Responsive Ad Slot

Slider

Pelaksanaan gaji progresif tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan ekonomi semasa - GEM

 DagangNews.com


DagangNews.com | Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 - Dalam keadaan negara dilanda inasi dengan kenaikan harga barang yang tinggi khususnya barangan keperluan asas, kenaikan gaji dilihat bukan penyelesaian dan hanya akan melemahkan lagi nilai mata wang ringgit.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin berkata, keadaan ekonomi semasa memerlukan dasar yang boleh membantu syarikat mengekalkan jumlah pekerja atau membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, dasar-dasar yang menaikkan kos operasi syarikat akan menjejaskan keuntungan dan berkemungkinan banyak majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja atau berisiko menutup terus operasi syarikat.

"Sama ada model gaji minima atau pemberian gaji progresif atau kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan, kos operasi syarikat akan meningkat dengan keuntungan yang merudum.

"Malah banyak juga syarikat yang mengalami kerugian dan masih belum pulih dari kesan pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Razi Ramli yang memaklumkan kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif untuk menggantikan model gaji minimum, baru-baru ini.

Menurut Armin, masalah utama ekonomi negara adalah kebergantungan kepada barangan import yang menjejaskan harga barangan jualan terutamanya produk yang bergantung kepada bahan mentah import, contohnya baja tanaman dan dedak untuk ternakan.

Beliau berkata, kenaikan gaji akan dibebankan kepada pelanggan dengan harga jualan yang lebih tinggi.

"Ekonomi negara perlu dipacu kerajaan dengan tumpuan dan hala tuju nyata supaya sumber negara yang terhad dapat disalurkan untuk memajukan industri-industri tempatan terpilih.

"Apabila barangan dan produk tempatan dimajukan dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan dieksport ke pasaran dunia, permintaan untuk warga kerja tempatan akan meningkat dan pembayaran gaji yang setimpal dengan keuntungan syarikat dapat dinikmati. Industri perlu dipacu secara strategik," katanya.

Walaupun secara logik katanya, pendapatan warga kerja perlu dinaikkan sekurang-kurangnya bersamaan kadar inasi supaya rakyat tidak terbeban tetapi kesannya amat mudarat kepada ekonomi secara keseluruhan.

Ujar beliau, kenaikan gaji adalah kos tambahan kepada kos operasi syarikat yang akan diselaraskan melalui kenaikan harga jualan barang atau perkhidmatan dan kitaran kenaikan harga ini akan terus meninggalkan kesan kepada kuasa beli.

"Akibatnya ramai pekerja terpaksa diberhentikan kerja kerana majikan tidak mampu untuk terus membayar gaji yang bertambah, dengan permintaan jualan semakin kurang akibat kenaikan harga serta kuasa beli pelanggan semakin lemah.

"Syarikat yang terpaksa menampung kenaikan kos akibat kenaikan gaji akan menaikkan harga produk mereka dan dengan kenaikan harga, jualan produk mereka tentunya terkesan," katanya.

Katanya, untuk menjamin peluang pekerjaan sentiasa terbuka dan pekerjaan sedia ada terjamin, syarikat-syarikat harus berdaya tahan dan mampu meneruskan perniagaan dengan kos operasi yang rendah.

"Sebab itu saya berpendapat kerajaan perlu memberi kelonggaran kepada syarikat untuk menentukan gaji yang perlu dibayar. Pelaksanaan kawalan gaji boleh ditetapkan hanya kepada industri terpilih yang telah dikenalpasti mendapat keuntungan besar," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang boleh menjamin pekerjaan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang boleh mengukuhkan atau memperkenalkan ekosistem industri tempatan baru supaya permintaan untuk warga kerja terus meningkat.

Apabila industri mencatat keuntungan dan berdaya saing, kerajaan boleh memperkenalkan gaji minima atau gaji progresif.

"Tetapi apabila syarikat-syarikat masih belum berdaya tahan daripada segi keuntungan, kerajaan tidak patut memperkenalkan apa- apa dasar yang boleh menaikkan kos operasi yang akhirnya dibebankan kepada pelanggan dan menjejaskan kedudukan pekerja. - DagangNews.com (dagangnews.com)

Artikel asal di: https://www.dagangnews.com/article/pelaksanaan-gaji-progresif-tidak-sesuai-dilaksanakan-dalam-keadaan-ekonomi-semasa-gem-26502 


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo