Responsive Ad Slot

Slider

Kenaikan OPR kejam, kekang perbelanjaan rakyat - pakar ekonomi



Berita Harian: Kenaikan OPR kejam, kekang perbelanjaan rakyat - pakar ekonomi | Oleh Ilah Hafiz Aziz | Mei 13, 2023 @ 1:59pm| ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 3.00 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini dijangka bakal mendorong kepada tindakan penyimpanan dan aktiviti membendung perbelanjaan, sekali gus akan mengurangkan aliran tunai dalam pasaran.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, berkata keadaan itu berlaku disebabkan perbelanjaan dan pinjaman rakyat menjadi lebih mahal seterusnya mengakibatkan permintaan terhadap barangan akan berkurangan.

Katanya, apabila pembekal atau penjual tidak dapat menjual barangan disebabkan kekurangan permintaan, harga barang juga akan turun.

"Langkah menaikkan kadar OPR juga mempunyai risiko kemelesetan ekonomi. Walaupun kadar OPR selepas dinaikkan adalah sama seperti kadar sebelum pandemik, situasi dan kondisi isi rumah amat berbeza berbanding sebelum pandemik dan sekarang.

"Jadi anggapan kadar OPR ini menentukan kita sudah keluar daripada pandemik dan seolah kita berada dalam kondisi sebelum pandemik adalah tidak benar, memandangkan sebahagian besar isi rumah masih terjejas dan masih belum pulih seperti keadaan sebelum pandemik dan kenaikan OPR ini sudah tentu amat membebankan mereka.

"Sebab itu saya bersetuju bahawa tindakan menaikkan kadar OPR adalah kejam," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang berkata, pihaknya tidak bertindak 'kejam' apabila menaikkan OPR ke paras 3.00 peratus baru-baru ini, sebaliknya, keputusan itu dibuat bagi mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi dan menjadi tidak terkawal.

"Mana lagi kejam kalau inflasi kita di luar kawalan? Kalau kadar inflasi kita naik mendadak, kuasa beli semua orang akan terkesan tanpa mengira anda mempunyai pinjaman atau tidak.

"Jadi, kita naikkan OPR kerana kita mahu memastikan ekonomi berkembang secara mampan dan bukan saja untuk hari ini, tapi untuk bulan dan tahun yang mendatang," kata Shamsiah dalam sidang akhbar, semalam.

Mengulas lanjut, Armin Baniaz berkata, kenaikan harga barang adalah sebabkan oleh beberapa faktor dan antara faktor berkenaan membabitkan nilai matawang negara yang lemah sehingga menyebabkan harga bekalan import menjadi lebih mahal.

Ini juga yang berlaku semasa krisis kewangan negara pada tahun 1997. Rantaian bekalan kita terlalu bergantung kepada bekalan import mengakibatkan harga barang terjejas teruk apabila matawang kita semakin lemah.

Kadar OPR mempunyai hubungan rapat dengan nilai matawang. Sejak Ringgit kembali diapung dan tidak lagi ditambat, ia terus menerus lemah.

"Sebab itu saya mencadangkan untuk kerajaan mempertimbangkan semula tambatan matawang Ringgit (Fix Currency) supaya kita dapat menstabilkan semula harga rantaian bekalan kita yang bergantung kepada import terutamanya rantaian bekalan makanan," katanya.

Jelasnya, faktor lain yang mempengaruhi inflasi ialah jumlah ringgit yang berada dalam pasaran dalam bentuk tunai yang banyak termasuk dana stimulus fiskal dan RM145 bilion daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik.

Sedangkan bekalan barangan pula yang terhad mengakibatkan harga barang menjadi lebih mahal. Peningkatan OPR, akan mengurangkan aliran tunai dalam pasaran apabila kenaikan faedah mendorong kepada simpanan. Jadi ia bukanlah satu alasan tetapi menjadi satu kaedah memerangi inflasi.

Kenaikan OPR, tidak boleh dipersalahkan kepada BNM sahaja tetapi hala tuju ekonomi berdasarkan kepada dasar-dasar kerajaan juga harus diberi perhatian.

Dasar kerajaan dan kegiatan sorok barang turut sebabkan inflasi naik

"Banyak dasar dan pelaksanaan yang boleh dipandu oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang dan inflasi. Contohnya bekalan asas seperti telur ayam, bekalan ayam, gula dan beras. Penguatkuasaan, pemantauan dan dasar-dasar baru perlu diperkenalkan supaya kita tidak bergantung ke atas monopoli pembekal, bahan mentah import sahaja (seperti baja, dedak).

"Banyak pengeluar dan pembekal menyembunyi bekalan menanti kenaikan harga barang. Ini kegiatan tidak sihat dan bertentangan dengan undang-undang yang boleh di elak melalui kementerian dan agensi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman, juga mengakui apabila kadar OPR ditingkatkan, perbelanjaan aliran tunai orang ramai semakin perlahan dan ia secara terus dapat menggalakkan orang ramai untuk lebih menyimpan dan kurang berbelanja.

"Kadar OPR yang lebih tinggi akan menyebabkan kadar faedah pinjaman menjadi lebih tinggi sekali gus menyebabkan kadar pinjaman perumahan atau pinjaman perniagaan menjadi lebih mahal untuk menggalakkan pengguna untuk menyimpan dalam deposit tetap dan sebagainya.

"Disebabkan itu, kita berpandangan OPR perlu dinaikkan secara gradual & measured iaitu kenaikan yang memerlukan sekurang kurangnya sembilan bulan untuk menampakkan impak kepada ekonomi Malaysia untuk turunkan kadar inflasi," katanya.

Kenaikan OPR tak pernah berjaya kurangkan inflasi

Pengerusi Pergerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ), Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera pula berkata, BNM selalu menyatakan tindakan kenaikan OPR adalah untuk menyejat inflasi tapi ia tidak pernah berjaya sekali pun.

"Inflasi tetap berlaku juga. Tahun 1970-an satu ringgit boleh beli 10 roti canai. Sekarang sekeping pun tak dapat. Inflasi apa yang BNM nak kekang?" katanya ringkas. 

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo