Responsive Ad Slot

Slider

Wajarkah kadar OPR dinaikkan sekarang?

 


Wajarkah kadar OPR dinaikkan sekarang?


MASALAH utama yang dihadapi oleh masyarakat ialah kenaikan harga barang. Rata-rata harga barangan semuanya naik. Salah satu faktor yang mendorong kenaikan harga barang ialah nilai matawang ringgit yang semakin lemah dan menyebabkan barangan import menjadi mahal. Kita terlalu bergantung kepada import sama ada untuk makanan atau rantaian bekalan.


Apabila kadar Dasar Semalaman (OPR) dipertingkatkan, jumlah simpanan negara akan meningkat dan mengukuhkan nilai matawang kita dan ini akan menstabilkan harga barangan import.

Keduanya, ringgit semakin susut nilai kerana berada dalam pasaran dalam bentuk tunai yang banyak termasuk dana stimulus fiskal dan RM145 bilion daripada pengeluaran KWSP semasa pandemik. Sedangkan bekalan barangan pula yang terhad mengakibatkan harga barang menjadi lebih mahal.


Peningkatan OPR, akan mengurangkan aliran tunai dalam pasaran dan mendorong kepada simpanan. Malah kadar pinjaman rumah, kad kredit, overdraf dan pinjaman kereta baru juga menjadi lebih mahal dan ini akan membendung perbelanjaan.


Walaupun langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar OPR untuk memulihkan kadar inflasi dan mengukuhkan nilai matawang ringgit tetapi ia bukanlah tanpa kesan kepada rakyat. Sebab itu langkah ini bukan langkah populis. Tahun lepas sahaja, BNM menaikkan kadar OPR sebanyak 4 kali.


Sebagai salah satu negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia, sebahagian besar dari rakyat akan terkesan dengan kenaikan kadar OPR. Ramai individu dan isi rumah dijangka, malah telah pun terjejas dalam menguruskan perbelanjaan melibatkan makanan, utiliti dan pendidikan anak-anak.

Jadi apakah sekarang ini masa yang sesuai dan patutkah Kerajaan menaikkan kadar OPR sedangkan rakyat dalam kesusahan dan perniagaan masih belum pulih?


Jawapan mudah ialah kita tiada pilihan. Malaysia dipengaruhi kuat oleh dasar monetari Amerika. Amerika telah mempertingkatkan kadar OPR sebanyak 10 kali semenjak bulan Mac 2022 kepada 5% dan ini menjejas ekonomi dunia apabila mata wang negara-negara membangun mengalir kembali ke Amerika menjadikan matawang asing semakin lemah.


Kita tiada pilihan melainkan kita berani mengambil pendekatan drastik seperti langkah tambatan ringgit (fix currency) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-4 Dr Mahathir semasa krisis kewangan 1997.


Pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim perlu memandu ekonomi dengan memperkenalkan dasar-dasar baru dan drastik untuk melonjak ekonomi negara keluar dari krisis ekonomi. Dasar-dasar baru perlu diperkenalkan untuk membangun industri tempatan melalui eksport supaya dapat menyeimbang transaksi perdagangan ekonomi.


Dengan kenaikan OPR, negara mengambil risiko penguncupan ekonomi yang boleh membawa kepada kegawatan. Lebih baik kita bersedia dengan menjadual semula pembayaran pinjaman dan membatalkan kad-kad kredit untuk menjaga rekod kewangan demi masa hadapan. – 4 Mei, 2023.

* Armin Baniaz Pahamin, Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo