Responsive Ad Slot

Slider

Dasar naikkan kos operasi syarikat boleh jejaskan pekerja

Dasar naikkan kos operasi syarikat boleh jejaskan pekerja

Utusan Malaysia | Oleh NUR NAZLINA NADZARI | 17 Mei 2023, 8:08 am


PETALING JAYA: Dasar-dasar yang menaikkan kos operasi syarikat akan menjejas keuntungan dan berkemungkinan banyak majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja atau berisiko menutup terus operasi syarikat, menurut Gerakan Ekonomi Malaysia.


Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, keadaan ekonomi semasa memerlukan dasar yang boleh membantu syarikat mengekalkan jumlah pekerja atau membuka lebih banyak peluang pekerjaan.


Katanya, kos operasi syarikat akan meningkat dengan keuntungan yang merudum, tidak kira sama ada disebabkan oleh model gaji minima atau pemberian gaji progresif atau kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan.


Malah beliau berkata, banyak juga syarikat yang mengalami kerugian dan masih belum pulih daripada kesan pandemik.


“Untuk menjamin peluang pekerjaan sentiasa terbuka dan pekerjaan sedia-ada terjamin, syarikat-syarikat harus berdaya tahan dan mampu meneruskan perniagaan dengan kos operasi yang rendah.”


“Sebab itu, saya berpendapat kerajaan perlu memberi kelonggaran kepada syarikat untuk menentukan gaji yang perlu di bayar. Pelaksanaan kawalan gaji boleh ditetapkan hanya kepada industri yang terpilih yang telah dikenal pasti mendapat keuntungan besar,” katanya dalam kenyataan semalam.


Pada 9 Mei lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif untuk menggantikan model gaji minimum.


Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus.


Sementara itu, Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus dalam kenyataan berbeza berkata, perkara pertama dengan mana-mana dasar gaji ialah perlu ada standard minimum.


Katanya, ini supaya setiap pekerja memperoleh gaji sara hidup yang sewajarnya dan perkara tersebut  boleh dicapai secara progresif, walaupun perlu ada garis panduan dan jangka masa yang ditetapkan untuk tujuan pelaksanaan.


“Krisis kos sara hidup yang sedang dihadapi negara, yang memberi kesan mendalam ke atas masyarakat B40 dan M40 berpunca daripada ketamakan dan sikap tidak menghiraukan rakyat biasa.

“Di dalam situasi gaji berkenaan, perlu ada komponen yang berbeza dan harus dilihat secara holistik.”


“Antaranya ialah gaji minimum terjamin yang diselaraskan dengan kadar inflasi, komponen yang berkaitan dengan indeks produktiviti negara dan syarikat dan nisbah jumlah pampasan minimum maksimum antara penerima pendapatan terendah dan tertinggi di mana-mana syarikat,” ujarnya. – UTUSAN


Artikel asal di https://www.utusan.com.my/ekonomi/2023/05/dasar-naikkan-kos-operasi-syarikat-boleh-jejaskan-pekerja/

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo