Responsive Ad Slot

Slider

Lebih ramai sebenarnya terbeban kenaikan kos sara hidup, OPR

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyemak semula indikator atau aras penunjuk kemiskinan memandangkan maklumat sedia ada gagal merekodkan mereka yang tergolong dalam kemiskinan sehingga tidak mendapat sebarang bantuan.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, kadar kemiskinan dalam negara semakin meningkat dan ramai yang tercicir daripada data yang direkod melalui aras penunjuk sedia ada.

"Ini bermakna, lebih ramai rakyat yang sebenarnya terkesan serta terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Data-data yang tepat dan realistik amat penting kerana data ini diguna sebagai analisis Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan kadar pengurusan monetari serta dasar-dasar berkaitan.

"Kami menggesa OPR disemak semula dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan sahaja mesra rakyat dan perniagaan, tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baharu kepada usahawan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Armin Baniaz berkata, kenaikan OPR dilihat tidak memberi kesan kepada aliran tunai dalam pasaran untuk membendung perbelanjaan dan mengawal inflasi.

Beliau menjelaskan, beberapa faktor menyumbang kepada keberkesanan ini seperti pinjaman alternatif yang amat mudah dipohon dan diluluskan secara dalam talian juga memainkan peranan, tidak termasuk lagi perkhidmatan 'along' yang sentiasa agresif mencari pelanggan.

"Kadar pinjaman melalui aplikasi ini adalah amat tinggi dengan faedah sehingga 36 peratus setahun dan lebih tinggi daripada kadar faedah bank, tetapi rakyat akan terus meminjam dan terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang.

"Hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan OPR bagi menyeimbang harga barangan tidak akan berjaya. Harga barangan terutamanya keperluan asas akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus bagi suku pertama 2023 dan kenaikan OPR kepada 3.0 peratus adalah konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh.

Namun, tegasnya kerajaan gagal mengambil kira laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan kemerosotan eksport sehingga 17.4 peratus bulan April, berbanding bulan sama tahun lalu.

"Kemerosotan eksport ini adalah penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang 2023," katanya.

Armin Baniaz berkata, yang nyata ketika ini masalah kenaikan kos sara hidup, ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal sehingga menjejas kelestarian hidup rakyat dan perniagaan kecil.

"Dengan kenaikan OPR, pasaran saham semakin lembap, ringgit semakin merosot dan kos sara hidup masih meningkat khususnya sektor makanan.

"Jumlah kebangkrapan masih kekal tinggi walaupun kerajaan telah membuat pindaan Akta untuk mengurangkan jumlah kebangkrapan. Golongan M40 semakin miskin dan bergelut untuk membayar makanan, sewa dan hutang," katanya.

Artikel Asal: https://origin.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/05/1108308/lebih-ramai-sebenarnya-terbeban-kenaikan-kos-sara-hidup-opr


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo