina was not merely the loss of a young life but a stark indictment of the nation’s justice system. Her case has raised pressing questions about the transparency and integrity of death investigation processes in Malaysia. The family alleged negligence and suspicious circumstances, yet no post-mortem or inquest was conducted at the outset. When these processes were eventually initiated, they remained entirely under police control, with no independent mechanism to ensure findings that were transparent, impartial, and credible.

This exposes a fundamental flaw in our legal system, which is the absence of an independent Coroners Act, as has long been implemented in Singapore and the United Kingdom.

In Malaysia, death investigations fall under the Criminal Procedure Code (CPC). Under its provisions, the police initiate investigations, order post-mortems, and, where necessary, bring cases before a magistrate for an inquest. This framework places primary authority in the hands of the very enforcement agencies that may themselves be the subject of investigation, creating a clear conflict of interest and leaving the process vulnerable to negligence.

The lack of an independent coroner’s institution creates opportunities for interference and bias, particularly in cases involving deaths in custody or deaths linked to enforcement agencies. History has repeatedly shown the consequences of this gap. The 2009 death of Teoh Beng Hock, for instance, revealed how the mysterious death of a MACC witness inside the agency’s building led to a protracted inquest, conflicting conclusions, and ongoing calls from the family and civil society for definitive answers. 

The same year, the death of A. Kugan exposed glaring discrepancies between two separate post-mortem reports. In 2011, the death of Ahmad Sarbani Mohamed sparked disputes between the inquest findings and the outcome of subsequent civil court proceedings. In 2017, S. Balamurugan died in custody after a magistrate’s order for his release and medical treatment was ignored. More recently, in 2021, the death of A. Ganapathy confirmed serious negligence in the handling of detainees.

Among students, cases such as the 2017 death of Mohamad Thaqif Amin and the 2022 death of S. Vinosiny highlight delays, conflicting reports, and opaque communication in determining causes of death. Collectively, these cases demonstrate a recurring pattern: opaque investigations, inconsistent forensic standards, and restricted access for families to critical evidence, the very same issues now at the heart of the Zara case.

Bereaved families often face severe obstacles in gaining full access to investigation files, forensic evidence, and post-mortem reports. Procedural inconsistencies between states and districts, dependent on the discretion of investigating officers and magistrates, only worsen the problem. Public confidence erodes further when inquest outcomes are perceived as biased or lacking transparency. Zara’s case starkly illustrates this reality: her family sought the truth, but was forced to rely on the very institutions potentially implicated in negligence or misconduct.

If Malaysia were to enact a Coroners Act similar to Singapore’s Coroners Act 2010 or the United Kingdom’s Coroners and Justice Act 2009, death investigations could be conducted independently and impartially by coroners unbound to the police or any enforcement agency. Every unnatural, suspicious, or unexplained death would follow a uniform national procedure. Families would have a legal right to access investigation findings, question witnesses, and participate meaningfully in inquests. Forensic integrity would be strengthened, with autopsies conducted under the coroner’s direction by independent forensic experts, reducing the risk of evidence tampering or suppression. Most importantly, decisions delivered by an independent institution would restore public trust in the justice process.

Other nations have already proven the effectiveness of such systems. In Singapore, the Coroners Act 2010 requires all unnatural, sudden, or unexplained deaths to be reported to a coroner, who has the authority to order autopsies, summon witnesses, and determine causes of death in open court. In the United Kingdom, the Coroners and Justice Act 2009 ensures coroners are independent judicial officers investigating deaths in the public interest, particularly high-profile cases or those involving government agencies. 

In Australia and Canada, coroner systems operate at the state or provincial level, with powers entirely separate from the police, and their reports often lead to significant policy and legislative reforms. These models demonstrate how independent coronial institutions not only provide answers to grieving families but also serve as essential mechanisms of state accountability for the protection of life.
The Zara case is a stark reminder that the lives of citizens must never be reduced to mere statistics. 

Malaysia urgently needs a Coroners Act to ensure that every suspicious death is investigated by a transparent, professional, and truly independent body. Delay will only condemn more families to the anguish of seeking truths that may be buried along with their loved ones.

If Singapore, the United Kingdom, Australia, and Canada have already shown the value of such systems, there is no credible reason for Malaysia to cling to an outdated model reliant on the discretion of potentially conflicted parties. Truth is a right, not a privilege, and Zara’s case must mark the starting point for this long-overdue reform. 

#JusticeForZara
© all rights reserved
made with by templateszoo