Responsive Ad Slot

Slider

ANWAR DISARAN GUNA FORMULA TUN M LONJAK EKONOMI NEGARA



Anwar disaran guna formula Tun M lonjak ekonomi negara' | Sinar Harian | oleh IZWAN ROZLIN04 | Mei 2023 07:54pm

SHAH ALAM – Malaysia perlu mengambil pendekatan drastik menggunakan kaedah tambatan Ringgit (Fix-Currency) yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa krisis kewangan 1997.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, malah pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memandu ekonomi dengan memperkenalkan dasar-dasar baru dan drastik untuk melonjak ekonomi negara keluar dari krisis ekonomi.
Menurutnya, dasar-dasar baru perlu diperkenalkan untuk membangun industri tempatan melalui eksport supaya dapat menyeimbang transaksi perdagangan ekonomi.
"Dengan kenaikan kadar Dasar Semalaman (OPR), negara mengambil risiko penguncupan ekonomi yang boleh membawa kepada kegawatan.
“Jadi lebih baik kita bersedia dengan menjadual semula pembayaran pinjaman dan membatalkan kad-kad kredit untuk menjaga rekod kewangan demi masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Armin Baniaz berkata, Malaysia juga tidak mempunyai pilihan selain perlu meningkatkan OPR bagi mengukuhkan nilai mata wang dan ini menstabilkan harga barangan import.
“Ringgit semakin susut nilai kerana berada dalam pasaran dalam bentuk tunai yang banyak termasuk dana stimulus fiskal dan RM145 bilion dari pengeluaran Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) semasa pandemik.
Jelasnya, keadaan ini ditambah dengan bekalan barangan terhad mengakibatkan harga barang menjadi lebih mahal.
“Peningkatan OPR, akan mengurangkan aliran tunai dalam pasaran dan mendorong kepada simpanan. Malah kadar pinjaman rumah, kad kredit, overdraf dan pinjaman kereta baru juga menjadi lebih mahal dan ini akan membendung perbelanjaan.
“Walaupun langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar OPR untuk memulihkan kadar inflasi dan mengukuhkan nilai mata wang ringgit tetapi ia bukanlah tanpa kesan kepada rakyat.
“Sebab itu langkah ini bukan langkah populis kerana tahun lepas sahaja, BNM menaikkan kadar OPR sebanyak empat kali,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai salah satu negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia, sebahagian besar dari rakyat akan terkesan dengan kenaikan kadar OPR.
“Ramai individu dan isi rumah dijangka, malah telah pun terjejas dalam menguruskan perbelanjaan melibatkan makanan, utiliti dan pendidikan anak-anak.
“Jadi adakah sekarang ini masa yang sesuai dan patutkah Kerajaan menaikkan kadar OPR sedangkan rakyat dalam kesusahan dan perniagaan masih belum pulih?
Ujarnya, Malaysia tiada pilihan kerana dipengaruhi kuat oleh dasar monetari Amerika.
“Amerika telah mempertingkatkan kadar OPR sebanyak 10 kali semenjak Mac tahun lalu kepada lima peratus dan ini menjejas ekonomi dunia apabila mata wang negara-negara membangun mengalir kembali ke Amerika menjadikan mata wang asing semakin lemah,” tegasnya.

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo